PETALING JAYA: Pindaan dasar pendidikan tinggi khususnya dalam aspek yang membolehkan badan pelajar menguruskan dana untuk aktiviti-aktiviti pelajar adalah satu langkah yang positif dalam membentuk mahasiswa yang berketrampilan.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohamed Yusuf Hassan Roslan berkata, langkah itu tepat dalam memastikan dasar tersebut relevan kerana khuatir tidak menjadi kehendak pasaran dan industri pada masa kini.
“Mahasiswa yang dilahirkan adalah hasil daripada polisi dan dasar yang diwujudkan tanpanya sukar untuk ketahui apa yang diperlukan dalam pasaran masa kini.
“Pihak kami berharap segala dasar itu perlu sejajar dengan keperluan masa kini dan selari dengan agenda pemerkasaan mahasiswa berkenaan pengurusan dana untuk aktiviti-aktiviti pelajar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, garis panduan siling yuran pengajian, reka bentuk akademik selari dengan keperluan industri serta pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 menjadi teras kepada kajian perubahan dasar pendidikan tinggi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) sudah mengenal pasti 58 cadangan penambahbaikan dengan 30 cadangan perubahan merentasi keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi yang boleh membawa perubahan menyeluruh dalam operasi, pematuhan serta prestasi institusi dan pelajar.
NRC turut mencadangkan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 bagi membenarkan badan pelajar itu menguruskan dana untuk aktiviti-aktiviti pelajar.
Mohamed Yusuf berkata, perubahan itu adalah cabaran baharu dan tanggungjawab besar supaya diuruskan dengan baik serta integriti dalam menguruskan kewangan tersebut.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Mohd. Azhari Afirul Amiruddin berkata, mewujudkan Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian Pendidikan Tinggi adalah langkah bijak.
Katanya, ia akan membolehkan pemantauan dan pelaporan lebih baik terhadap pelaksanaan cadangan pembaikan pendidikan tinggi.
“Pihak kami menyambut baik usaha pembaikan ini dan memberikan sokongan penuh kepada pelaksanaan cadangan kajian NRC untuk mencapai matlamat pendidikan tinggi yang lebih baik.
“Cadangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang membolehkan badan pelajar menguruskan dana untuk aktiviti-aktiviti pelajar adalah sangat tepat untuk memperkasa penglibatan mahasiswa dalam pengurusan dana serta mempunyai autonomi sepenuhnya terhadap pengurusan aktiviti,”katanya.
Katanya, membangunkan pusat inovasi digital adalah langkah yang sesuai dalam menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan dalam era digital. – UTUSAN










