PASIR SALAK: “Suami selalu cakap dia bangga kerana terlibat dalam pembinaan jambatan Bagan Datuk hingga siap, sampaikan dia bawa kami sekeluarga lalu di atas jambatan itu lima kali.”
Itu antara kenangan Nur Ain Fahiza Bakar, 28, bersama suaminya, Mohd. Amirul Azril Mohd. Shafiee, 34, sebelum suaminya itu ditemukan lemas di Sungai Perak pada Isnin lalu.
Mohd. Amirul dan sepupunya, Mohamad Afandy Mamosati, 34, ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot akibat arus deras.
Nur Ain berkata, suaminya adalah antara pekerja yang terlibat dalam pembinaan jambatan yang merentasi Sungai Perak menghubungkan Bagan Datuk dan Kampung Sejagop di Daerah Perak Tengah, kini dinamakan Jambatan Sultan Nazrin Shah.
Katanya, suaminya bekerja di jambatan itu kira-kira empat tahun dan sebaik sahaja jambatan tersebut siap dibina, suaminya kembali menjadi nelayan sepenuh masa.
“Suami selalu kata dia seronok, terharu dan bangga kerana merupakan antara pekerja untuk menyiapkan jambatan itu. Dia semakin gembira selepas jambatan itu dibuka, seterusnya dirasmikan dan dinamakan sempena Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah baru-baru ini.
“Setiap kali dia bawa saya dan anak-anak naik kereta melintasi jambatan itu, dia mesti cakap dia pernah bekerja di situ. Dia kata dia seronok dan puas kerana dengan hasil kerjanya, dia boleh bawa kami sekeluarga ke Bagan Datuk.
“Sebelum arwah meninggal dunia, lima kali dia bawa saya lalu jambatan itu pergi pekan Bagan Datuk. Begitulah kegembiraannya, dia seronok sangat,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Bandar Air Kota Setia di sini.
Pembinaan Jambatan Sultan Nazrin Shah adalah infrastruktur yang sudah lama dinantikan penduduk Bagan Datuk dan Perak Tengah kerana memberi kemudahan kepada akses laluan pengangkutan utama dengan masa lebih singkat seperti ke Lembah Klang dan Pelabuhan Lumut, selain menghubungkan Bagan Datuk dengan daerah Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.
Jambatan bernilai RM460 juta sepanjang 10.5 kilometer dengan 1.54 kilometer panjang jambatan merentasi Sungai Perak itu mula dibina pada 2016, mampu memberi impak besar terhadap pembangunan di daerah Bagan Datuk.
Sementara itu, Nur Ain mengakui terkilan kerana suaminya tidak sempat menjamah sambal kerang sebagai hidangan tengah hari pada Ahad lalu apabila keluar rumah selepas sepupunya meminta bantuan membawakan bot di jeti Sungai Tiram, Lekir menggunakan jalan sungai ke Jeti Kota Setia di sini.
Katanya, sehari sebelum kejadian, suaminya ke sungai mencari kerang dan hasilnya dibawa balik untuk dimasak keesokannya.
“Suami minta masakkan sambal kerang untuk makan tengah hari pada Ahad tapi dia keluar lebih awal ke jeti untuk membantu sepupunya.
“Saya tak sangka itu permintaan terakhirnya sebelum suami saya dan sepupunya ditemukan lemas.
“Sekarang saya mahu memberi tumpuan untuk membesarkan tiga anak kami, yang sulung berusia enam tahun, kedua tiga tahun dan paling kecil berusia setahun 10 bulan,” katanya. – UTUSAN











