PDC batal jual tanah kepada UMECH Land

PDC batal jual tanah kepada UMECH Land

LEMBAGA Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Lembaga Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memutuskan menamatkan perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land Sdn. Bhd. (UMECH Land) dengan memberikan notis tiga bulan berdasarkan klausa 19 Perjanjian Usahasama PDC-UMECH Land.

Menurut Lembaga PDC, pihaknya telah meneliti kes UMECH Land dan mendapati proses pemilihan UMECH Land termasuk penetapan sumbangan tunai, jadual bayaran kepada PDC adalah telus dan selaras dengan dasar PDC.

Katanya, Lembaga PDC juga mengambil maklum kolaborasi itu adalah munasabah dan memberi impak positif kepada aliran tunai PDC termasuk dari aspek komersial dan faedah kepada pembangunan negeri Pulau Pinang.

”Bagaimanapun, perubahan majoriti struktur ekuiti syarikat UMECH Land sehingga berlaku perubahan pihak yang mengawal dan menerajui projek yang dilaksanakan tanpa memaklumkan dan mendapat kelulusan PDC secara rasmi adalah satu isu yang dipandang serius dan tidak boleh diterima oleh Lembaga PDC.

”Oleh itu, Lembaga PDC memutuskan untuk menamatkan perjanjian usaha sama dengan pihak UMECH Land Sdn Bhd dengan memberikan notis tiga bulan berdasarkan klausa 19 Perjanjian Usahasama PDC -UMECH Land,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempersoalkan keputusan PDC mengenai penjualan tanah seluas 223.6 hektar di Byram, Kawasan Perindustrian 2 Batu Kawan (BKIP2), Batu Kawan kepada syarikat UMECH Construction Sdn. Bhd. (UMECH) yang didakwa di bawah nilai pasaran.

Antaranya ialah bekas Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy yang mempersoalkan mengapa tanah tersebut dijual melalui rundingan terus tanpa pelaksanaan tender terbuka dan mengapa dinilaikan pada kadar yang rendah.

Lembaga PDC berkata, selepas penamatan kontrak, PDC diarahkan untuk mengiklan secara meluas dengan menggunakan pelbagai saluran media massa melalui ‘request for proposal’ (RFP) untuk cadangan kolaborasi dengan pihak PDC memajukan Taman Perindustrian BKIP2.

“RFP ini akan diiklankan oleh PDC dalam masa terdekat bagi menarik pelabur yang berminat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×