PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, esok bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam; calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasni.
Ramai dalam kalangan pemerhati politik melihat PRK ini amat penting bagi BN dalam memastikan kerusi yang menjadi kubu kuat parti itu sejak 1986 terus menjadi milik mereka. BN perlu mempertahankan kerusi Pelangai bagi mengimbangi kedudukan di DUN Pahang.
PRK Pelangai juga merupakan cerminan kepada kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) di Pahang, khususnya dalam melihat bagaimana PH memobilisasikan jentera untuk membantu kemenangan BN.
Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), momentum penyokong BN masih kuat di situ, malah kini ditambah pula penyokong PH. Walaupun pembangunan antara isu yang disentuh PN pada PRK Pelangai, namun fakta dan data sebenar boleh dinafikan.
Untuk rekod, kerajaan negeri memperuntukkan RM14.767 juta menerusi Bantuan Prihatin Pahang pada tahun ini untuk membantu pendidikan anak-anak Pahang termasuk di Pelangai. Pelajar tahun satu menerima RM100 seorang melibatkan 25,146 penerima dengan jumlah keseluruhan RM2.514 juta.
Kesungguhan kerajaan negeri memartabatkan pendidikan tidak dinafikan lagi. Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima RM100 seorang, melibatkan 25,871 penerima dengan jumlah keseluruhan RM2.587 juta. Pelajar tahfiz menerima RM100 seorang melibatkan 8,000 penerima dengan jumlah keseluruhan RM800,000. Mahasiswa di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti menerima RM300 seorang berbanding RM200 tahun lalu melibatkan 29,553 penerima dengan jumlah keseluruhan RM8.865 juta.
Bantuan Prihatin Pahang menyediakan peruntukan untuk anak muda berusia 18 hingga 21 tahun mengambil lesen motosikal di mana mereka menerima RM200 seorang melibatkan 3,600 penerima dengan jumlah keseluruhan RM720,000.
Kerajaan negeri juga membantu anak muda penghantar makanan dengan menyalurkan sumbangan sebanyak RM200 seorang melibatkan 5,000 penerima dengan jumlah keseluruhan RM1 juta.
Selain itu, kerajaan negeri juga melaksanakan program-program pembangunan anak muda, antaranya:
Pelaksanaan Program Intervensi Sosial, Program Youth Career, Program Webinar Youth Digital, Kursus Youth Agrotech, dan Kursus Pengurusan Organisasi secara keseluruhannya melibatkan peruntukan RM375,000.
Memperkasa peranan Sukarelawan Pahang melalui Majlis Tindakan Sosial Pahang dengan menambah geran aktiviti kesukarelaan kepada RM500,000 setahun. Pelaksanaan pelbagai program dan kursus latihan dengan peruntukan RM1 juta.
TEKNOKRAT
Peruntukan sebanyak RM3 juta untuk Program Teknokrat meliputi Geran Latihan, Kursus Kemahiran dan Pembelajaran, internet kebendaan (IoT) dan pengekodan, pembangunan aplikasi dan kemahiran digital serta sports cameraman.
Peruntukan RM50,000 untuk meneruskan Program Pahang Talent bagi membimbing dan melatih anak-anak muda yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah untuk berkhidmat dengan kerajaan negeri.
Komitmen dan caknanya kerajaan negeri terhadap rakyatnya menjadi katalis kepada hasrat sebuah negeri yang maju, aman, makmur dan sejahtera. Kerajaan negeri pada hari ini prihatin terhadap segala keperluan dan kebajikan rakyat. Pelbagai bentuk pembangunan, bantuan dan inisiatif telah dirancang agar seluruh rakyat negeri ini mendapat manfaat bermula seawal kelahiran.
Kemampuan ini disebabkan kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh sehinggakan segala pembangunan dan kebajikan yang dirancang mampu dilaksanakan dengan jayanya. Pada 2019, hasil yang diperoleh adalah RM847 juta, kemudiannya meningkat kepada RM850 juta (2020) dan RM866 juta (2021).
Pada 2022 buat pertama kalinya dalam sejarah, kerajaan negeri berjaya mengutip hasil berjumlah RM1.037 bilion mengatasi sasaran RM1.036 bilion. Kejayaan ini disebabkan kecekapan pentadbiran dan kestabilan politik cukup baik yang secara langsung menarik minat pelabur untuk menanam modal di negeri ini.
Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM12.32 juta bagi meningkatkan taraf kehidupan Orang Asli dalam pelbagai aspek – 100 unit Rumah Rakyat Pahang secara percuma; membaik pulih rumah-rumah yang layak; projek pembekalan air ke 33 kampung.
Projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) pula merupakan satu inisiatif membantu golongan miskin dan miskin tegar di negeri ini untuk memiliki kediaman sendiri secara percuma. Projek ini mula dilaksanakan pada 2020 di mana sebanyak 98 rumah berjaya didirikan dengan peruntukan RM6.37 juta. Pada tahun sama, kerajaan negeri meluluskan peruntukan bagi pembinaan 102 unit RRP (Fasa 1) dan 104 (Fasa 2) berjumlah RM13.47 juta.
Pada 2022, kerajaan negeri menambah daripada empat kepada enam buah rumah bagi setiap kawasan DUN dengan jumlah keseluruhan 266 melibatkan RM19.95 juta. Pada tahun ini, jumlah RRP ditambah kepada lapan buah untuk setiap DUN dan di setiap Parlimen melibatkan kos RM30.75 juta.
Pada tahun ini, sebanyak 483 unit Rumah Makmur Pahang bakal disiapkan menjadikan jumlah keseluruhan 7,904. Rumah Makmur Pahang berharga RM80,000 seunit ini akan memberi peluang kepada golongan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah untuk memiliki kediaman selesa.
Rakyat Pahang khususnya di Pelangai perlu terus memberikan sokongan kepada segala usaha dilaksanakan oleh kerajaan negeri agar semua dapat membangunkan negeri bertuah ini. Sambutan pengundi terhadap BN memuaskan, namun ia bukan tiket jentera parti di bawah jenama Malaysia Madani berasa selesa. Jentera BN dan PH perlu terus bekerja keras sehingga detik akhir kempen.-UTUSAN
DATUK Dr. Ismail Sualman ialah Profesor di Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).











