LHDN dijangka kutip cukai RM185.02 bilion

LHDN dijangka kutip cukai RM185.02 bilion

AHMAD Maslan melancarkan Hari Inovasi dan Integriti LHDN 2023 di Cyberjaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) kini berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran kutipan cukai RM185.02 bilion sehingga akhir tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sasaran itu diharap dapat dicapai dengan sokongan pelbagai inisiatif dan produk diperkenalkan LHDN.

Beliau berkata, setakat 30 Oktober lalu, LHDN berjaya me­ngutip RM151.48 bilion dan kejayaan itu hasil komitmen dan usaha gigih warga LHDN.

“Setiap tahun LHDN me­nyumbang antara 50 hingga 60 peratus kepada keseluruhan kutipan hasil cukai kepada kerajaan dan tahun lalu sahaja, LHDN mengutip RM175 bilion.

“Sudah tentu tambahan RM10 bilion kutipan hasil itu akan dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk sumbangan tunai,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyem­purnakan Majlis Hari Inovasi dan Integriti LHDN 2023 di sini, semalam.

Katanya, beliau bagi pihak Kementerian Kewangan (MOF) merakamkan berbanyak terima kasih di atas usaha gigih dan dedikasi warga LHDN dalam memastikan hasil cukai negara bertambah.

Ahmad berkata, program dan inisiatif yang diperkenalkan LHDN pastinya menambah ke­telusan dalam soal kutipan hasil selain mengurangkan kewujudan ‘ekonomi bayangan’ di negara ini.

Menurutnya, ekonomi ba­yangan mesti ditangani agar hasil kepada rakyat dapat di­tingkatkan sekaligus menghapuskan ketirisan.

“Saya memuji peranan LHDN kerana berani mencetus idea-idea kreatif dan inovatif bagi memastikan tahap kecekapan, ketelusan dan keberkesanan sistem penyampaian percukaian kepada rakyat meningkat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr. Mohd. Nizom Sairi berkata, prestasi kutipan hasil cukai sehingga suku ketiga tahun ini juga berada pada kadar positif berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Insya-Allah, atas sokongan dan dukungan daripada pihak MoF kepada LHDN, saya optimis dapat mencapai sasaran kutipan hasil seperti ditetapkan kementerian
dalam tempoh berbaki dua bulan sahaja lagi,” katanya.

Katanya, pihaknya juga berharap pelaksanaan inisiatif baharu pentadbiran cukai iaitu e-invois dan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 seperti diumumkan pada Belanjawan 2024 diharap dapat me­ningkatkan pematuhan cukai dan meningkatkan hasil negara tanpa membebankan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×