PETALING JAYA: Beberapa agensi penguat kuasa Malaysia menunggu kepulangan Roger Ng yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di Amerika Syarikat (AS) untuk melengkapkan siasatan masing-masing membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Antara agensi dijangka memerlukan maklumat atau menyiasat sekutu ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low itu ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, bekas ketua pelaburan Goldman Sachs itu berkemungkinan turut diperlukan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Siasatan ke atas Roger, 51, yang diserahkan AS kepada Malaysia semalam berkaitan dengan 1MDB. Sehingga kini Jho Low, watak utama dalam jenayah ini masih bebas.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Roger dibawa pulang berkemungkinan bagi membantu beberapa agensi penguat kuasa negara ini mendapatkan kembali (assets recovery) membabitkan dana 1MDB yang dikaitkan dengannya.
“Untuk mengetahui agensi mana perlu maklumat daripada Roger belum diketahui.Namun siasatan terhadap Roger dilakukan oleh beberapa agensi,”kata sumber semalam.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf ketika dihubungi berkata, PDRM akan mengikut kepada ketetapan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung siasatan ke atas Roger.
AMLA
Menurut beliau, Roger juga berkemungkinan diperlukan Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM bagi membantu siasatan dikaitkan dengan skandal 1MDB.
“Namun setakat ini, tiada ketetapan oleh pihak kita (polis), perkara ini bergantung kepada AGC untuk menilai keperluannya kepada jabatan kami,” kata beliau.
Sementara itu, Ramli mengesahkan kertas siasatan membabitkan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan telah dihantar kepada AGC bagi tindakan selanjutnya.
“Kertas siasatan yang dirujuk kepada AGC itu merupakan satu daripada siasatan yang dilakukan PDRM terhadap beberapa individu termasuk Jasmine dan Roger membabitkan kes 1MDB,” kata beliau.
Untuk rekod, Roger dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada empat pertuduhan bersubahat berhubung penjualan nota sekuriti dan bon bernilai AS$6.5 bilion milik anak syarikat 1MDB pada 9 Januari lalu. Roger ditahan di Malaysia pada November 2018 sebelum diekstradisi ke AS.
Terdahulu mengikut laporan di New York, Ketua Hakim Daerah AS, Margo Brodie di Brooklyn mengarahkan Roger menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS semalam supaya dia boleh diserahkan kepada penguat kuasa undang-undang Malaysia.
Sebelum diserahkan kepada Malaysia, pendakwa dalam satu surat awal kepada Brodie berkata, Roger dikehendaki kembali ke AS untuk menjalani hukuman penjara dan perkara itu turut dipersetujui peguam Roger.
Brodie menjatuhkan hukuman kepada Roger pada Mac lalu, iaitu 11 bulan selepas juri mendapati dia bersalah kerana membantu bekas bos Goldman, Tim Leissner mencuri wang 1MDB, mencuci hasil dana itu dan menyogok pegawai kerajaan untuk mendapatkan perniagaan.
Hukuman terhadap Leissner ditangguh sehingga 19 Mac 2024. Pada 7 September lalu, Brodie menangguhkan tarikh serah diri Roger ke penjara dari 6 September kepada 6 Oktober tahun ini untuk membolehkan lelaki itu diserah kepada Malaysia. Sehingga kini Jho Low masih diburu dan keberadaan tidak diketahui walaupun banyak mendakwa lelaki itu bersembunyi di China. – UTUSAN










