‘Hutang saya dengan Iklim sudah langsai’ - Azmani - Utusan Malaysia

‘Hutang saya dengan Iklim sudah langsai’ – Azmani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menggalas tanggung­jawab yang diama­nahkan adakalanya mencabar. Walau bukan bebanan, namun dijadikan bandingan. Pelawaan yang diterima pula mesti disahut sebagai cabaran, bukannya sekadar picisan. Kala nostalgia lampau menerjah fikiran lalu, timbullah semula semangat dan azam.

Sebaik tawaran diterima, maka ruang kritikan juga terbuka luas. Seberat mana yang perlu ditanggung, haruslah berlapang dada. Jangan dipersiakan tuah yang datang bergolek. Padang sudah terbentang, bola sudah di kaki. Kesungguhan sahaja azimat meneruskan perjuangan.

Bersama Mingguan Malaysia, pelantun lagu Mawar Kasturi, Mohd. Azmani Mohd. Isa, 50, bekas peneraju utama kumpulan Positif dan Kulit ini berkongsi ceria dan gundahnya dalam menyahut cabaran mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh arwah Saleem penyanyi kumpulan Iklim.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Amanat ini, cukup berat. Jujurnya sebelum menerima tawaran daripada anggota Iklim ini saya berfikir panjang. Bukan mudah menyertai kumpulan bernama besar yang punya ramai peminat di tanah air, termasuk negara jiran Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Mungkin ramai yang tidak tahu sebenarnya saya pernah menyertai Iklim pada 1992 hingga 1993. Ketika itu saya menggantikan tempat arwah Saleem yang keluar kerana konflik dalaman. Namun kami tidak sempat merakamkan album memandangkan saya masih punya kontrak dengan syarikat rakaman Life Records,” katanya membuka bicara.

Mengakui terkilan dengan situasi itu, dia pasrah. Baginya mungkin tiada rezeki untuk mencatat memori bersama kumpulan tersohor ini. Namun dia tetap diberi kebenaran membuat persembahan dengan menyanyikan semula lagu-lagu yang pernah didendangkan oleh Saleem.

Mengakui jauh di lubuk sanubarinya dia merasakan ada hutang yang perlu dilunaskan bersama kumpulan ini. Apatah lagi perancangan untuk pembikinan album baharu sudah ada dalam perancangan.
Namun, bila keadaan tidak mengizinkan, dia pasrah.

“Ketika bersama Iklim, syarikat rakaman menghubungi saya untuk keluarkan material terbaharu. Jadi saya kena tinggalkan Iklim dan tubuhkan kumpulan baharu yang diberi nama Kulit. Kumpulan ini hanya mampu bertahan dengan dua rilisan sahaja iaitu album, Kita Yang Tak Berdosa (1995) dan Orang Kita (1997),” jelasnya.

Kurangnya publisiti dan lagu yang tidak cukup hits, adalah jawapan tepat apabila kumpulan ini tidak mampu bertahan lama. Melihat situasi itu akhirnya mereka ambil keputusan membawa haluan masing-masing.

Menganggap tiada rezeki untuknya bertapak dalam bidang seni, Azmani nekad pulang ke kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan dan membuka studio latihan muzik. Pada tahun 2000 dia akhirnya berumah tangga, seterusnya menceburi perniagaan kedai makan yang dibantu oleh isterinya.

Minat mendalam dalam bidang perniagaan membuatkan dia lupa seketika bidang seni. Pada 2006 dia sekali lagi mengorak langkah dengan membuka kedai menjual tayar kenderaan. Menurutnya, ini adalah perniagaan yang diimpikan selama ini.

“Sebenarnya ramai juga yang pelik dengan impian saya ini. Kalau tanya sesiapa pun jarang ada orang yang bercita-cita buka kedai tayar. Tapi itulah saya. Sejak remaja memang minat dengan kerja-kerja pomen seperti baiki kenderaan dan sebagainya. Alhamdullillah, Allah SWT makbulkan.

“Sibuk dengan perniagaan membuatkan saya lupa langsung dengan bidang seni. Sehinggalah pada satu hari pemain drum Iklim, Kama menghubungi saya dan mengatakan dia ada di Kota Bahru. Kami berjumpa dan berbual panjang. Waktu itulah dia pelawa saya untuk sertai Iklim dan rancang untuk keluarkan single terbaharu,” katanya.

Ketika itu, dia tidak memberikan sebarang keputusan dan meminta sedikit masa untuk berfikir. Selepas dua hari berikutnya, pemain bass Iklim, Mohalim pula menghubunginya. Juga bertanyakan sama ada dia bersetuju atau tidak dengan tawaran tersebut. Masih tiada jawapan. Dan sekali lagi dia meminta tempoh untuk menyatakan pendirian.

Menurutnya, dia punya alasan tersendiri. Selain sudah lama tidak menyanyi, dia juga tidak mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan. Baginya populariti arwah Saleem dan dirinya ibarat langit dan bumi. Perlu fikir bagaimana jika ada peminat yang tidak bersetuju dan membandingkan mereka nanti? Pasti akan menjejaskan populariti kumpulan ini.

Setelah berbincang dari hati ke hati, dia akhirnya bersetuju. Namun ada beberapa syarat ditetapkan, antaranya perlu mengutamakan komitmen hakiki memandangkan dia sudah berkeluarga dan punya perniagaan.

“Rakan-rakan Iklim semua bersetuju. Mereka juga punya pendapat yang sama dengan saya. Tujuan buat come back bukanlah ingin glamor seperti dahulu, tetapi lebih kepada rindu dengan muzik dan ingin meneruskan legasi kumpulan ini yang semakin terkubur.

“Alhamdullillah, segala perancangan berjalan lancar. Single berjudul Mawar Kasturi akhirnya selesai dirakam. Pada Oktober 2019, kami mendapat undangan mengadakan persembahan besar di Kuala Terengganu bersama dengan anak arwah Saleem iaitu Syafiq Farhain.

“Waktu itu semangat cukup berkobar-kobar untuk beraksi semula di pentas. Maklumlah dah lama pencen menyanyi. Namun hujan lebat sejak awal petang. Akhirnya show yang dijadualkan bermula selepas Isyak terpaksa dianjak sehingga pukul 11.00 malam,” jelasnya.

Memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi apabila peminat memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi. Sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Walaupun selesa bersama anggota kumpulan yang pernah diwarnainya satu ketika dahulu, namun membawa semula lagu-lagu yang pernah dinyanyikan arwah Saleem bersama Iklim adalah satu cabaran besar.

“Arwah Saleem punya aura dan identiti tersendiri. Vokalnya cukup unik dan sesiapa pun tidak mampu menandinginya. Walau diberi tempat mengganti posisinya, namun bukanlah perkara mudah. Tidak mustahil ada peminat yang akan membandingkan. Sebab itulah saya cuba melakukan sebaik mungkin.

“Kini apabila lahir single terbaru Mawar Kasturi bersama Iklim saya berasa cukup puas. Ibaratnya saya sudah langsaikan hutang bersama mereka. Dulu kami tak ada jodoh untuk buat album bersama, tetapi siapa sangka dalam usia sebegini, kami mampu bersatu kembali,” katanya.

Tanggal 20 Januari 2021 lalu sepatutnya mereka akan mengadakan satu konsert besar di Tasik Kenyir, Terengganu. Namun penularan pandemik Covid-19, yang berlaku ketika ini sekali gus menjejaskan perancangan yang dibuat.

“Insya-Allah jika pandemik ini ada trend penurunan dan kerajaan benarkan kembali pertunjukan pentas, kami akan beraksi semula. Sebenarnya banyak yang dirancang tergendala.

“Antaranya rakaman single terbaharu yang sepatutnya berlangsung pada bulan ini. Jadi masa rehat yang panjang ini akan kami gunakan memilih serta memantapkan lagu-lagu yang akan disajikan kepada peminat nanti,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini