DALAM pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM60 juta bagi memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera kebangsaan. “Sastera dapat menghidupkan imaginasi pembaca dan semangat patriotik cintakan negara, sekali gus mendidik inspirasi moral dan nilai murni dalam jiwa bangsa,” katanya.
Terdahulu, sewaktu merasmikan Seminar Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 30 Mei lalu, Anwar melahirkan kebimbangan atas sikap pelajar dan mahasiswa yang kurang meminati bahasa, sastera dan budaya tempatan.
Topik ini turut diketengahkan pada sesi Perbincangan Meja Bulat Penulis Malaysia anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan di Pusat Kebudayaan India (ICC), Kuala Lumpur pada 14 Oktober lalu. Sesi itu menampilkan penulis pelbagai kaum yang menghasilkan karya pelbagai bahasa. Para peserta sebulat suara bersetuju bahawa walaupun medium bahasa digunakan adalah berbeza, namun kandungan, nilai, mesej dan budaya yang diangkat dalam karya para penulis ini tetap mengangkat wajah Bangsa Malaysia.
Masalah dan cabaran yang dihadapi pengarang pelbagai bahasa juga hampir sama. Misalnya, Timbalan Pengerusi Persatuan Penulis-Penulis Aliran Cina Malaysia, Ho Ching Dew menyebut betapa sukar menerbitkan karya dalam bentuk buku.
Chia Chen Eng yang menang pelbagai anugerah penulisan di dalam dan luar negara menyebut, sekarang ini mungkin penulis boleh melakukan swaterbit tetapi ia melibatkan wang dan timbul pula masalah mempromosi serta menjual buku.
Sebagai pengarang Malaysia yang menghasilkan karya bahasa Inggeris, Shih-Li Kow berkongsi rintangan dan cabaran dialami. Misalnya, kelompok penulis seperti dirinya terpaksa bersaing dengan pengarang luar negara.
Buku fiksyen Inggeris tempatan pula terlalu mahal dan sukar bersaing dengan karya import. Chiew Ruoh Peng yang merupakan penulis, penyair spoken word dan artis komediri menyatakan penulis bahasa Cina memang selalu membincangkan tentang nasib dan kedudukan sastera kelompok itu dalam kerangka sastera kebangsaan.
Dalam hal ini sekiranya diperhatikan, objektif penubuhan DBP sebagaimana jelas tercatat dalam Akta DBP bukan hanya menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan tetapi juga mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan bentuk-bentuk kesusasteraan lain dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain.
Malangnya, perkara ‘bahasa-bahasa lain’ sering diabaikan dan dilupakan sehingga persatuan dan penulis yang menghasilkan karya bahasa Inggeris, Tamil, Cina dan sebagainya tidak menerima sebarang bantuan. Malah, kelompok penulis ini dianggap tidak layak menerima pengiktirafan seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Anugerah Penulisan Asia Tenggara.
Pengarang kaum India yang menulis secara langsung dalam bahasa kebangsaan juga tidak terlepas daripada pelbagai cabaran, kekangan dan halangan. Anuradha Chelliah, Pragalath Kumar, Malini Lakshmi Bai dan saya sendiri berkongsi pengalaman kami dalam sesi ini.
Menyedari hakikat dan realiti yang wujud dalam dunia penulisan dan penerbitan di Malaysia, sesi perbincangan meja bulat turut membincangkan apa yang boleh dilakukan para penulis pelbagai kaum dan pelbagai bahasa tanpa terlalu bergantung kepada pihak yang tidak bersedia untuk membantu.
Lalita Sinha, seorang penterjemah profesional, berkongsi pengalaman mengendalikan projek penulisan bagi kanak-kanak semasa pandemik Covid-19 dengan dana Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Perkongsian ini amat penting kerana perbincangan kami turut meneliti usaha-usaha mempromosi karya penulis pelbagai kaum dan pelbagai bahasa ke luar negara.
Wakil penulis bahasa Cina mengingatkan walaupun ramai dalam kalangan mereka menerbitkan karya dan menang anugerah di China, Taiwan dan Hong Kong, mereka masih pengarang Malaysia yang sentiasa mengangkat keunikan Bangsa Malaysia dalam karya.
Memandangkan kandungan karya bahasa Inggeris, Tamil dan Cina tempatan mungkin kurang dikenali khalayak pelbagai kaum, penulis yang berkarya dalam bahasa kebangsaan dan Inggeris seperti Anuradha, Pragalath dan Malini mencadangkan supaya kerja-kerja penterjemahan dipergiat.
Sejak 2015, Kavyan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India menganjurkan sesi pertemuan melibatkan penulis pelbagai kaum dan pelbagai bahasa. Topik perlunya terjemahan silang dilakukan memang sentiasa diketengahkan. Malangnya, dana bagi menampung kos terjemahan dan penerbitan buku menjadi hambatan utama.
Memanglah peruntukan khas RM20 juta diumum dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu. Akan tetapi para penulis, penerbit dan sesiapa yang terlibat dalam industri perbukuan tempatan tahu bahawa pelaksanaan projek penerbitan dan penterjemahan tidak menyeluruh. Usah kita lupa, DBP tidak akan memandang karya penulis bukan Melayu, khususnya karya bahasa Inggeris, Tamil dan Cina.
Ruoh Peng mencadangkan penerbitan e-buku iaitu dalam bentuk digital kerana menjimatkan kos. Kemudian, timbul pula tanggungjawab mempromosi dan mengedarkan e-buku di dalam dan luar negara. Dalam hal ini, persatuan yang mewakili penulis pelbagai kaum dan bahasa boleh bekerjasama. Malah, karya terjemahan silang juga lebih mudah dipromosi jika wujud kerjasama padu.
Lalita mencadangkan supaya seni persembahan pelbagai budaya seperti tarian dan drama digunakan untuk menarik minat masyarakat majmuk di dalam dan luar negara terhadap karya sastera.
Chen Eng, Shih-Li dan Malini gembira dengan sesi pertemuan walaupun hanya melibatkan kelompok kecil serta berharap dapat diteruskan secara berkala dengan melibatkan penulis pelbagai kaum dan bahasa dari dalam dan luar negara.
Ching Dew menyarankan universiti tempatan membuka ruang dan peluang lebih besar untuk memperkatakan, mengkaji dan mempelajari karya pelbagai bahasa oleh penulis tempatan. Semua langkah ini boleh membantu usaha mempromosi penulis dan karya mereka ke peringkat Asia dan antarabangsa. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










