Belajarlah bahasa asing, tapi jangan gadai bahasa Melayu

Belajarlah bahasa asing, tapi jangan gadai bahasa Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAHAN tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim mewajibkan semua surat rasmi kepada kerajaan ditulis dalam bahasa Melayu, baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi positif dan negatif dalam kalangan orang ramai. Perkara ini lagi mengejutkan ramai orang apabila Perdana Menteri turut mengarah agar semua surat yang ditulis dalam bahasa selain bahasa Melayu dikembalikan kepada pengirimnya.

Maka, timbullah perdebatan sama ada tindakan tersebut bertepatan atau keterlaluan. Malah ada juga yang cuba mempolitikkan hal tersebut dan mendakwa semua itu hanyalah cakap-cakap politik untuk memikat hati rakyat. Ada pula yang mempersoalkan setakat manakah ketegasan kerajaan dalam memastikan arahan Perdana Menteri ini benar-benar terlaksana.

Hilang bahasa lenyap bangsa. Sememangnya usaha memartabatkan bahasa kebangsaan memerlukan penguatkuasaan serta kawalan tegas daripada kerajaan. Bukan setakat mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan surat-menyurat dengan kerajaan, malah kerajaan mesti melipat gandakan usaha agar mutu penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat khususnya para pemimpin dan pelajar bertambah baik.

Namun begitu, usaha pemerkasaan bahasa Melayu bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata. Kita sebagai rakyat turut mempunyai tanggungjawab untuk memastikan hal ini menjadi kenyataan. Persoalannya, sejauh manakah kita sebagai individu sanggup berusaha mengangkat martabat bahasa kebangsaan?

Masalah pencemaran bahasa menjadi bertambah kronik akibat sikap alpa rakyat terhadap kepentingan memelihara bahasa. Kegagalan kita untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul banyak menyumbang kepada masalah ini. Selain kesalahan tatabahasa, timbul pula trend menyebut perkataan secara pelat keanak-anakan atau pun pelat bahasa asing.

Mutu bahasa Melayu yang digunakan dalam kalangan ramai pemimpin, misalnya ketika perbahasan di Dewan Rakyat juga mengecewakan. Utamakanlah penggunaan bahasa Melayu ketika berbahas dan bertuturlah dalam bahasa Melayu dengan betul dan tepat. Pemimpin harus memberikan contoh yang baik kepada rakyat, apatah lagi dalam hal berkaitan dasar negara. Bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian. Kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari.

BLOG

Tiada ertinya kita menyatakan kebanggaan menjadi rakyat Malaysia jika kita tidak menzahirkannya dengan melipatgandakan usaha memartabatkan bahasa Melayu. Tidak salah mempelajari bahasa asing, malah kuasailah sebanyak mungkin bahasa-bahasa utama dunia. Namun, jangan gadaikan bahasa Melayu. Malangnya, bukan sahaja masih ada rakyat Malaysia yang gagal berbahasa Melayu dengan baik, malah ada segelintir masih tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu.

Bermula dengan menulis di laman blog dalam bahasa Inggeris pada umur lima tahun, 10 tahun selepas itu setelah menyedari kepentingan memelihara bahasa kebangsaan, saya mula menulis dalam bahasa Melayu.

Ketika itu, perbendaharaan kata bahasa Melayu begitu lemah sehingga saya berasa malu pada diri sendiri. Dengan penuh semangat, saya berusaha keras menguasai penggunaan bahasa Melayu dengan lebih baik serta mempelajari cara dan gaya tulisannya. Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi.

Kemudiannya, saya mula mempelajari sistem tulisan Jawi dengan serius dan seterusnya menyelusuri pula bidang penterjemahan. Saya mula menterjemah beberapa perisian dan permainan video secara sukarela setelah melihat mutu terjemahan sistem operasi komputer atau perisian dan laman sesawang kepada bahasa Melayu begitu rendah.

Masalah sering berlaku ialah terjemahan antara muka Windows, Android, X dan perisian lain dilakukan dalam konteks yang salah di samping terdapat kesilapan dalam tatabahasa. Hal ini amat merisaukan kerana hari demi hari, kita semakin mengambil mudah perkara ini sehingga hilang kepekaan akan kesalahan bahasa. Sebagai contoh, ramai keliru perbezaan antara ialah dan adalah, termasuk pelajar yang mendapat keputusan A+ dalam mata pelajaran bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Amat malang apabila kita meremehkan kepentingan memartabatkan bahasa ibunda sehingga ada lebih berbangga dengan bahasa asing. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang bukan sahaja indah tetapi juga kaya dengan konteks sejarah dan peradaban bangsa. Kurangnya pemahaman untuk mentafsir bahasa akan melemahkan keupayaan kita dalam merungkai sejarah negara bangsa. Akibatnya, terpadamlah sejarah sebenar tanah air kita. Dan yang dikatakan sejarah hanyalah catatan orang asing, ditulis berdasarkan konteks dan sudut pandangan mereka sahaja yang mungkin menyimpang daripada fakta sebenarnya.

Bahasa Melayu memainkan peranan besar selaku bahasa perantara bagi kaum etnik berbilang di Malaysia. Ia memudahkan perhubungan di antara pelbagai kaum berbeza dan mengeratkan perpaduan rakyat. Hal sama juga boleh dilihat di banyak negara lain. Contohnya, China menggunakan Mandarin sebagai bahasa perantara walaupun Hokkien, Kantonis dan sebagainya turut dituturkan secara meluas.

Penggunaan satu bahasa kebangsaan bukan bertujuan menghalang penggunaan bahasa lain. Malahan, ia membantu kita memahami bahasa-bahasa lain. Sebagai contoh, ketika saya melawat Kampung Orang Asli Kuala Lah di Gua Musang baru-baru ini, terdapat papan tanda pesanan khidmat awam berkenaan Covid-19 yang ditulis dalam bahasa Melayu dan Mendriq, iaitu bahasa Orang Asli di sana. Dengan terjemahan Melayunya itulah dapat saya memahami erti perkataan tertulis dalam bahasa Mendriq pada papan tanda itu.

Pada masa sama, bahasa etnik tetap diperkasakan bersama-sama bahasa kebangsaan. Kita meraikan kepelbagaian bahasa di Malaysia. Maka, kita memerlukan satu bahasa sebagai penghubung rangkaian masyarakat pelbagai etnik ini. Bahasa inilah juga menggambarkan budaya rakyat Malaysia, menjadi lambang kesatuan hati rakyat serta menjadi identiti kita semua. Bahasa kebangsaan ialah tonggak perpaduan rakyat Malaysia. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Bahasalah jiwa bangsa. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×