Pernah dikejar orang mengamuk bawa parang

Pernah dikejar orang mengamuk bawa parang

NAZRI Md. Noor menunjukkan pingat yang diterimanya pada Majlis Istiadat Penganugerahan PJPN di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kejadian dikejar dengan parang oleh pesakit mental ketika bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, Johor antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Sarjan Mejar Nazri Md. Noor, 55.

Katanya, ketika itu dia bertugas di Unit Cawangan Pencegahan Jenayah IPD Segamat.

“Saya masih ingat dikejar dengan parang oleh seorang lelaki yang mengamuk. Suspek ini kira mental (pesakit).

“Saya boleh mengambil tindakan pantas dengan menggunakan senjata api tetapi memilih mengurangkan kecederaan lebih serius. Saya juga tidak mahu terburu-buru menggunakan senjata api kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Jadi saya gunakan kebijaksanaan (akal) untuk tangani insiden tersebut. Akhirnya kes itu dapat dikendalikan dengan baik dan suspek dapat ditangkap,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Menurut Nazri, dia menyertai polis pada 1988 sebaik sahaja tamat latihan dan pernah berkhidmat di beberapa daerah seperti Segamat dan Muar, Johor; Tampin, Negeri Sembilan dan Jasin.

Menurut Ketua Balai Polis Bemban itu, jabatan paling lama dia bertugas adalah di Jabatan Narkotik iaitu selama 23 tahun.

“Pada 2008 hingga 2012 saya ditugaskan di bahagian Gerakan Operasi Narkotik Bukit Aman. Banyak kejayaan besar dikecapi pasukan membabitkan tangkapan antarabangsa dan tempatan.

“Walaupun banyak kejayaan manis dengan narkotik, saya terpaksa memohon bertukar ke jabatan lain kerana faktor usia. Sekarang ini saya luangkan masa mendekati masyarakat selaras dengan peranan saya sebagai ketua balai polis bagi mengetahui permasalahan setempat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×