KITA mahu mengubah gambaran di mana para pelajar sekolah tidak mahu berada di dalam kelas, lebih suka ponteng kelas dan melepak di tempat lain kerana pada anggapan mereka, kelas adalah sebuah kawasan yang bagaikan ‘neraka’ dan membosankan.
Sebut sahaja tandas, apa terlintas di fikiran kita adalah suatu tempat yang kotor, jijik, busuk dan sepadan dengannya. Ini cerminan keadaan dan rupa paras tandas di negara kita terutama yang melibatkan guna sama awam atau banyak pihak.
Walau sekotor mana, sejijik mana dan sebusuk mana pun tandas yang kita ada, sebagai manusia tetap bergantung penuh kepada tandas bagi membolehkan kita membuang ‘hajat’ pada setiap hari.
Tandas ini sebuah tempat yang dilihat teruk dan negatif, namun kita tetap akan mencarinya saban hari. Bermula di rumah membawa ke pejabat, rumah ibadah, kompleks beli-belah, kawasan rehat dan rawat sehinggalah premis pendidikan, semuanya wajib didirikan sekurang-kurangnya sebuah tandas untuk keperluan hajat kumpulan manusia di tempat berkenaan.
Bercerita tentang tandas, tiada langsung pihak yang menyentuh sisi positif dan kebaikannya. Masing-masing berbicara persepsi teruk, negatif dan buruk semata-mata. Namun, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri, beliau telah meminta pengurusan tandas di sekolah-sekolah diperbaiki agar tampak lebih positif.
Akhirnya pada 3 Jun lalu, Perdana Menteri membangkitkan isu ini secara umum menurut beliau, suatu ‘masalah’ yang tiada berkesudahan. Anwar berkata, beliau sedar mengenai keadaan tandas sekolah yang kebanyakannya rosak dan kotor sehingga membuatkan para pelajar kita tidak selesa untuk menggunakannya setiap hari. Dengan serta-merta, beliau mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk menyemak, seterusnya mengambil tindakan wajar.
Akhirnya, tindakan padu dan laju digerakkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) yang bertanggungjawab untuk melaksanakan projek penyelenggaraan kecil melibatkan tandas bagi 8,354 sekolah dengan peruntukan RM630.77 juta bermula pertengahan Julai lalu.
Ketika membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri berkata, projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah hampir siap sepenuhnya.
Akhirnya, isu lapuk tandas berbau busuk, kotor, jijik dan rosak di sekolah-sekolah dalam negara kita boleh dianggap selesai. Juga, tular di media sosial bagaimana ‘rupa paras’ tandas-tandas baharu di sekolah yang telah siap direka bentuk semula sehingga persis tandas hotel lima bintang. Suatu perkara yang tidak pernah terlintas di fikiran kita sejak dahulu, namun menjadi kenyataan pada hari ini.
Walaupun sekadar mencantikkan tandas sekolah, namun impak dan mesej tersirat daripada cerita ini amatlah besar dan wajar untuk kita selami secara konsensus.
Jadi, apa pula selepas ini? Adakah kita sekadar berpeluk tubuh dan bertepuk tangan tanda bangga hasil daripada transformasi tandas-tandas sekolah ini? Sebagai sebuah tamadun masyarakat yang sedang mengorak maju ke hadapan, kita seharusnya memikirkan soal lebih besar dan meluas lagi.
SELERA MATA
Tiada salahnya jika kejayaan memberi wajah baharu kepada tandas-tandas sekolah ini, kita perluaskan untuk bilik-bilik darjah pula. Pihak berwajib bermula dari KPM sehinggalah guru-guru kelas harus diberi tanggungjawab bersama untuk sekali lagi ‘mengubah wajah’ bilik darjah sedia ada.
Kita tahu dan sering kali dengar, bilik darjah yang kondusif mampu memberi nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) pelajar dalam kelas. Maka, carilah dana, carilah idea dan bentuklah pasukan petugas khas secara besar-besaran untuk sebuah tindakan transformasi bilik darjah selepas ini.
Tidak semestinya bilik darjah itu perlu direnovasi secara fizikal, cukup sekadar membentuk suasana yang kondusif, bersih, selamat dan mampu menarik pelajar untuk ‘lepak lama-lama’ di dalam kelas.
Kita mahu mengubah gambaran di mana para pelajar sekolah tidak mahu berada di dalam kelas, lebih suka ponteng kelas dan melepak di tempat lain kerana pada anggapan mereka, kelas adalah sebuah kawasan yang bagaikan ‘neraka’ dan membosankan.
Percayalah, sekiranya cita-cita ini mampu direalisasikan, maka kita dapat mengecapi visi dan misi Pendidikan Madani yang digariskan oleh kerajaan semasa, yakni penerapan karamah insaniah melalui pembentukan karakter yang menumpukan nilai, sahsiah, adab dan integriti. Kedua, jelajah masa depan pendidikan negara melalui usaha untuk mengambil kira cadangan dan kekhuatiran ibu bapa, warga pendidik dan industri.
Kita tahu, sebanyak RM1.9 bilion diperuntukan khusus untuk naik taraf prasarana daif dan penyelenggaraan semua sekolah. Namun, adalah suatu tindakan tepat sekiranya kerajaan dapat memberi fokus kepada proses transformasi bilik darjah sepertimana kejayaan kerajaan mengubah ‘selera mata’ terhadap tandas-tandas sekolah kita sekarang ini.
Semoga menjelang lima tahun ke hadapan, semua sekolah di negara kita mempunyai suasana yang cantik, menarik dan mampu menarik minat semua orang. – UTUSAN
PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).










