PETALING JAYA: Kumpulan penternak kecil bimbang langkah kerajaan menamatkan sepenuhnya subsidi dan harga kawalan bagi ayam akan memudahkan lagi pihak kartel untuk memanipulasi harga.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber dalaman industri berkata, tindakan kerajaan itu dilihat akan memakan diri dan mungkin menyebabkan kerajaan membuat pusingan ‘U’ selepas beberapa bulan dilaksanakan.
Kata beliau, menamatkan kawalan terhadap bekalan makanan utama rakyat itu tanpa mewujudkan Lembaga Unggas Negara menandakan kerajaan tidak lagi mempunyai sebarang data mengenai industri tersebut termasuk dari segi pengeluaran.
“Sekarang ini kerajaan ada data, dari situ mereka boleh kawal dan lihat berapa jumlah pembekal, pengeluaran dan sebagainya tetapi lepas 1 November ini macam mana? Kecuali kerajaan arahkan industri keluarkan data.
“Kami sebagai penternak kecil memang menyokong kerajaan membuka pasaran seperti ini tetapi kami tidak mahu rantaian bekalan makanan tersebut dimainkan dan dipolitikkan oleh sesetengah pihak,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mereka risau akan ada pihak yang akan menjejaskan kualiti dedak sehingga menjejaskan tumbesaran ayam.
Apabila itu diganggu maka pasaran terjejas dan harga pula meningkat naik. Oleh kerana ini kami sangat tekankan Lembaga Unggas Negara supaya walaupun pasaran dibuka tetapi ada yang memantau bukan sahaja dari segi bekalan ayam tetapi juga kualiti makanan ternakan tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan penamatan sepenuhnya subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November.
Hanya subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.
Mengulas lanjut, sumber itu berkata, apabila kualiti dedak dan anak ayam tidak dapat dijaga akan menyebabkan jumlah ayam dalam pasaran berkurangan.
“Kami terima 100 anak ayam dan pada kebiasaan kami pulangkan 97 peratus kepada industri. Selebihnya kematian atau cacat. Jadi apabila dua kualiti tersebut tidak dijaga, maka peratus untuk kami pulangkan tu akan berkurang,” katanya.
Tambahnya, perkara ini akhirnya akan memberi kesan kepada masyarakat selaku pengguna yang rata-ratanya daripada kumpulan B40 dan akan terbeban sekiranya harga ayam meningkat naik di pasaran. – UTUSAN










