GEORGE TOWN : Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah melantik perunding bagi melihat semula keseluruhan pembangunan dalam usaha menceriakan kembali kawasan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Datuk Aziz Bakar berkata, pihaknya menjangkakan bahawa dalam tempoh tiga bulan lagi, PDC akan memperoleh cadangan daripada perunding terlibat mengenai projek yang sesuai dilaksanakan di kompleks berkenaan.
“Kita sudah melantik perunding untuk melihat semula keseluruhan pembangunan di Komtar dan kita akan tingkatkan usaha untuk ceriakan kembali kawasan ini.
“Pada masa yang sama, kita juga akan adakan pengezonan kawasan Komtar dan melihat apakah aktiviti yang perlu dibuat untuk menghidupkan semula suasana di Komtar,” katanya dalam sidang akhbar di PDC di sini, hari ini.
Kompleks yang menjadi mercu tanda bagi George Town itu siap dibina pada 1985 dengan ketinggian kira-kira 231.7 meter (760 kaki) dan merupakan bangunan kedua tertinggi di Asia dan tertinggi di Asia Tenggara pada masa tersebut.
Kompleks utama Komtar pula dibina antara tahun 1974 dan 1986 dengan kos permulaan RM279.5 juta. Bagaimanapun, kompleks itu kini kelihatan suram apabila terpaksa bersaing dengan kompleks beli belah lain yang pesat membangunan di Pulau Pinang ketika ini.
Kini, Komtar hanya dilihat berfungsi sebagai pusat pentadbiran kerajaan negeri selain pejabat untuk Ketua Menteri Pulau Pinang sahaja berbanding menjadi pusat aktiviti tumpuan ramai di pusat bandar sebelum ini.

Sementara itu, Aziz berkata, sesi libat urus bersama pemilik dan penyewa unit-unit perniagaan di Komtar juga akan dilaksanakan bagi memastikan mereka turut-serta atau terlibat dalam projek tersebut.
“Sesi libat urus dengan penyewa dan pemilik unit di Komtar akan diadakan kerana PDC tidak memiliki 100 peratus unit-unit di Komtar. Ada juga (unit itu yang) dimiliki pemilik lain secara persendirian.
“Dalam hal ini, kita juga libatkan mereka sekali dalam sesi perbincangan kerana mahu lihat apa yang terbaik untuk Komtar,” katanya.-UTUSAN










