UMS terima RM50,000 daripada YIM, tingkat daya saing inovasi

UMS terima RM50,000 daripada YIM, tingkat daya saing inovasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui U-Science menerima peralatan-peralatan Makerspace bernilai RM50,000 daripada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bagi meningkatkan daya saing inovasi dan budaya mencipta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh, sumbangan merangkumi pelbagai peralatan Makerspace termasuk komputer, pencetak 3D, Smart TV, pemotong dan pengukir laser dan set Arduino.

Beliau berkata, YIM melalui inisiatif pembangunan Ruang Daya Cipta (RDC) bermatlamat sebagai hab perkongsian pengetahuan dan kemahiran.

“Ia termasuklah pengalaman praktikal melalui kaedah Quintuple Helix iaitu gabungan kerajaan, industri, akademia, masyarakat dan alam sekitar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena kunjungan hormat bersama pegawai-pegawai YIM ke Pejabat Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor baru-baru ini.

Komitmen YIM dalam menyokong U-Science UMS melalui sumbangan peralatan Makerspace, menunjukkan kerjasama antara kedua-dua organisasi inovatif ini dalam memastikan daya kreativiti dan penerokaan terus berkembang di Sabah.

Sharmila berharap sumbangan itu dapat memberikan manfaat secara menyeluruh terutama kepada semua warga UMS.

“Saya percaya dengan potensi besar masyarakat negeri Sabah untuk menghasilkan sesuatu ciptaan atau inovasi melalui kemudahan atau akses kepada peralatan-peralatan ini,” katanya.

Sementara itu, Kasim merakamkan penghargaan kepada YIM atas sumbangan yang telah diberikan.

Jelasnya, sumbangan itu adalah yang kedua diberikan YIM kepada U-Science, yang sebelum ini turut menyumbangkan peranti pintar.

“Saya berharap pelajar-pelajar UMS mahupun komuniti di sekitar UMS dapat mengambil peluang serta memanfaatkan dengan baik peralatan Makerspace ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×