Benarkah masyarakat India tidak lagi perlukan MIC?

Benarkah masyarakat India tidak lagi perlukan MIC?

Kesetiaan masyarakat India di Malaysia tidak wajar dipersoal kerana ia telah dibuktikan menerusi pelbagai aspek dalam membangunkan negara maju dan harmoni sejak 66 tahun yang lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, berita seorang bekas Pengerusi MIC negeri yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi dua penggal keluar parti menjadi bahan perbualan hangat dalam kalangan masyarakat India. Malah tindakannya itu menimbulkan tanggapan kononnya ahli-ahli MIC kian ramai keluar parti.

Selain itu, media sosial juga melaporkan kononnya satu perjumpaan telah diadakan di Dewan Laksamana, Klang, Selangor untuk membincangkan keperluaan bagi menubuhkan sebuah lagi parti politik untuk mewakili kaum India di negara ini.

Hanya MIC merupakan satu-satunya parti yang mewakili masyarakat India bagi beberapa dekad, sebelum dan selepas negara mencapai kemerdekaan. Meskipun banyak parti lain ditubuhkan, kononnya untuk mewakili kaum India di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut rentetan sejarah penubuhan parti politik bagi mewakili kaum India di negara ini, MIC merupakan yang terawal sekali. MIC menyertai Perikatan, iaitu gabungan UMNO, MCA dan MIC, berjuang untuk mencapai kemerdekaaan, malah menganggotai Kabinet Persekutuan dan negeri mewakili kepentingan kaum India sejak ditubuhkan pada 1946.

Namun, medan politik negara menyaksikan penubuhan pelbagai parti politik. Antaranya pada 1985, Parti Demokratik India Malaysia (DMIP) ditubuhkan oleh seorang Naib Presiden MIC yang dibuang daripada parti.

Selain itu, Barisan Progresif India (IPF), sebuah parti politik bagi mewakili kaum India ditubuhkan pada 1990 juga oleh seorang bekas Naib Presiden MIC yang dibuang parti atas kesalahan disiplin. IPF ditubuhkan sebagai parti serpihan MIC yang turut disertai hampir 30 peratus ahli MIC yang keluar daripada parti. Pada awalnya, IPF menyertai Gagasan Rakyat, iaitu gabungan parti-parti politik yang menentang Barisan Nasional (BN). IPF menentang BN sekali gus MIC dalam pilihan raya sehingga 1996 dan akhirnya menukar haluan perjuangan dan menyokong BN mulai 1996.

Seterusnya, Barisan Bertindak Demokratik India Malaysia (Mindraf) ditubuhkan pada 2005 oleh seorang bekas wartawan yang berpengalaman dalam bidang media selama hampir 40 tahun dengan alasan kononya MIC gagal membela kepentingan kaum India.

Berikutnya, Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) ditubuhkan pada 2007 oleh seorang bekas ahli MIC dan PKR yang juga pernah tersingkir daripada kedua-dua parti tersebut. MUIP ditubuhkan kononnya untuk mewakili kaum India dalam medan politik negara.

HINDRAF

Seterusnya pada 2009, susulan perhimpunan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), parti Hak Asasi Manusia (HRP) ditubuhkan oleh seorang bekas pelopor gerakan Hindraf dengan alasan kononya MIC bukan sahaja gagal mempertahankan hak-hak asasi kaum India, malah bersekongkol dengan UMNO yang didakwa mengamalkan diskriminasi kaum dalam pembentukan dan pelakasanaan dasar-dasar kerajaan serta penguatkuasaan undang-undang.

Namun, apabila gabungan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan BN dan membentuk kerajaan baharu, Parti Kemajuan Malaysia (MAP) ditubuhkan pada 2019 oleh seorang pelopor Hindraf dengan alasan MIC gagal membela hak-hak kaum India yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan. MAP mendakwa masyarakat India masih menghadapi masalah dalam memperoleh dokumen-dokumen rasmi kerajaan seperti surat beranak, kad pengenalan dan kerakyatan.

Selain itu, sebuah parti politik baharu, Parti Keadilan India (IJP) diumumkan akan ditubuhkan oleh seorang ahli perniagaan dari Klang yang merupakan bekas penyokong kuat PKR.

Penubuhan IJP dicadangkan dengan alasan kaum India memerlukan sebuah parti politik yang bersunguh-sungguh dalam memperjuangkan kepentingan mereka bagi mendapat keadilan daripada kerajaan.

Susulan timbul perselisihan fahaman dan pecah belah antara penganjur, pelopor dan pejuang gerakan Hindraf, Parti Malaysia Makkal Sakti (MMSP) ditubuhkan pada 2009 oleh bekas penyokong Hindraf. Hampir semua ahli MMSP adalah bekas penyokong Hindraf. Meskipun Hindraf mendakwa kerajaan BN diterajui UMNO mengamalkan dasar diskriminasi terhadap kaum India, MMSP pula didapati menyokong malah berkerjasama dengan BN khususnya kepimpinan UMNO.

Pada keseluruhannya, parti-parti politik yang ditubuhkan oleh beberapa pihak didapati bukan bersandarkan aspirasi sebahagian besar kaum India tetapi ditubuhkan berasaskan cita rasa seseorang pemimpin yang berpengaruh dalam masyarakat India.

Dengan itu, parti-parti yang ditubuhkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan hilang dari medan politik negara sekelip mata selepas berfungsi sebagai hangat-hangat tahi ayam bagi sementara waktu dan terus mati.

Memandangkan kaum India hanya merupakan 6.7 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia tetapi dibanjiri berpuluh-puluh parti politik dengan fahaman dan haluan masing-masing, apakah perlunya satu lagi parti politik baharu bagi mewakili mereka di negara ini?

Sebaliknya, MIC yang ditubuhkan pada 1946 menjangkaui 77 tahun, masih gagah dan terus memainkan peranan penting dalam membela dan mempertahankan hak serta kepentingan kaum India secara berterusan sama ada MIC menyertai kerajaan ataupun tidak menganggotai Kabinet. Malah MIC masih kekal sebagai sebuah parti komponen yang terkuat dalam BN dan mampu menentukan kemenangan calon-calon BN dalam pilihan raya.

Justeru, parti-parti politik yang mendakwa dirinya sebagai parti mewakili kaum India perlu bermuhasabah, elak sengketa antara parti-parti politik India. Sebaliknya bekerjasama dengan MIC, parti keramat kaum India yang kini dipimpin Tan Sri S.A. Vigneswaran dalam menguatkan lagi perpaduan antara parti-parti politik orang India bagi memastikan keutuhan kuasa politik kaum itu disegani dan dihormati oleh kaum lain selaras dengan konsep madani ditaja oleh kerajaan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial dan politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×