HARI ini genap 30 tahun penglibatan Batalion Malaysia (Malbatt) 1 dalam misi pertempuran dan menyelamat di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia. Sebagai bekas Komander Malbatt 1, Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Somalia (Unosom) II, saya terkenang kembali peristiwa berlaku pada 3 dan 4 Oktober 1993 itu. Peristiwa bersejarah yang berlaku 30 tahun dahulu masih segar di minda saya.
Apa yang berlaku, telah berlaku. Kami (Malbatt 1) telah menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Satu amanah yang begitu berat. Saya percaya, kami telah menjalankannya dengan ikhlas, berkesan dan jayanya.
Saya dan bekas Timbalan Komander Malbatt 1 amat bangga dengan anggota kami semua, baik pegawai mahupun lain-lain pangkat yang telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan cemerlang. Misi menyelamat yang dilalui adalah suatu usaha sukar, genting, menggerunkan serta menakutkan. Bukan suatu usaha yang remeh, akan tetapi amat berat sekali.
Dengan tabah, berdisiplin tinggi serta ketentuan Ilahi, kami melaluinya dengan selamat. Ditakdirkan, kami kehilangan seorang anggota. Gugurnya seorang perwira, Koperal Mat Aznan Awang.
Kami percaya kepada qada dan qadar. Kami percaya peristiwa ini membawa kesan mendalam kepada semua mereka yang terlibat.
Kemungkinan juga pada masa kini, ada segelintir kami yang masih terganggu dan trauma dengan peristiwa ini. Kami berdoa semoga mereka dilindungi oleh Allah Yang Maha Esa dan dianugerahkan dengan jiwa yang tenang.
Daripada pihak tentera Amerika Syarikat (AS) pula, kami menerima banyak surat merakamkan ucapan penghargaan yang amat bermakna kepada Malbatt 1 dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya. Mereka menyanjung tinggi penglibatan serta usaha kita yang telah berjaya menyelamatkan anggota mereka yang terperangkap.
DISIPLIN TINGGI
“Malbatt akan berada di dalam hati kami selama-lamanya.” Itu yang diluahkan oleh Penolong Divisyen Komander, 10th Mountain Division (Light Infantry), tentera AS di Somalia ketika itu, Brigedier Jeneral Greg L. Gile.
Sementara itu, pegawai tentera AS tertinggi di Somalia ketika itu, Mejar Jeneral Thomas Montgomery yang memegang dua jawatan, sebagai Timbalan Angkatan Komander Unosom II merangkap Komander Angkatan Tentera AS, telah berutus kepada Panglima ATM. Dalam utusannya, beliau memuji Malbatt 1.
Antara kandungan surat itu, “…bahawa ramai anggota tentera Amerika yang masih hidup pada hari ini disebabkan kesungguhan dan kemahiran anggota Malbnatt 1 yang berusaha bekerjasama dalam suasana genting dan berbahaya.” Beliau seterusnya merakamkan penghargaan kepada tentera dan rakyat Malaysia.
HARI MALAYSIA
Apa yang ingin dikatakan di sini, selaku bekas Komander Malbatt 1, saya rasa terharu. Memerintah pasukan Malbatt 1 adalah satu penghormatan bagi saya. Memerintah pasukan Malbatt 1 yang mana semua anggotanya telah menunjukkan sikap yang profesional.
Ini terbukti semasa misi menyelamat pasukan tentera AS terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu. Anggota-anggota Malbatt 1 telah menunjukkan kecekapan, kemahiran dan tahap disiplin tinggi, di samping semangat dan keberanian yang mapan. Terutamanya dalam saat genting dan mencemaskan semasa menghadapi situasi peperangan pada malam yang bersejarah, 3 dan 4 Oktober 1993.
Bagi saya, ia bukan sahaja satu amalan yang amat terpuji bahkan sangat-sangat membanggakan. Pada saya, semua anggota Malbatt 1 adalah wira. Jasa dan pengorbanan mereka tidak harus dilupakan.
Daripada apa yang telah berlaku di Somalia dan merujuk kepada sambutan Hari Malaysia baru-baru ini, marilah kita bersama-sama mengambil iktibar. Semoga negara kita yang dicintai ini terdiri daripada rakyat berbilang kaum sentiasa berada dalam keadaan selamat, aman damai, rakyatnya hidup sihat dan bahagia. – UTUSAN
BRIGEDIER Jeneral (B) Datuk Abdul Latif Ahmad ialah bekas Komander Batalion Malaysia (Malbatt) 1, Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Somalia (Unosom) II.










