Kenapa tak tanam saja padi di halaman rumah?

Kenapa tak tanam saja padi di halaman rumah?

DI Jepun, penduduknya melakukan pengeluaran makanan termasuk menanam padi mengikut kemampuan dan persekitaran yang sesuai sama ada sebagai hobi atau apa-apa maksud sepatutnya. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keselamatan makanan adalah isu besar yang penting bagi sesebuah negara. Ia bukan persoalan remeh bersifat jangka pendek. Persoalan ini tidak seharusnya dibincangkan dan didebatkan dalam masa-masa tertentu sahaja bila terdesak. Persoalan keselamatan makanan seharusnya menjadi dasar negara yang jelas.

Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom mempunyai dasar dan pelaksanaan ini dengan jelas sekian lama. Perkembangan sektor industri tidak sekali-kali menidakkan dasar berkaitan pertanian dan pengeluaran makanan utama. Pengeluaran gandum, jagung dan keperluan makanan asas mereka tidak terjejas. Bahkan melebihi keperluan penduduk. Mereka mampu mengeksport gandum dan jagung secara konstan dalam jangka panjang.

Bagaimana dengan negara kita? Adakah kita mempunyai dasar jelas yang boleh menjamin pengeluaran makanan utama bagi keperluan penduduk? Adakah kita boleh mengharapkan jaminan keperluan makanan utama kita dari sumber luar negara? Apakah ia sentiasa boleh diharapkan dalam semua situasi? Bagaimana jika berlaku peperangan atau malapetaka alam kepada negara yang mengeksport? Mampukah kita bergantung kepada pengeluaran dalam negara atau dapatkah kita mengubah polisi pengeluaran makanan dalam masa sangat singkat?

Inilah persoalan perlu difikirkan bersama oleh kita. Semua peringkat harus duduk bersama berbincang dan memberi pendapat yang benar-benar ikhlas, bukan sekadar menjawab persoalan semasa tetapi lebih bersifat kepentingan jangka panjang.

Kesedaran masyarakat dan pihak berkuasa adalah perlu. Masyarakat perlu faham dan bertindak dengan lebih baik dan tepat. Masyarakat perlu memainkan peranan dan tidak hanya semata-mata bergantung kepada pihak berkuasa. Pihak berkuasa perlu bijak menyusun polisi yang memberikan kesan positif bersifat jangka panjang bagi menjamin keselamatan makanan.

Apa yang masyarakat perlu lakukan? Masyarakat tidak seharusnya menjadi pengguna 100 peratus. Sesetengah masyarakat perlu memikirkan dan menjadi anggota pengeluar. Pada skala mana pun, ia bukan menjadi persoalan. Apa yang penting, sebahagian masyarakat perlu menyumbang kepada meningkatkan kuantiti pengeluaran.

Sebagai contoh mudah dalam aspek pengeluaran padi beras negara. Tidak dipersoalkan padi/beras adalah bahan keperluan kerana ia makanan ruji utama sebahagian besar penduduk. Setiap orang perlu memikirkan dan bertindak bagi meningkatkan dan menjamin kuantiti pengeluaran. Kita tidak boleh semata-mata megharapkan pengimportan dari luar negara semata-mata bagi bekalan beras.

Dalam keadaan biasa, ia akan berlaku dan dapat memenuhi keperluan tetapi dalam beberapa keadaan tertentu, pengimportan akan menghadapi masalah. Seperti berlaku sekarang, kuota import dari India tidak dapat dilakukan seperti biasa kerana faktor dalaman di negara itu. Adakah kita mampu melakukan daya pengeluaran dalam masa singkat? Pastinya tidak kerana padi tidak boleh hari ini ditanam, esok lusa terus dituai. Apa yang perlu adalah dasar sesuai serta polisi jangka panjang bijak dan tepat.

HOBI

Masyarakat umum harus dibina idea pemikiran sebagai pengeluar. Selain pengeluaran skala besar oleh ladang-ladang besar, pengeluar bersifat mikro bagi setiap penduduk juga perlu difikirkan. Amalan yang berlaku di Jepun dalam penanaman padi mungkin boleh dijadikan contoh. Setiap penduduk melakukan pengeluaran mengikut kemampuan dan persekitaran yang sesuai sama ada sebagai hobi atau apa-apa maksud sepatutnya.

Setiap penduduk menanam padi di persekitaran rumah atau kampung masing-masing. Berapa keluasan bergantung kepada keadaan masing-masing. Apa yang penting, melakukan penanaman padi dengan tujuan meningkatkan penghasilan.

Dalam keadaan di Malaysia, banyak kawasan rumah atau kampung boleh kita lakukan penanaman padi. Halaman rumah yang sesuai boleh dijadikan kawasan penanaman padi. Masih banyak kawasan kampung terdapat tanah terbiar kosong. Apa yang penting adalah idea dan revolusi pemikiran yang ada dalam dada setiap penduduk.

Sikap seperti “Ah, beli saja beras lebih senang dan murah” tidak akan membawa apa-apa sumbangan kepada pengeluaran. Kalaulah separuh daripada penduduk berfikiran positif dan melakukan penanaman padi, pastinya total pengeluaran akan berjaya ditingkatkan.

Apa yang perlu adalah kesedaran penduduk dan dasar kerajaan memberi sokongan.

Sokongan kerajaan dalam menyediakan kemudahan oleh penanam padi adalah perlu. Bantuan kerajaan tanpa kesedaran asas penduduk tidak akan berkesan. Salah guna kemudahan yang diberikan oleh kerajaan akan berlaku jika tidak ada kesedaran asas dan revolusi pemikiran penduduk.

Kemudahan yang disediakan oleh kerajaan perlu digunakan secara optimum dan tidak disalahgunakan. Mesin-mesin berkaitan proses pengeluaran seperti jentera membajak, menuai dan memproses hasil perlu dicipta mengikut situasi benar-benar sesuai. Saiz mesin dan sumber kuasa petrol atau elektrik perlu direka tepat.

Dalam hal ini, wujudnya pimpinan ekonomi bagi setiap peringkat adalah perlu. Kita perlukan kepimpinan ekonomi yang betul-betul memahami keadaan dan benar-benar berkesan. Pemahaman yang benar-benar tepat akan faktor pengeluaran khususnya buruh dan tanah adalah sangat perlu (tanpa menafikan pentingnya faktor modal dan pengusaha).

Idea asasnya adalah perlu membina masyarakat sebagai pengeluar dan bukan pengguna semata-mata. Sesuatu tindakan tidak seharusnya dilakukan secara ad hoc tetapi lebih dilihat kepada kepentingan jangka panjang. Keselamatan makanan tidak seharusnya diletakkan pada bahu dan bergantung kepada orang luar, tetapi perlu bertindak dengan tepat serta membina dasar dan mengoptimumkan sumber dalam negara yang kita ada. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD. NOOR YAZID ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS). DR. MOHAMAD ISA ABD. JALIL ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi & Perakaunan. Kedua-duanya dari Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×