Pamer projek RM5b di Jepun untuk tarik pelaburan ke Pulau Pinang

Pamer projek RM5b di Jepun untuk tarik pelaburan ke Pulau Pinang

CHOW Kon Yeow (kiri) memukul gong sebagai gimik pelancaran 'Penang Week' di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah mengambil langkah proaktif apabila mempamerkan beberapa projek pembangunan strategik yang bernilai lebih daripada RM5 bilion di Pulau Pinang pada Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun yang sedang berlangsung ketika ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk menarik pelaburan baharu khususnya dari negara Matahari Terbit itu ke Pulau Mutiara.

Menurut Kon Yeow, kesemua projek mega yang berimpak tinggi itu terhasil daripada pelan strategik PDC bagi tempoh 2024-2028 dan masih terbuka untuk semua pelabur yang berminat.

“Antara projek yang akan diketengahkan termasuk The Coast iaitu sebuah mercu tanda pinggir laut bernilai RM839 juta dan Penang Linear Waterfront, iaitu projek persiaran tepi laut bernilai RM9.8 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan secara dalam talian bersama media Pulau Pinang selepas melancarkan ‘Penang Week’ di Pavilion Malaysia sempena ekspo tersebut, hari ini.

Ujar Kon Yeow, selain dua projek berskala besar itu, beberapa projek lain yang akan diberi keutamaan termasuk projek Taman Aero Logistik Antarabangsa Pulau Pinang (PILA) dan Bandar Perubatan di Bandar Cassia, Batu Kawan.

Pada majlis yang sama, PDC turut memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) secara berasingan dengan dua syarikat logistik terkemuka iaitu Federal Express Services (M) Sdn. Bhd. (FedEx) dan DHL Express (Malaysia) Sdn. Bhd..

Pemeteraian memorandum tersebut adalah langkah awal sebelum penubuhan PILA di Batu Maung, dengan menjadikan kedua-dua syarikat logistik berkenaan sebagai rakan kongsi strategik untuk projek terbabit.

Kon Yeow berkata, selain dua MoU itu, satu lagi memorandum yang dianggarkan bernilai RM120 juta turut dimeterai antara syarikat tempatan, Solar Voltech Sdn. Bhd. dan Atlantic Blue Sdn. Bhd., dengan syarikat gergasi Jepun, Shizen International Inc. pada majlis terbabit.

“Untuk pengetahuan, kita turut membawa tiga syarikat peneraju reka bentuk IC (litar bersepadu) tempatan iaitu Tenasic, SiliconX dan SkyeChip ke Jepun bagi menyertai seminar pelaburan serta sesi pemadanan perniagaan dengan pelabur di sini (Jepun),” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Jepun masih kekal sebagai satu daripada lapan destinasi eksport utama Pulau Pinang ketika ini dengan nilai dagangan mencecah RM14 bilion tahun lepas dan RM8.3 bilion bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

“Kami juga pernah menjadi ‘rumah’ kepada kira-kira 3,500 ekspatriat, pelabur serta para pesara dari Jepun yang menjadikan Pulau Pinang sebagai rumah kedua mereka sebelum ini,” katanya yang menjelaskan, hubungan ekonomi antara Pulau Pinang dan Jepun sebenarnya telah terjalin sejak 50 tahun yang lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN