JERANTUT: Apabila sukar memperoleh beras tempatan di pasaran dengan harga murah, peniaga nasi lemak, Zulkifli Nordin, 44, sanggup menggunakan beras import tetapi harga makanan dijual kekal RM1 sebungkus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zulkifli yang berjaja berdekatan Balai Bomba Jerantut berkata, walaupun menggunakan beras import yang berharga lebih RM40, dia tetap menjual nasi lemak dengan harga RM1 sebungkus kerana hasratnya untuk beramal jariah membantu pelanggan yang kurang berkemampuan.
“Sejak awal bulan ini berlaku kekurangan beras tempatan malah kadang-kadang tidak dijual di kedai runcit, saya terpaksa mengalih berbelanja 10 kilogram beras import dengan harga lebih RM40 untuk tempoh tiga hari.
“Hasil jualan antara RM150 hingga RM200 (bergantung jumlah bungkus) sehari kerana sebahagian hasil jualan masih mencukupi untuk modal berniaga hari berikutnya walaupun kurang RM10 hingga RM20 pendapatan harian berikutan menggunakan beras import,” katanya di sini semalam.
Menurut Zulkifli, nasi lemak yang diletakkan telur dadar, sambal, dan mentimun dijual dengan harga RM1 memadai bagi golongan yang berpendapatan rendah berbelanja sarapan termasuk pelajar sekolah sebagai bekalan waktu rehat.
Ceritanya lagi, dia juga menjual nasi lemak dicampur telur rebus, sambal dan mentimun dengan harga RM2 iaitu kekal seperti sebelum ini kerana ada permintaan pelanggan terhadap makanan itu namun harga berkenaan masih relevan dan tidak membebankan.
Tentang kenaikan harga beras import malah kadang-kadang sukar memperoleh beras tempatan dan telur, dia berpandangan tidak sepatutnya harga nasi lemak dan nasi biasa (putih) naik kerana menggunakan beras import masih boleh bertahan dari segi pendapatan
“Kenaikan harga beras yang diuar-uarkan di media sosial, tidaklah memberi kesan kepada jualan nasi lemak dan saya tetap selesa mengekalkan harga RM1.
“Saya dan isteri, Sarina Samsudin menyediakan 200 bungkus sehari bermakna kami peroleh RM200 dan separuh hasil jualan masih cukup untuk menyediakan modal belanja bagi perniagaan hari berikutnya, malah kadang-kadang mampu tampung (modal) selama dua hari,” katanya.
Zulkifli berkata, sejak berhenti kerja kilang di Kuala Lumpur ketika ancaman pandemik Covid-19, dia pulang ke Jerantut dan menumpukan perniagaan itu mampu belanja keperluan dapur dan kebajikan keluarga.
“Ramai pelanggan berbelanja pada waktu pagi dan biasanya kira-kira 200 bungkus sehari laku dalam tempoh antara pukul 7.30 pagi hingga 9 pagi setiap hari. Malah ada mereka yang ‘mengusik’ sambil bertanya kenapa jual dengan harga RM1 sedangkan harga beras import meningkat,” katanya. – UTUSAN










