'Tempatkanlah anakku di syurga-Mu’

‘Tempatkanlah anakku di syurga-Mu’

CHE Meriah Che Endut mengucup jenazah anaknya, Ahmad Osama Ramadhan Laidin selepas selesai proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN:  “Adik anak yang baik, kami semua sayangkan adik. Mak halalkan segala makan minum, mak maafkan semua dosamu. Kau tempatkanlah anakku di syurga-Mu, ya Allah”. 

Itu luahan Che Meriah Che Endut, 56, ketika mengucup jenazah anaknya, Ahmad Osama Ramadhan Laidin, 17, yang maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan enam buah motosikal di Kilometer 333.1 Lebuhraya Pantai Timur 2, arah Kuantan berhampiran susur keluar Plaza Tol Paka, di sini, malam tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam, dua penunggang motosikal lain, iaitu Muhammad Fitri Hanif Rohami, 18, dari Kampung Bukit Kuang dan Muhammad Shah Run Nizam Jaafar, 20, dari Seri Bandi, turut meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Che Meriah berkata, anak bongsu daripada enam adik beradik itu adalah anak yang paling rapat dengannya kerana Ahmad Osama Ramadhan sering menemaninya ketika ketiadaan suaminya, Laidin Rahim, 59, yang bekerja di pelantar minyak. 

“Malam tadi, dia (Ahmad Osama Ramadhan) meminta izin untuk keluar menikmati nasi lemak di Hentian Rawat dan Rehat (RnR Paka) bersama kawan-kawannya. Saya pesan supaya dia berhati-hati dan cepat pulang. 

“Saya memang tak sangka anak saya akan pergi secepat ini. Baru sahaja saya berbual dengannya sebelum dia pergi dan tiada apa-apa perubahan pun pada anak saya. Sebaik sahaja saya dapat panggilan telefon mengenai insiden yang menimpa Osama, saya terus menghubungi suami yang bekerja di pelantar minyak sempadan Malaysia-Thailand,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun di sini, hari ini. 

Che Meriah berkata, suaminya meminta supaya urusan perjalanan akhir anaknya disegerakan, namun dia mahu menunggu kepulangan suaminya sebelum anak mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Mentok, Kemaman. 

“Pemergian Osama memang dirasai kakak dan abangnya memandangkan mereka akrab walaupun tinggal berasingan sebab ada yang sudah mendirikan keluarga. 

“Paling sedih, Osama meninggal dunia pada hari lahir salah seorang abangnya, hari ini dan dia (Osama) tidak sempat menyambut hari kelahirannya pada 15 Oktober ini,” katanya yang reda dengan pemergian anaknya yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Binjai. 

Dalam kejadian tersebut, tiga penunggang motosikal lain iaitu Mohamad Afiq Kamal, 19, berasal dari Felda Neram II, cedera parah di bahagian kaki manakala Muhamad Firzani Hilman Mohd Arif Fadhillah, 20, serta Muhammad Haziq Haikal Ismail, 17, masing-masing berasal dari Cheneh, mengalami cedera ringan. 

Ketiga-tiga jenazah telah dituntut ahli keluarga masing-masing kira-kira pukul 1 tengah hari dan dijangka dikebumikan di kampung halaman masing-masing petang ini.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×