PETALING JAYA: Pemberian bantuan wang tunai berdasarkan pendapatan boleh guna isi rumah adalah kaedah terbaik untuk mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap subsidi khususnya bagi barangan keperluan harian.
Langkah ‘serampang dua mata’ itu dilihat sebagai suatu mekanisme paling sesuai untuk bukan saja mengurangkan perbelanjaan kerajaan terhadap subsidi yang kini mencecah RM64 bilion pada tahun ini, malah ia lebih bersasar dan tepat kepada golongan memerlukan.
Pada masa sama, kerajaan perlu meningkatkan bantuan kepada industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya dapat menambahbaik pendapatan golongan bumiputera sekali gus mengurangkan kebergantungan mereka terhadap subsidi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Nur Surayya Mohd. Saudi berkata, kos subsidi yang tinggi ditanggung kerajaan disebabkan Malaysia adalah negara pengimport terutamanya barangan keperluan harian untuk kegunaan rakyat.
Menurut beliau, langkah itu mengakibatkan negara terjerat disebabkan perbezaan mata wang ringgit yang grafnya sering mendatar dan menjunam.
“Jadi, saya berpandangan bahawa langkah terbaik untuk mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap subsidi adalah dengan pemberian wang tunai berdasarkan pendapatan boleh guna khusus kepada golongan yang memerlukan.
“Wang tunai itu boleh diberikan secara empat kali setahun untuk mereka gunakan bagi menampung perbelanjaan barangan keperluan harian. Langkah itu dapat menghadkan perbelanjaan subsidi yang sebelum ini dibuat secara menyeluruh kepada lebih bersasar,” katanya.
Berdasarkan laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terdapat tiga barangan bersubsidi yang menjadi kegunaan tinggi rakyat iaitu tepung gandum, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG).
Selain itu, kerajaan turut menanggung subsidi petrol (RON95), diesel dan tarif elektrik.
Bagaimanapun, pada masa-masa tertentu kerajaan turut memberikan subsidi terhadap barangan keperluan lain seperti ayam, telur, beras dan beberapa lagi bagi mengimbangi peningkatan mendadak harga barangan tersebut di pasaran.
Mengulas lanjut, Nur Surayya berkata, walaupun langkah tersebut agak rumit, ia lebih mudah dikawal berbanding mengawal subsidi secara pukal yang turut dimanfaatkan oleh golongan tidak sepatutnya.
“Setiap tahun negara ada melakukan bancian pendapatan penduduk, jadi daripada memberi subsidi secara menyeluruh lebih baik berikan bantuan kewangan berdasarkan bancian pendapatan boleh guna rakyat. Sudah tiba masanya kita lebih teliti dalam perkara ini,” katanya.
Menurut Nur Surayya, pada masa sama, kerajaan perlu memperkasakan industri PKS yang dilihat sebagai satu industri berpeluang cerah untuk membantu golongan berpendapatan rendah untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
Katanya, seperti di Amerika Syarikat (AS) kutipan cukai tertinggi adalah disumbangkan daripada industri PKS sekali gus membantu meningkatkan pendapatan negara.
“Industri PKS apabila sudah diperkasa, ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, mengurangkan pengangguran serta meningkatkan pendapatan. Apabila pendapatan mereka mula meningkat, tak perlu lagi bergantung kepada subsidi kerajaan,” katanya. – UTUSAN










