KUALA LUMPUR: Sekarang adalah peluang terbaik buat jutawan tempatan membeli pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang sedang sibuk mencari ‘tuan’.
Pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan antara hartawan yang dikhabarkan bakal mewarnai bola sepak tempatan apabila dikaitkan dengan pasukan ibu kota, Kuala Lumpur.
Taikun penerbangan, Tan Sri Tony Fernandes yang juga bekas pemilik kelab England, Queens Park Rangers (QPR) turut menjadi sebutan mengambil alih pasukan Liga M.
Tony sinonim dengan bola sepak tempatan kerana pernah menubuhkan Petaling Jaya Rangers (PJ Rangers).

“Itu yang saya dengar (Vincent beli Kuala Lumpur) tetapi belum ada perkembangan terkini.
“Kuala Lumpur (KL) ibu kota Malaysia, mana-mana bandar besar di dunia pasti mendapat perhatian, jadi memiliki pasukan KL adalah pilihan tepat.
“Sekarang peluang terbaik buat mana-mana individu, jutawan, syarikat korporat memiliki pasukan sendiri dan pelaburan adalah berdasarkan apa yang diingini.
“Sebelum ada proses FA (persatuan) ke FC (kelab) mereka tiada peluang miliki pasukan di Malaysia, sebab itulah hartawan kita lebih gemar membeli kelab Eropah.
“Nilai kelab Eropah lebih besar, jadi saya fikir mereka tiada masalah nak beli pasukan tempatan yang murah,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Stuart turut mendedahkan, beliau dan FAM ada dihubungi beberapa individu yang mahu mengetahui cara memiliki pasukan dalam Liga M.
“Saya tak boleh dedah nama dulu, sebab ia dalam proses perbincangan,” katanya.

Berdasarkan tinjauan Utusan Malaysia dalam laman web www.transfermarkt.com, gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dimiliki Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah kelab tempatan paling bernilai iaitu 6.15 juta euro (RM30.52 euro).
Kedah yang masih mencari ‘tuan’ dan berdepan isu kewangan berada di tempat kedua termahal dengan 3.75 juta euro (RM18.61 juta), diikuti Selangor dianggarkan 3.58 juta euro (RM17.77 juta).
Sementara itu, Stuart percaya, minat yang ditunjukkan oleh bapa pemain remaja sensasi, Wan Kuzri dan Wan Kuzain, Wan Ahmad Kamal Wan Napi untuk membeli pasukan Kelantan adalah permulaan kepada perubahan landskap bola sepak negara.










