ALOR SETAR: Graduan Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas) yang meraih anugerah paling cemerlang pada istiadat konvokesyen institut pengajian itu beranggapan kejayaannya adalah berkat doa dan restu ibu bapanya.
Muhammad Asyraf Mohd. Kahar, 21, yang berasal dari Yan berkata, selain itu hubungan yang erat dengan pensyarah sepanjang tiga tahun pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Awam turut menjadi formula kecemerlangannya.
“Saya perasan satu perkara sahaja iaitu apabila kita hormat ibu bapa, patuh dan sentiasa memohon restu mereka dalam setiap pergerakan kita, Allah permudahkan segalanya. Sama seperti pengajian saya ini. Sudah jadi tanggungjawab kita hormati mereka, itu asas hidup.
“Selain itu, hubungan dengan pensyarah di dalam kuliah dan luar mesti erat. Jangan sekali-kali tidak hormat mereka dan kerap minta nasihat daripada mereka,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Kali Ke-35 Polimas di Jitra, semalam.
Dia yang menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) itu merupakan salah seorang daripada 2,302 graduan yang menerima diploma masing-masing daripada bidang Kejuruteraan Awam, Elektrik, Mekanikal, Teknologi Komunikasi dan Maklumat dan Perdagangan.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Muhamad Rumzi Mamat.
Anak sulung daripada tiga beradik itu juga menambah, resipi lain kejayaannya adalah sentiasa menyeimbangkan pembelajaran akademik dan aktiviti di luar kuliah termasuk sukarelawan.
“Sejak tahun pertama saya ceburi apa saja aktiviti yang berkaitan dengan kepakaran saya selain daripada aktiviti sukarelawan. Ini banyak membantu kemahiran dan membentuk peribadi kita,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah.
Dalam pada itu menurut Muhamad Rumzi, politeknik dan kolej komuniti (Polycc) terbukti melahirkan ramai graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berkemahiran keusahawanan yang berjaya dalam bidang masing-masing.
“Kini, Polycc berdiri dengan kekuatan 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan 14,510 staf termasuk kumpulan sokongan serta sekurang-kurangnya 93,000 pelajar di seluruh negara.
“Polycc adalah penyumbang tenaga kerja teknikal terbesar negara iaitu sebanyak 40 peratus. Ini merupakan kekuatan kita. Tahun lalu, kadar kebolehpasaran graduan politeknik adalah 96.2 peratus. Selain itu, Polycc dan industri berpisah tiada. Terkini sebanyak 14,475 industri yang berkolaborasi aktif dengan institusi ini,” katanya.
“Kini, Polycc berdiri dengan kekuatan 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan 14,510 staf termasuk kumpulan sokongan serta sekurang-kurangnya 93,000 pelajar di seluruh negara.
“Polycc adalah penyumbang tenaga kerja teknikal terbesar negara iaitu sebanyak 40 peratus. Ini merupakan kekuatan kita. Tahun lalu, kadar kebolehpasaran graduan politeknik adalah 96.2 peratus. Selain itu, Polycc dan industri berpisah tiada. Terkini sebanyak 14,475 industri yang berkolaborasi aktif dengan institusi ini,” katanya.-UTUSAN











