Kalimantan alami cuaca kering, burukkan jerebu

Kalimantan alami cuaca kering, burukkan jerebu

Imej satelit untuk tempoh 24 jam lalu menunjukkan terdapat titik panas terpencil dikesan di selatan Sumatera manakala gugusan titik panas dikesan di selatan Kalimantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebahagian besar kawasan di Kalimantan Selatan, Indonesia mengalami cuaca kering berterusan menyaksikan masalah jerebu berada di tahap sangat tidak sihat.

Peta petunjuk titik panas jerebu oleh Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) di Singapura menunjukkan, kawasan di antara tengah dan selatan Kalimantan, Indonesia seperti Rawi, Palangkaraya Paminggir dan Amuntai berada dalam kate­gori titik panas tertinggi.

Bagaimanapun setakat pukul 11 pagi semalam (6 Oktober 2023), ASMC menyatakan, bahagian utara Sumatera dan utara Borneo menyaksikan sedikit hujan di kawasan tersebut.

Pun begitu, imej satelit untuk tempoh 24 jam menunjukkan terdapat titik panas terpencil dikesan di selatan Sumatera manakala gugusan titik panas dikesan di selatan Kalimantan.

Sehubungan itu imej satelit waktu pagi dipaparkan ASMC menunjukkan, jerebu sederhana diperhati di selatan Sumatera dengan banyak stesen kualiti udara melaporkan tahap tidak sihat kepada ‘sangat tidak sihat’ malah ada stesen melaporkan jerebu di tahap ‘berbahaya’.

Di selatan Kalimantan, jerebu sederhana hingga tebal diperhati berpunca daripada kelompok titik panas berterusan dan kualiti udara kebanyakannya kekal pada tahap ‘tidak sihat’, dengan stesen melaporkan tahap ‘berbahaya’.

Jelasnya, keadaan jerebu asap tidak dapat ditentukan sepenuhnya di kawasan khatulistiwa disebabkan litupan awan.

Sementara itu, tinjauan ASMC untuk beberapa hari akan datang menyaksikan cuaca kering dijangka berterusan di selatan dan tengah Sumatera, dan selatan Kalimantan.

Aktiviti titik panas yang tinggi dan jerebu asap sederhana hingga tebal berkemungkinan berterusan di kawasan yang terdedah kepada kebakaran di kawasan ini.

Risiko kejadian jerebu merentas sempadan kekal, dengan angin lazim di rantau ASEAN selatan diramal bertiup terutama dari tenggara ke selatan dan kadang-kadang dari barat daya.

Di rantau ASEAN utara, cuaca basah berkemungkinan akan berlaku dan keadaan titik panas dijangka kekal tenang. Angin semasa diramal adalah ringan dan berubah-ubah arah.

Sementara itu, dua kawasan di Malaysia mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 9 pagi tadi.

Tujuh kawasan dikesan mencatat bacaan IPU tidak sihat pada pukul 5 petang semalam.

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU tertinggi dicatat iaitu 151 di Nilai, Negeri Sembilan diikuti Bukit Rambai, Melaka iaitu 112 pagi tadi.

Tujuh kawasan yang merekodkan kadar IPU tertinggi pada 5 petang semalam adalah Bukit Rambai (154), Bandaraya Melaka (151); Port Dickson, Negeri Sembilan (134); Tangkak, Johor (113); Alor Gajah, Melaka; dan Cheras masing-masing 105 manakala Batu Pahat, Johor (103).

IPU berskala antara 0-50 dikategori sebagai sihat, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Data IPU itu dikeluarkan setiap jam, berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×