Survival dan cabaran industri sawit negara

Survival dan cabaran industri sawit negara

FADILLAH Yusof (kanan) mencuba peralatan moden bagi mencantas dan mengait buah kelapa sawit dalam lawatan di Pulau Carey, Selangor, baru-baru ini. – FACEBOOK FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELBAGAI misi perdagangan dan teknikal ke Eropah, Kenya, China dan India disertai Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof merupakan langkah strategik memandangkan kepentingan negara-negara tersebut sebagai pengimport utama minyak sawit Malaysia. Misi itu bertujuan meningkatkan jumlah eksport ke pasaran global.

Penganjuran misi perdagangan juga membawa matlamat utama untuk bertindak balas terhadap dinamik permintaan global bagi minyak sawit Malaysia dan cabaran unik dihadapi di setiap rantau selain merangkumi komitmen negara kepada persekitaran perdagangan antarabangsa yang produktif dan harmoni.

Pada 2022, eksport minyak sawit Malaysia ke tiga negara pengimport terbesar iaitu India, China dan Kesatuan Eropah (EU) sekitar 6.13 juta tan.

Memuatkan artikel berkaitan…

CABARAN

Pun begitu, cabaran dihadapi sektor agrikomoditi ketika ini berkaitan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) yang mula berkuat kuasa 29 Jun lalu, iaitu larangan kepada syarikat dan entiti perniagaan agar tidak memperdagangkan komoditi dikaitkan dengan penebangan dan degradasi hutan di pasaran atau mengeksportnya dari EU. Justeru, pengendali dan pengusaha besar perlu menunjukkan tempat dan sumber asal kandungan dalam setiap produk bagi membuktikan ia bebas daripada aktiviti nyahhutanan selepas tempoh 31 Disember 2020.

Perundangan EUDR menyenaraikan tujuh komoditi asas dalam skop peraturan tersebut, iaitu kacang soya, ternakan (lembu), minyak sawit, kayu, koko, kopi dan getah. Ia juga meliputi pelbagai produk terbitan seperti kulit, coklat, arang, perabot dan kertas.

Pengendali dan pengusaha EU perlu mengadaptasi dan melaksanakan peraturan baharu itu selewat-lewatnya 30 Disember tahun depan sementara perusahaan mikro, kecil dan sederhana pada 30 Jun 2025.

Langkah terbaru itu menjadi halangan perdagangan, menambah beban pentadbiran dan meningkatkan kos pengeluaran.

Pekebun kecil sawit berkemungkinan besar akan terpinggir daripada pasaran EU kerana mereka tidak berupaya untuk menampung kos tambahan serta beban pentadbiran diperlukan bagi memenuhi keperluan due diligence (usaha wajar) EUDR.

Sebaliknya, ia diterima pihak berkepentingan seperti negara pengeluar minyak sayuran lain yang mengambil pendekatan protectionism memandangkan minyak sawit adalah berkhasiat, pelbagai guna dan mampu ditawarkan pada harga kompetitif. Perkembangan EUDR pada masa ini membimbangkan kerana inisiatif unilateral menyekat perdagangan bebas dan adil serta boleh mengakibatkan kesan buruk ke atas rantaian bekalan global.

Selain itu, kurangnya penyertaan tenaga kerja tempatan, kesukaran mendapatkan tenaga kerja asing terutama dari Indonesia serta pergantungan tinggi kepada pekerja asing di peringkat ladang merupakan cabaran utama untuk jangka masa panjang. Masalah ini menyebabkan pengeluaran hasil buah tandan segar (BTS) sawit negara terjejas, seterusnya menjejaskan pengeluaran minyak sawit mentah dan rantaian industri yang mana minyak sawit mentah adalah produk keperluan utama.

Pun begitu, automasi dijangka dapat mengurangkan impak kekurangan pekerja. Bagaimanapun, ketersediaan teknologi dari dalam dan luar negara untuk keadaan ladang yang pelbagai bentuk muka bumi, jenis tanah dan faktor persekitaran lain akan memperlahankan adaptasi atau penggunaan teknologi tersebut.

Pelbagai usaha sedang dijalankan kerajaan dan swasta untuk meningkatkan jumlah teknologi tersedia dan berdaya maju. Usaha ini memerlukan galakan daripada kerajaan dan keterbukaan pihak industri untuk bekerjasama dalam penambahbaikan operasi perladangan.

Penglibatan rakyat tempatan berkemahiran teknologi automasi dalam industri perladangan juga satu kekangan lain.

Selain itu, perubahan iklim yang sedang berlaku boleh menjejaskan sektor ini yang memerlukan adaptasi bagi berdepan cabaran tersebut. Pada masa sama, kemampanan rantaian bekalan juga harus dikekalkan. Ini akan meningkatkan kos pengeluaran dan memberi kesan terhadap semua sektor terutama agrikomoditi.

Begitu juga dengan keperluan menyeimbangkan faedah ekonomi dengan penggunaan tanah lestari, mencapai dan mengekalkan piawaian kelestarian dan pensijilan seperti Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Pematuhan Di Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dilihat sangat mencabar selain kestabilan harga sawit yang mempengaruhi keuntungan.

PENYELIDIKAN

Peruntukan Belanjawan 2024 bagi sektor agrokomoditi terutama penyelidikan hiliran minyak sawit amat penting dan sekiranya tiada peruntukan diterima, sememangnya akan memberi impak dan kekangan besar. Kajian diperlukan untuk sentiasa mempertahan khasiat pemakanan minyak sawit yang sering dipertikaikan. Kajian seperti epidemiologi penting untuk memperkukuhkan pemahaman tentang kaitan antara penggunaan minyak sawit dan kesihatan kardiovaskular.

Penyelidikan ini mempunyai potensi untuk merevolusikan dasar kesihatan awam dan membangunkan garis panduan pemakanan untuk masyarakat dengan minyak sawit sebagai asas pemakanan harian. Di samping itu, kajian ini boleh memainkan peranan penting dalam menentang kempen antiminyak sawit, memberikan pandangan berasaskan bukti yang boleh menghilangkan salah tanggapan dan memupuk wacana awam yang lebih termaklum di sekitar industri ini.

Malah, penyelidikan mampu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah import yang mahal seperti jagung, bijan dan dedak kacang soya bagi mencapai tahap optimum aplikasi bahan sawit yang memenuhi keperluan pemakanan ternakan. Usaha ini akan menyokong Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025.

Ia juga penting dalam menangani isu keselamatan dan kualiti makanan baharu terutama minyak sawit mentah dan minyak sawit terproses agar tindakan proaktif diambil sejajar industri minyak dan lelemak lain.

Tambahan pula, peruntukan diperlukan untuk penyelidikan bagi menjalankan penyemakan semula semua piawaian kebangsaan di bawah Jabatan Standard Malaysia berkaitan produk berasaskan sawit. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini