APABILA ditugaskan untuk membuat liputan Kongres Palestin Sedunia 2023 di Putrajaya pada 17 Jun lalu, saya tidak menjangkakan tiada langsung petugas media lain yang hadir. Hanya saya satu-satunya wartawan ada di lokasi tersebut meskipun yang berucap merasmikannya, Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Said Sabri bukanlah calang-calang orang!
Entah kenapa tiada agensi media yang datang walhal dua hari sebelumnya, bekas Mufti Palestin itu ada juga bertemu Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar. Bagaimanapun, bukan itu yang menarik perhatian saya tetapi resolusi dibentangkan pada akhir kongres tersebut cukup kontroversi.
Negara kita mendukung kaedah penyelesaian dua negara dalam konflik dengan Israel yang merujuk peta sebelum 1967 manakala Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota Palestin. Maka apakah masalahnya? Bagi yang kurang faham kemelut Asia Barat, sebenarnya banyak negara Arab tidak setuju formula itu malah mahu menuntut tegas penyelesaian satu negara.
Penyelesaian dua negara bererti Palestin dan Israel hidup berjiran sebagai dua negara berbeza manakala penyelesaian satu negara ialah hanya satu negara akan wujud dengan sistem pemerintahan sama ada berpusat atau persekutuan. Jika diterima penyelesaian dua negara, ia secara automatik bermaksud mengiktiraf segala kedaulatan Israel sebagai negara haram yang sah. Namun, jika diterima penyelesaian satu negara, situasi akan kembali kepada sebelum 1948 apabila pelbagai masyarakat majmuk boleh hidup bersama.
Tidak hairanlah resolusi kongres itu sebulat suara mendesak semua negara di dunia yang pro-Palestin menolak penyelesaian dua negara dan ditukar kepada formula sebelum 1948. Rasionalnya mudah, Israel memang sejak dahulu ialah negara haram dan usahlah bermimpi mahu menamatkan permusuhan dengan Palestin, apatah lagi ingin hidup aman damai.
Senario ini juga disokong penganut Yahudi Ortodoks yang kuat berpegang teguh kepada ajaran kitab Taurat kerana bagi mereka, tiada ‘wahyu’ agar negara bernama Israel wujud. Sebaliknya, idea pembentukan Israel dengan dirampas tanah pribumi Palestin didukung puak Yahudi Askhenazi dari Eropah yang memang pelampau fahaman tegar rasis Zionis.
Kaum durjana ini bukanlah Yahudi asli tetapi etnik ‘parasit licik’ yang diusir bangsa Eropah kerana sering menindas penduduk setempat terutama menerusi sistem amalan riba. Kemuncak kebencian ke atas mereka menyaksikan masyarakat Eropah bersepakat agar diwujudkan khas negara haram di bumi Palestin, konon inilah ‘tanah suci’ dijanjikan Tuhan.
Saya tidak berhasrat mengimbau sejarah lama itu, namun gerakan penentangan formula penyelesaian dua negara makin berleluasa ekoran konflik yang kritikal di Palestin ketika ini. Bagi penyokong penyelesaian satu negara, hujah mereka mudah, iaitu Palestin tidak harus mengalah kepada Israel yang diketahui sifat jahatnya suka tipu dan main tikam belakang.
Berdasarkan bancian ke atas warga Palestin sendiri tahun lalu, mereka sudah bosan dan jelak formula kena hidup berjiran dengan Israel yang berperangai buruk, angkuh lagi biadab.
Malaysia tidak wajar terpedaya dengan propaganda rejim Zionis konon sedia berdamai dengan Palestin, padahal realitinya ia cuma indah khabar daripada rupa. Belajarlah kekhilafan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang pernah berhasrat menjalin diplomatik dengan Israel pada 1960-an yang hampir mencetuskan kemarahan rakyat.
Ketika itu telah ada sebuah syarikat Tel Aviv di negara ini yang aktif mengimport pelbagai komoditi, waima pasukan bola sepak Israel nyaris datang menyertai Pestabola Merdeka. Mujur berita ini bocor dan beliau berdalih enggan menjamin keselamatan pemain Zionis kerana kebetulan Stadium Merdeka tidak jauh dari pejabat sebuah syarikat akhbar ultra-Melayu!
Rentetan insiden itu, Malaysia membuat kejutan tidak mengiktiraf Israel malahan pasport kita mulai awal 1970-an ada nota khas melarang rakyat melawat negara haram tersebut.
Persoalannya, apakah berbaloi Malaysia kena ‘berlembut’ sokong penyelesaian dua negara padahal dasar itu bermaksud secara tersirat negara ini sudah mengiktiraf Israel? Lihatlah contoh terjadi kepada beberapa negara Islam yang sudah pun menormalisasikan hubungan dengan rejim Zionis itu apabila terikat, tidak berani bersuara dalam isu Palestin.
Kesimpulannya, sudah tiba masa polisi luar Malaysia lebih tegas membela nasib Palestin dan usaha itu boleh bermula dengan merealisasikan formula asal penyelesaian satu negara. – UTUSAN










