CAKAP-CAKAP sebelah utara, selatan, pantai timur dan barat banyak mengata Pas waktu ini dok sibuk ‘ratibkan’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah kerajaan.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditunjangi Bersatu, kata Pas, memiliki jentera, wang dan apa sahajalah segalanya. Doktrin sebilangan pemimpin Pas yang berdesing-desing ialah “amat percaya apabila sudah pegang kerajaan, mudah untuk PN sapu bersih kerusi-kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)”. Analoginya, jika ‘kerajaan’ pasti ada bajet dan missionary. Pendek kata, usah fikir-fikir lagi, ‘kemenangan pasti dalam tangan’.
Semudah itukah bacaannya? Ini sehinggakan saya dikhabarkan dalam kalangan pemimpin kanan Pas mencanangkan satu kaji selidik dari sebuah universiti tempatan bahawa jika Pas berdua bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) , paling maksimum kerusi Parlimen yang boleh dimenangi hanya 70. Tidak melepasi majoriti mudah, 112 kerusi. Dari kaji selidik itu, keputusannya berbeza sekali andai melalui kesepakatan MN + PN = 160 kerusi.
Agak cetek pandangan Pas. Terlalu simplistic. Bila berkuasa buat sementara PRU-15 ini, Pas jadi ‘gelap mata’.
Padahal daripada pandangan publik dalam politik hari ini, reading sedemikian dari kaji selidik satu dua universiti – yang saya percaya data dikutip menerusi andaian dari bilik pensyarah sahaja – tidak semudah untuk mana-mana parti politik mampu meraih majoriti.
Tetapi ikut prinsip Pas era Malaysia hari ini, asalkan jadi kerajaan, cara Machiavelli pun boleh pakai. Kata Machiavelli, segalanya harus diperalat termasuk agama untuk menjayakan matlamat menghalalkan cara.
Pas masih percaya diri sebagai kingmaker lagikah selepas PRU-15 nanti?
Masih tergiang-giang lagi di telinga saya menjelang PRU-14 lalu yang mana presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjangkakan tiada satu pun parti yang dapat membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum itu.
Ekoran itu, Abdul Hadi menganggap Pas sebagai kingmaker jika parti itu menang 40 kerusi dan menjadi tempat bergantung parti lain yang mahu menubuhkan kerajaan.
Namun, pada 9 Mei itu, Pas hanya memenangi 18 kerusi parlimen. Cuma parti itu mengekalkan pentadbiran di Kelantan serta menawan Terengganu. Pas sering menguar-uarkan diri hebat tetapi realitinya, indah khabar dari rupa. Bila peluang terhidang depan mata, cepat sekali ‘disakau’ Pas.
Ke mana hilangnya prinsip Pas dalam isu lompat parti hari ini? Abdul Hadi sekitar September 2015 bukan main lantangnya dalam soal `katak’ ini.
Semasa berucap pada program Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 di Pulau Serai, Dungun, beliau mengulangi gesaan supaya wakil rakyat Pas meletakkan jawatan jika menyertai parti lain termasuk Parti Amanah Rakyat (Amanah).
Tindakan itu perlu kerana semua calon Pas pada PRU 2013 telah melafazkan bai’ah bersumpah dan mereka akan dilaknati Allah SWT jika melanggar bai’ah itu.
Terdahulu sekitar Januari 2014, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Nasrudin Hassan membangkitkan kekecewaannya dengan tindakan wakil rakyat meletak jawatan untuk membolehkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi memberi laluan kepada seseorang yang lain.
Nasrudin menegaskan, pilihan raya adalah sebahagian daripada perjuangan bukan medan untuk pihak tertentu menggunakan peluang mencapai agenda peribadi. “Akhirnya rakyat berkata, kami bertarung untuk hidup. Kamu bertarung sesama sendiri untuk merebut jawatan,” katanya, merujuk tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh semasa meletak jawatannya – yang disebut-sebut bagi memberi laluan kepada seorang pemimpin PKR untuk menjadi Menteri Besar Selangor.
Hari ini, suara Presiden Pas, Nasrudin, apa lagi Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Takiyuddin Hassan lenyap, membisu dan membatu dalam isu tidak bermoral lompat parti? Tidak kedengaran lagi seperti nada tahun 2015 (Rujuk keratan akhbar di atas).
Takkanlah Pas tidak terdengar cakap-cakap yang kita sendiri pun tidak dapat membayangkan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng sanggup terbang dari Sarawak ke Putrajaya untuk menyerahkan akuan bersumpahnya (SD) dalam menyatakan sokongan kepada kerajaan PN? Bukankah perbuatan itu dalam erti kata lain `lompat parti’ juga tanpa merujuk keizinan berbuat demikian daripada presiden PKR? Mungkinkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus siasat motif tindak tanduk ini?
Dalam gejala lompat parti, Pas sepatutnya mentarbiah ahli-ahli parlimen Bersatu. Dulu Pas beria-ia hentam pelompat parti. Apakah sikap Pas waktu ini? Walaupun ahli parlimen Pas tidak lompat tetapi tampak bersekongkol dan ‘meraikan’ mereka ini.
Pada masa sama, rakan seperjuangan, UMNO semasa bersama musim mengecapi kemenangan 7-0 dalam siri pilihan raya kecil 2019/2020 masih tegas prinsipnya – akan sokong kerajaan PN tetapi tidak dalam PRU-15 nanti. Jadi, jika Pas sedemikian rupa fi’ilnya untuk tetap bersama PN dalam PRU, mana hilangnya gesaan Pas dalam PRU-PRU yang lepas supaya semua parti politik tidak menggunakan jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya?
Gelagat Pas barangkali ‘lain macam’ hari ini kerana beberapa kerajaan negeri pimpinan orang mereka sudah dapat projek mega. Misalnya Kelantan raih berbilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12. Kedah pula dengan satu dua projek besar. Belum pernah Pas mengecap nikmat semacam ini.
Cuma dibimbangi fi’il itu akan ‘melarat’ ke wakil rakyat Pas pula. Minta ‘simpang malaikat 44’ agar tidak berlaku “kalau-kalau ada ahli parlimen yang berjawatan menteri atau timbalan menteri dari Pas sanggup membawa pelobi bisnes ke kementerian tertentu”.
Naratif sekarang ialah tiada mana-mana parti yang akan dapat majoriti dalam PRU-15. Jika Pas enggan berjuang bersama UMNO sekali pun, Pas dipercayai akan bertanding solo juga. Mahu bertanding atas tiket atau platform PN, agak sukar untuk Pas kerana lambang bulan Pas sudah lama dikenali. Suatu dilema kepada Pas.
Bahkan yang Pas berkawan dengan mereka dalam PN hari ini pun sebahagian besarnya bersama-sama dengan Paktan Harapan (PH) dahulu, yang tidak senada dengan perjuangan Pas menegakkan Islam.
Pas beringatlah! Bersatu bertanding 52 kerusi Parlimen ketika di bawah PH dalam PRU-14 tetapi menang cuma 13 sahaja.
Dan andai kata kawasan-kawasan Felda menjadi tumpuan untuk Pas meraih sokongan dalam PRU-15, inilah masa terbaik untuk bergabung dengan parti yang benar-benar mampu menaikkan sekali Pas.
Dalam dua siri PRU lepas, penguasaan parti-parti Melayu menyusut di Felda. Pada PRU-14, UMNO/BN cuma meraih 27 kerusi Parlimen, Pas (6), PKR (19) dan Warisan (12).
Ini berbeza sama sekali berbanding PRU-13 ketika UMNO/BN masih menguasai 48 kerusi, Pas (3), PKR cuma satu kerusi dan DAP (2). Peningkatan drastik buat PKR di Felda.
Masih lagikah Pas mahu mencanangkan diri sebagai kingmaker?
Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah Penganalisis Isu-isu semasa.










