Anwar, Khaled penggerak reformasi pendidikan tinggi

Anwar, Khaled penggerak reformasi pendidikan tinggi

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf usaha KPT diketuai Mohamed Khaled Nordin yang disifatkan telah menterjemahkan Kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang beliau umumkan pada 27 Julai lalu ke dalam konteks ruang lingkup fungsi dan peranan KPT dalam sektor pendidikan tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN berlangsung dengan jayanya Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara 2023. Hari terbuka ini menyaksikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diketuai Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membentangkan kepada masyarakat awam hasil kerja Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) yang ditubuhkan oleh KPT bagi membuat satu semakan besar-besaran terhadap dasar pendidikan tinggi sedia ada.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled menjelaskan, NRC diketuai Datuk Seri Idris Jala, dianggotai lapan pakar dalam bidang pendidikan tinggi, digerakkan oleh 16 ahli pasukan petugas khas dan dibantu sekumpulan perunding diketuai Pemandu Associates telah membuat semakan ke atas pelbagai akta dan kerangka perundangan, kertas dasar, pelan strategik serta garis panduan berkaitan pendidikan tinggi selain proses kerja semasa jabatan dan agensi-agensi KPT.

Sebanyak 58 cadangan penambahbaikan utama dibentangkan kepada KPT dan KPT membentangkannya semula kepada masyarakat awam pada hari terbuka ini. Semuanya sebagai satu proses kritikal untuk memastikan segala saranan tersebut bukan sahaja bersifat praktikal dan bermakna kepada pendidikan tinggi negara, namun benar-benar menjawab keperluan masyarakat dan negara.

Begitulah telitinya Mohamed Khaled dalam melaksanakan tanggungjawab beliau. Ini dikira penting bagi memastikan usaha reformasi pendidikan tinggi ini benar-benar dapat dilaksanakan serta memenuhi kehendak dan mendapat sokongan rakyat jelata. Kesediaan membuka 58 cadangan penambahbaikan utama ini untuk maklum balas masyarakat awam sebelum memuktamadkannya membuktikan kedemokratikan kerajaan perpaduan.

Hari terbuka ini lebih bermakna bila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ucapan dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof memberikan pengiktirafan terhadap usaha KPT yang disifatkan telah menterjemahkan Kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang beliau umumkan pada 27 Julai lalu ke dalam konteks ruang lingkup fungsi dan peranan KPT dalam sektor pendidikan tinggi.

Dalam ucapannya, Anwar menyifatkan cadangan-cadangan yang diutarakan oleh NRC sebagai amat baik serta mampu membawa anjakan dan merubah status quo ekosistem pendidikan tinggi negara. Tegasnya, beliau menyokong penuh usaha diambil dan yakin kepimpinan KPT mampu melaksanakan perubahan yang ingin dilakukan.

Dari sudut lain, Anwar berkata, dengan kepimpinan Mohamed Khaled, beliau percaya reformasi pendidikan tinggi ini akan dapat dilaksanakan lebih cepat dan berkesan. Malah, keyakinannya ke atas Mohamed Khaled terserlah bila beliau berkata dapat merasakan lebih banyak pembaharuan demi pembaharuan bersifat monumental menyusul selepas ini.

Salah satu perkara diungkapkan Anwar ialah cabaran terbesar kerajaan bagi menjamin pembiayaan pendidikan secara berterusan. Beliau menyatakan kebimbangan dengan kelestarian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk jangka masa panjang disebabkan kadar bayaran balik pinjaman yang amat rendah.

PEMOTONGAN GAJI

Sehingga Mei lalu, jumlah pinjaman belum dibayar kepada PTPTN sebanyak RM66.9 bilion. Jumlah ini sekiranya dibayar, boleh membiayai kira-kira 2.5 juta pelajar baharu. Bagaimanapun, mekanisme bayaran balik igunapakai PTPTN, iaitu time-based repayment loans (TBRL), menyaksikan ramai peminjam tidak membuat bayaran balik.

Justeru, Anwar menyatakan, cadangan NRC untuk memperkenalkan kaedah pembayaran balik pinjaman PTPTN mengikut prinsip income contingent loan (ICL) yang akan dilaksanakan melalui pemotongan gaji secara automatik melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai satu cadangan praktikal dan tidak membebankan peminjam.

Sebenarnya, masalah ketidakberdayaan PTPTN ini telah lama wujud. Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025 umpamanya, perkara ini turut dibangkitkan dengan kerajaan waktu itu menyatakan tekad untuk meningkatkan prestasi dan kemampanan PTPTN dengan meningkatkan pembayaran balik termasuk beralih kepada prinsip ICL.

Pada akhir 2018 dahulu juga pernah diumumkan cadangan untuk melaksanakan kaedah pembayaran balik pinjaman PTPTN mengikut prinsip ICL. Bagaimanapun, cadangan ini tidak dilaksanakan setelah Kabinet dalam mesyuaratnya pada 7 Disember 2018 mahukan PTPTN mengadakan perbincangan dengan kesemua pemegang taruh berkaitan terlebih dahulu.

Sehubungan itu, disebabkan beban kewangan dipikul PTPTN semakin bertambah berat setiap tahun, maka sudah sampai masanya untuk pelaksanaan kaedah pembayaran balik pinjaman mengikut prinsip ICL ini dibuat demi maslahat jangka panjang negara sesuai dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan pembayaran semula PTPTN berasaskan gaji.

Terdapat banyak kajian ilmiah yang memperkatakan mengenai kebaikan kaedah pembayaran balik pinjaman PTPTN mengikut prinsip ICL. Antaranya satu tesis ijazah doktor falsafah (PhD) oleh Dr. Syaza Nawwarah Zein Isma di The Australian National University (ANU) pada 2021 bertajuk The Prospect of Income-Contingent Loans for Malaysia Higher Education Student Financing.

Mengikut kajian itu, kaedah pembayaran balik pinjaman pendidikan tinggi mengikut prinsip ICL dilaksanakan di Australia, New Zealand dan England menunjukkan keberkesanan prinsip ini boleh direka dengan fleksibel kerana ia memastikan kemampuan pembayaran dan memberikan perlindungan kepada peminjam yang mengalami kesulitan kewangan.

Dalam masa sama, selaras konsep gaji progresif, cukai progresif dan sebagainya, pelaksanaan kaedah pembayaran balik pinjaman pendidikan tinggi mengikut prinsip ICL ini juga mendorong kepada kewujudan sebuah masyarakat progresif yang sentiasa mahu maju dan memandang ke hadapan dan tidak terperuk di takuk lama/rendah.

Hanya mereka yang berjiwa reformis dan progresif seperti Anwar dan Mohamed Khaled mempunyai kekuatan politik untuk melaksanakan perkara progresif seperti ini. Langkah ini mungkin tidak popular dalam jangka pendek, tetapi ia terbukti membawa kebaikan besar kepada kelangsungan pendidikan tinggi negara dalam jangka panjang. – UTUSAN

DR. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×