Penganalisis persoal kemampuan MYAirline

Penganalisis persoal kemampuan MYAirline

REPUTASI MYAirline terjejas teruk selepas menggantung operasi serta-merta pada 12 Oktober lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi mempersoalkan kemampuan MYAirline untuk kembali bersaing dalam industri penerbangan negara, selepas menghentikan serta-merta operasinya baru-baru ini.

Malah beliau turut mempersoalkan keupayaan syarikat penerbangan tambang rendah itu untuk mendapatkan dana yang cukup bagi membiayai semula opera­sinya, selain memperoleh kembali keyakinan penumpang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, syarikat memerlukan dana bukan sahaja untuk membayar hutang dan gaji, tetapi juga untuk membeli aset dan penyelenggaraan.

Katanya, syarikat penerbangan yang beroperasi tidak sampai setahun itu juga terpaksa bersaing dengan syarikat penerbangan tambang rendah lain seperti Air­asia dan Batik Air, yang lebih lama dalam industri.

“Persaingan ini menjadikan MYAirline mengalami kerugian sebab Airasia sudah membuat potongan harga tiket ke semua destinasi MYAirline.

“Bolehkah mereka bersaing de­ngan Airasia yang telah menguasai 50 peratus pasaran penerbangan tempatan?,” soalnya di sini semalam.

MYAirline mula beroperasi pada Disember 2022. Selain destinasi domestik, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah meluluskan ATR MYAirline ke destinasi di Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Berikutan kelulusan ATR yang diberikan, MYAirline telah mula beroperasi ke Bangkok, Thailand sejak Jun 2023. AirAsia turut beroperasi di laluan sama.

Sementara itu, Abu Sofian berpendapat, jika MYAirline menerim dana, pemberi dana perlu menjadi rakan kongsi supaya pelanggan mempunyai keyakinan semula untuk menggunakan perkhidmatan MYAirline yang sudah tercemar ketika ini.

Menurutnya, syarikat bukan sahaja perlu menyemak kos operasi tetapi juga destinasi penerbangan berdasarkan pesawat yang sedia ada supaya tidak ada penangguhan atau pembatalan penerbangan.

“Mereka juga perlu menambah aset lagi dan mengkaji semula model perniagaan supaya boleh menandingi Airasia dan Batik Air,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan sudah ada syarikat pemula penerbangan negara sebelum ini yang telah gulung tikar setelah beberapa bulan dan pengalaman lepas sepatutnya jadi pengajaran.

“Adalah menjadi tanggungjawab MAVCOM untuk mengkaji secara terperinci sebelum sebarang lesen penerbangan boleh diluluskan.

“MAVCOM perlu membuat pemantauan dan syarikat penerbangan perlu menghantar laporan kewangan setiap suku tahun,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×