Hilang 14 nyawa, Nurul Ain kejar sempadan Rafah

Hilang 14 nyawa, Nurul Ain kejar sempadan Rafah

Keadaan di Semenanjung Gaza yang musnah dan ramai yang cedera selepas dibedil bom oleh rejim Zionis Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SIAPA sangka, kegembiraan untuk bertemu keluarga mentua buat pertama kalinya selepas enam tahun melangsungkan perkahwinan bersama suami, Mohamed Adnan Shaat berubah menjadi detik hitam apabila NURUL AIN HARON, 37, menjadi antara rakyat Malaysia yang terkandas dan berdepan situasi getir serangan keterlaluan Zionis Israel ke atas Palestin. Bahkan tindakan gila Zionis menyerang Hospital Al-Ahli al-Arabi di utara Semenanjung Gaza, malam kelmarin, amat tidak berperikemanusiaan. Berada di sana sejak 1 Oktober lalu, Nurul Ain dan suami yang sepatutnya berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 26 Oktober ini menyaksikan detik cemas dengan mata sendiri apabila roket melintas atas kepalanya selain berdepan serangan bom berdekatan rumah keluarga mentuanya. Malah sehingga hari ini, keluarga mentuanya kehilangan 14 ahli keluarga dan tiga lagi masih di rawat di hospital dalam serangan Israel kali ini.

Berkongsi keadaan semasa di sana kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, Nurul Ain yang dihubungi melalui aplikasi WhatsApp berharap dia dan suami dapat keluar dari negara itu dengan selamat selain terus mengharapkan sokongan dan doa daripada semua pihak bagi membantu rakyat Palestin yang terkesan.

UTUSAN: Boleh kongsi keadaan terkini?
NURUL AIN: Saya kini berada di Semenanjung Gaza. Buat masa ini arahan untuk kosongkan (berpindah) ke selatan hanya melibatkan mereka yang berada di utara.

Situasi kini tiada internet, tiada air bahkan stok makanan di kedai-kedai juga berkurangan kerana bekalan tidak boleh masuk dari Mesir dan sempadan Jordan.

Boleh beri bayangan situasi di sana?
Keadaan sangat getir. Dekat sini pun tidak berhenti (serangan) sampai sekarang. Semakin ramai hilang nyawa, keadaan sangat huru-hara.

Menurut suami, ketika Gaza diserang pada 2014, seramai 2,000 orang mati syahid dalam tempoh 51 hari tetapi kali ini melibatkan lebih 2,000 nyawa terbunuh hanya dalam masa tidak sampai dua minggu. Keadaan sekarang lebih teruk dari sebelum ini.

Adakah ini kali pertama anda berdepan situasi ini?
Ya, ini kali pertama saya menghadapi situasi ini. Ini kali pertama saya balik Gaza untuk berjumpa keluarga mertua selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.

Suami pun baru pulang selepas sembilan tahun menetap di UAE. Tidak sangka, kami berdepan situasi getir ini. Kali ini balik, perang pula tercetus.

Kerap berhubung dengan kedutaan Malaysia di sana?
Kami sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Mesir dan Jordan. Malah, dua hari lalu, kami cuba untuk keluar tetapi malangnya sempadan tidak dibuka oleh Israel sebaliknya mereka menyerang kawasan berdekatan sempadan Rafah.

Rasa macam kena scam dengan Israel pun ada.

Bagaimana dengan sumbangan? Adakah anda menerima sumbangan untuk diri sendiri dan rakyat Palestin?
Sekarang saya terima sumbangan dari Malaysia melalui akaun bank sendiri. Alhamdulillah, saya sedaya upaya cuba untuk memberi bantuan makanan. Kebanyakannya sekarang yang keluar dari rumah sama ada menyelamatkan diri atau rumah mereka hancur dibedil bom, lari ke rumah rakan atau saudara-mara. Mereka kurang mendapat bantuan daripada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) mahupun kerajaan Palestin.

Kerajaan Palestin memberi keutamaan kepada mereka yang berada di sekolah-sekolah kerana lebih memerlukan berbanding mereka yang lari ke rumah rakan atau saudara-mara.

Bantuan yang diterima tidak mencukupi. Bayangkanlah, satu rumah ada dua atau tiga keluarga.

Ada ‘muncul’ penyakit lain akibat sekatan bekalan air bersih kepada penduduk Gaza?
Kebanyakannya melibatkan ramai kanak-kanak yang tidak sihat. Mereka batuk dan selesema sebab air tak bersih. Kami hanya terima air masin. Jadi, keluarga yang senang sedikit, alhamdulillah, mereka ada penapis sementara untuk keluarga yang agak sukar, terpaksalah mengadap air masin.

Ada perkhabaran bila agaknya boleh keluar dari sana?
Kami menunggu sempadan dibuka. Buat masa ini tiada apa-apa berita daripada kedutaan atau PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Saya dan suami berada dalam keadaan bersedia sahaja. Kalau kedutaan dan PBB hubungi Nurul (Nurul Ain) untuk pergi ke sempadan Rafah sekarang sebab pintu sudah dibuka, kami sentiasa bersedia untuk keluar dari sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×