OPR kekal 3% sasar pacu ekonomi

OPR kekal 3% sasar pacu ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus.

Keputusan PMC itu selari dengan jangkaan ramai pakar ekonomi bahawa OPR akan dikekalkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut BNM, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi.

“MPC kekal berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negara.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya dalam kenyataan, semalam.

BNM berkata, ekonomi global terus berkembang, didorong oleh permintaan dalam negeri berikutan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.

Bank Pusat itu berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) mula menunjukkan beberapa tanda pemulihan namun perdagangan global terus lemah, sebahagiannya disebabkan oleh peralihan perbelanjaan daripada barangan kepada perkhidmatan dan sekatan perdagangan yang berterusan.

Jelasnya, pertumbuhan global terus terjejas disebabkan oleh inflasi yang masih tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi, dengan beberapa ekonomi utama mengalami momentum pertumbuhan yang semakin perlahan.

“Terdapat tanda-tanda awal yang menunjukkan pertumbuhan China semakin baik meskipun pasaran harta tanah China terus lemah.

“Inflasi keseluruhan global meningkat sedikit sebahagiannya disebabkan oleh harga komoditi yang lebih tinggi, manakala inflasi teras terus sederhana,” ujarnya.

Tambah BNM, pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat.

Katanya, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, disebabkan terutamanya oleh inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.

“Bagi ekonomi Malaysia, anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi bertambah baik pada suku ketiga.

“Pertumbuhan pada 2024 akan didorong terutamanya oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan, dengan sokongan daripada eksport E&E yang dijangka pulih.

“Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan terus menyokong perbelanjaan isi rumah. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat,” jelasnya.

Menjelang 2024, BNM menjangkakan inflasi kekal sederhana dan risiko terhadap prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negara mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.

“Yang penting, hasrat kerajaan untuk mengkaji semula kawalan harga dan subsidi pada 2024 akan mempengaruhi prospek keadaan inflasi dan permintaan,” katanya.

Mesyuarat tersebut juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk 2024 yang akan diadakan sebanyak enam kali, selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×