PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) melihat wujud persamaan antara kekejaman Zionis Israel dengan tindakan kejam perasuah di negara ini. Tindakan perasuah yang pentingkan diri sendiri menyebabkan kerosakan ketamadunan negara dan menghapuskan segala kerja keras generasi ini.
Perasuah telah merampas hak orang lain untuk kepentingan diri mereka sendiri, sama seperti tindakan Zionis di Palestin. Terdapat pertanyaan daripada pencinta gerakan rasuah, adakah ini bermaksud perasuah berbangsa Melayu dan beragama Islam sama taraf dengan Yahudi Zionis yang jelas dilaknat Allah?
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Rasulullah melaknat pemberi dan penerima rasuah.” (Hadis riwayat Al-Imam Ahmad).
Perkataan yang digunakan adalah ‘laknat.’ Bererti perbuatan rasuah adalah perlakuan amat terkutuk sehingga dilaknat oleh Allah dan Rasul. Dengan sebab itu, al-Imam al-San’ani dan al-Zahabi meletakkan kumpulan perasuah ini sebagai pelaku dosa besar.
BANGSA ATAU AGAMA
Masalah rasuah tidak ada kena mengena dengan bangsa atau agama individu yang terjerumus. Hakikatnya, ramai mengeluh orang Melayu-lah paling ramai terlibat dengan rasuah. Majoriti penjawat awam yang meminta dan menerima rasuah adalah Melayu.
DUA ISU BERBEZA
Ramai juga kurang bersetuju dengan perbandingan antara perilaku dan kesalahan perasuah di negara ini dengan kekejaman Zionis Israel kerana ia dikatakan dua isu sangat berbeza. Perbandingan itu mungkin tidak sesuai kerana kedua-dua perkara ini melibatkan konteks berbeza secara keseluruhannya.
Perilaku perasuah adalah isu korupsi dan salah laku dalam urusan pentadbiran negara manakala isu Zionis Israel melibatkan isu politik dan konflik di Asia Barat. Isu penindasan dan rampasan tanah Palestin sangat rumit dan dianggap luar biasa terutama bagi masyarakat dunia hari ini.
Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang isu di sana, pelbagai persoalan dan kehairanan timbul daripada penindasan dan kekejaman secara terang-terangan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin. Kenapa ia berlaku dan dunia Islam lain di sekeliling membiarkannya? Bagaimana di era moden hari ini, perkara ini boleh terjadi dan dibiarkan?
Isu rasuah pula bukanlah satu masalah baharu tetapi sudah berakar umbi sekian lama. Kalau ikutkan kepada usaha memerangi jenayah itu, ia sudah sampai ke tahap maksimum tetapi kes tetap juga berlaku, kenapa?
Kita perlu akui, dalam kalangan masyarakat tetap ada kelompok yang mahu menjamah wang haram. Mereka sudah selesa hidup dengan melakukan pengkhianatan terhadap amanah diberikan. Secebis kuasa yang ada di tangan dijadikan modal besar untuk mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa. Ada juga berhujah mengatakan jenayah Israel hanya jenayah perang sedangkan jenayah rasuah adalah jenayah ketirisan dan ketidaktelusan.
Mana sama? Kita mesti tegas.
DIKECAM SELURUH DUNIA
Serangan Israel terhadap Gaza yang disokong Amerika Syarikat dan sekutu termasuk Kesatuan Eropah membuka mata banyak negara dan jutaan masyarakat dunia setelah menyaksikan sendiri kekejaman terhadap penduduk Palestin. Serangan terbaharu dan tidak berhati perut Zionis Israel termasuklah pengeboman hospital awam dan kem pelarian sehingga meragut banyak nyawa tidak dapat diterima sama sekali oleh mana-mana manusia bertamadun, berakal serta mempunyai hati dan perasaan.
MCW turut terpanggil untuk mengecam tindakan Israel ini. Dalam masa sama, MCW kecewa dan marah dengan para perasuah yang masih bermaharajalela memakan wang haram bukan milik mereka. Lebih membimbangkan, hasil rasuah ini disuapkan pula kepada ahli keluarga dan anak-anak yang tidak mengerti apa-apa. Kita sedih melihat mereka memberikan nafkah dan makanan daripada sumber tidak diredai Allah.
Macam-macam kaedah dilakukan untuk membanteras rasuah, namun masih tetap gagal. Apa lagi perlu dilakukan? MCW berpendapat, sudah tiba masanya masyarakat mengisytiharkan perang besar-besaran memerangi perasuah. Untuk menjayakannya bukan sekadar bergantung kepada kerajaan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi semua pihak termasuk rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penjawat awam mahupun ahli politik.
KEROSAKAN DAN KEHANCURAN
Masyarakat awam yang terdedah dan menjadi mangsa kerosakan sistem pentadbiran disebabkan rasuah perlu terlibat secara agresif. Malaysia perlu mempunyai rangka undang-undang lebih kukuh bagi mengawal dan melindungi usaha pencegahan serta hukuman melawan rasuah. Undang-undang yang jelas, hukuman tegas dan penegakan undang-undang berkesan adalah kunci utamanya.
MCW menggesa kerajaan mengorak langkah lebih pantas dalam melaksanakan Strategi Antirasuah Negara (NACS) yang pastinya lebih terkini untuk berdepan dan menentang kelompok perasuah sangat licik. Program kesedaran masyarakat dan menekankan kepentingan integriti melalui program pendidikan, kempen sosial dan latihan juga perlu ditambah dan dilakukan secara berterusan.
KOMITED DAN EFEKTIF
Sebuah agensi penguat kuasa yang ramai kakitangannya terbabit rasuah pernah mengambil tindakan drastik dengan memilih hanya graduan lulusan pengajian Islam untuk mengisi perjawatan baharu. Namun, ia tidak juga menyelesaikan masalah, bahkan dikatakan menjadi semakin teruk. Lulusan agama semata-mata tidak memadai, tetapi perlu kepada individu menjiwai dan menghayati nilai agama yang dipelajarinya itu.
Kita mesti terus menyemarakkan perjuangan dengan lebih komited dan efektif bagi menyelamatkan negara daripada gejala rasuah. MCW sendiri tidak ditubuhkan atas kepentingan peribadi atau politik tertentu tetapi semata-mata untuk bersama-sama membantu kerajaan dan SPRM dalam membanteras rasuah.
MCW menyeru sokongan daripada semua pihak untuk bersama-sama menjayakan perjuangan ini. Yang makan cili rasalah pedasnya, yang makan nangka rasalah getahnya. Yang tidak makan rasuah tidak perlu melompat.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).










