Bila kuliah, perjuang isu rakyat biar macam naga keluar api… - Utusan Malaysia

Bila kuliah, perjuang isu rakyat biar macam naga keluar api…

Di sebalik minat besar Pas terhadap topik-topik politik memanjang, realitinya banyak isu berkepentingan rakyat yang patut diperjuangkan. Selain isu air dan masalah sosial termasuk penyalahgunaan syabu, pil kuda, usaha-usaha membela kebajikan Orang Asli di Gua Musang seharusnya menjadi keutamaan menteri besarnya, Mohd. Nassuruddin Daud.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU dengar pemimpin-pemim­pin politik di Kelantan bersyarah, macam naga keluar api.
Dia punya semangat posing itu lain macam. Kalau menteri besarnya, orang Kelantan kata bekeng. Intonasi suara garang. Yang lainnya pula biasa-biasa, slow sikit.
Yang mendatar nadanya menteri besar sebelum pilihan raya umum ke-15. Yang seorang lagi, kalau dia nak hentam bekas partinya yang dulu itu, nada syarahannya tinggi. Kalau boleh nak benda itu jadi `meletup’.
Di Kelantan, MB nya yang digelar `singa Pas’ bila bagi tazkirah dan kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu, pejabat Pas di Kota Bharu, membantai dan menghentam pesaing Pas dan kerajaan Pusat tak sah kalau tak ada.
Akhir bulan lepas, dalam kuliahnya Datuk Mohd. Nassuruddin Daud melabelkan puak-puak yang menentang Islam sebagai golongan dimurkai Allah dan diperkuda-kayukan oleh syaitan sehingga melupakan Tuhan Yang Maha Esa.
“Bagaimana jalan orang yang Allah marah? Jalan yang melawan Islam. Yahudi, Kristian malah orang Islam sendiri yang melawan Islam pun Allah marah. Orang yang turut ajaran syaitan… Allah marah belaka.
“Orang-orang yang diperkuda-kayukan oleh syaitan…syaitan buat dia jadi kuda kayu lalu mereka melupakan Allah. Orang lagu tu (seperti itu) orang panggil parti syaitan,” katanya di Medan Ilmu.
Dan pesaing Pas cukup maklum Nassuruddin merujuk parti yang mana. Yang kuliahnya itu barangkali ada kaitan mengempen undi pilihan raya kecil DUN Pelangai di Pahang 7 Oktober lalu.
Cumanya, persoalan bermain-main di benak fikiran ini terutama dari luar Kelantan, adakah isu politik sahaja disukai Pas dalam siri ceramah, syarahan dan kuliahnya. Macam waktu kempen enam pilihan negeri Julai/Ogos lalu, asyik dicanang-canangkan kalau Pas menerusi Perikatan Nasional (PN) sapu bersih enam negeri, kerajaan Pusat akan bertukar. Isu-isu yang cenderung memperjuangkan kebajikan rakyat kurang disentuh. PRN itu diuar-uarkan Pas berupa referendum rakyat terhadap kerajaan perpaduan yang tidak kukuh. Topik ‘referendum rakyat’ dilagukan berulang kali hinggalah bila dikeluarkan manifesto oleh parti lawan berkaitan isu-isu setempat antaranya masalah air, barulah hendak dijawab Pas. Itupun semasa grand finale kempen yang dikupas sekali harung dengan isu royalti.

ORANG ASLI GUA MUSANG
Di sebalik minat besar Pas terhadap topik-topik politik memanjang, realitinya banyak isu berkepentingan rakyat khususnya yang patut diperjuangkan. Selain isu air dan masalah sosial termasuk penyalahgunaan syabu, pil kuda, usaha-usaha membela kebajikan Orang Asli di Gua Musang sepatutnya jadi keutamaan.
Ini termasuk menyelesaikan masalah tanah adat. Orang Asli di situ mendakwa pembukaan ladang di kawasan Lojing secara besar-besaran menjejaskan penempatan dan mata pencarian mereka. Pembukaan itu didakwa menyebabkan kawasan rayau mereka semakin mengecil. Ini sekali gus menjejaskan pendapatan termasuklah sumber bekalan air bersih (air tandak).
Pada masa sama, mereka diselubungi kebimbangan dengan aktiviti pertanian yang boleh menyebabkan risiko berlakunya banjir lumpur dan tanah runtuh akibat hujan. Antara kampung berisiko hakisan itu ialah Kampung Jedip, Brooke Lama, King Kong, Sang Wai A dan B, Sendrop, Bahong, Mendrop, Hendrop dan Kampung Jekjok yang sudah wujud lebih 30 tahun lalu.
Suku Temiar yang menetap di Kampung Kelaik, Pos Blau pula mendakwa kawasan penempatan mereka kian ‘mengecil’ akibat penerokaan tanah. Antaranya kerana tujuan perladangan durian, kelapa sawit dan aktiviti perlombongan. Dilaporkan media sebelum ini, pada 2020, Kerajaan Kelantan telah mewartakan kawasan seluas 1,644 hektar sebagai zon penempatan dan pertanian masyarakat Orang Asli di negeri itu.
Timbalan Menteri Besar sebelum ini, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menyatakan ia melibatkan lapan kawasan perkampungan atau pos Orang Asli di Gua Musang dan sebuah di Jeli.
Demikian juga konflik haiwan liar dengan Orang Asli. Masalah melibatkan gajah dan harimau sejak mutakhir ini sudah menjadi ‘barah’ buat masyarakat itu.
Ia dikatakan berpunca daripada penebangan balak dan penekoraan tanah untuk tujuan pertanian yang semakin rancak berlaku di hulu Kelantan. Terbaharu, seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau ketika keluar menyumpit dalam kejadian di Pos Pasik.

AIR, AIR, AIR
Dan masalah paling biasa diperkatakan pastinya isu air, yang sudah menjadi duri dalam daging buat penduduk di negeri itu.
Bagaimanapun Mohd. Amar sebelum pilihan raya negeri lalu menganggap masalah itu bukanlah besar kepada rakyat Kelantan. Ini apabila beliau memuji pula tindakan rakyat negeri itu menggali telaga bagi selesaikan masalah tersebut. Saban minggu ada sahaja masalah melibatkan gangguan bekalan termasuklah air berkarat dimuat naik penduduk menerusi laman sosial.
Dan serius tak serius masalah bekalan air di Kelantan sehinggakan Sultan Kelantan menitahkan kerajaan negeri dan persekutuan berusaha mening­katkan infra kemudahan air.
Menteri berkaitan sumber asli, Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini mendedahkan kegagalan aspek pengurusan selain tadbir urus syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dilihat menjadi punca utama kepada masalah air di Kelantan terus berlanjutan dan tidak pernah selesai. Wallahualam.
Bukan sahaja Kelantan, setiap kerajaan negeri ditadbir sama ada Pas, Barisan Nasional atau Pakatan Harapan wajib bawa masuk pelaburan dan memacu ekonomi penduduknya. Itu lebih Islamik.
Tidak boleh duduk selesa asyik berpolitik sepanjang masa.
Buangkanlah kelaku bila bersyarah, nada ucapan macam naga keluar api. – Mingguan Malaysia

Memuatkan artikel berkaitan…
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini