Pedulikan USA Today, Bukit Bendera tetap ikon gah - Utusan Malaysia

Pedulikan USA Today, Bukit Bendera tetap ikon gah

ORANG RAMAI dapat menggunakan perkhidmatan kereta api kabel generasi ketiga di sepanjang landasan kereta api yang berusia berabad lamanya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT Bendera dan rakyat Pulau Pinang mempunyai sejarah dan kaitan yang panjang, ini kerana apabila disebut sahaja Bukit Bendera, rakyat negeri ini serta pelancong yang pernah mengunjunginya secara automatik akan terkenang pengalaman menuju ke puncak bukit berkenaan.

Suasana dingin berkabus dapat dirasai di puncak bukit berkenaan, malah tambah menarik orang ramai dapat menggunakan perkhidmatan funikular (kereta api kabel) generasi ketiga di sepanjang landasan kereta api yang berusia berabad lamanya untuk menuju ke puncak bukit.

Selain terkenal sebagai ikon pelancongan Pulau Pinang, Bukit Bendera adalah tapak Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mengekalkan ciri-ciri semula jadi dan sejarahnya.

Bukit Bendera merupakan tapak rizab biosfera negara ketiga selepas Tasik Chini, Pahang (2009) dan Banjaran Crocker, Sabah (2014), diiktiraf di bawah program Man and the Biosphere (MAB) oleh UNESCO.

Rizab biosfera Bukit Bendera berkeluasan 12,481 hektar merupakan paru-paru hijau kepada Pulau Pinang dan ia melibatkan kawasan sekitar Bukit Bendera termasuk Taman Botani Pulau Pinang, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal serta dua empangan.

Rizab biosfera Bukit Bendera juga merangkumi tiga ekosistem utama iaitu kawasan berhutan, pantai dan marin dengan setiap ekosistem menyokong pelbagai rangkaian flora dan fauna, termasuk mamalia dan burung hijrah migrasi terancam.

Bukit Bendera terletak dalam rizab hutan hujan semula jadi berusia jutaan tahun yang menawarkan pengunjung pengalaman unik dengan alam semula jadi dan warisan sejarahnya yang kaya.

Malah, bukit peranginan itu juga tidak mempunyai taman tema dan pusat hiburan memandangkan pengunjung amat digalakkan menerokai keindahan semula jadi Bukit Bendera melalui laluan bukit dan denai mendaki agar pengunjung lebih dekat dengan alam semula jadi.

Bagaimanapun, rekod baik Bukit Bendera sebagai bukit peranginan popular di Pulau Pinang dan negara ini tercalar dengan artikel yang disiarkan akhbar harian Amerika Syarikat, USA Today yang menyenaraikan Bukit Bendera dalam 100 ‘perangkap pelancong’ terbesar di seluruh dunia.

Perangkap pelancong ini memberi gambaran kepada destinasi yang lazimnya mengenakan bayaran berlebihan kepada pelancong.Bukit Bendera termasuk dalam senarai tersebut, malah USA Today turut meletakkannya sebagai perangkap pelancong terburuk di Asia dan ke-9 di dunia.

KERETA KABEL

Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai dengan pantas menyanggah artikel berkenaan dan memaklumkan bahawa pengumpulan data artikel berkenaan dibuat tanpa bahasa utama lain yang digunakan di rantau ini seperti bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan lain-lain.

Hon Wai berkata, sejak 1923 seramai 47 juta pengunjung Bukit Bendera direkodkan dan jumlah pengunjung yang direkodkan jelas menunjukkan Bukit Bendera adalah salah satu tarikan utama di Pulau Pinang.

“Setiap tahun, lebih sejuta pengunjung yang mengunjungi pusat peranginan yang terletak di Air Itam itu. Ramai daripada mereka adalah pengunjung yang bukan kali pertama datang ke situ.

“Ini menunjukkan, pengunjung kembali ke Bukit Bendera kerana terpesona dengan keindahan di situ,” katanya.

Tambah beliau, artikel yang diterbitkan USA Today itu tidak akan menjejaskan reputasi baik yang ada pada Bukit Bendera dalam kalangan pengunjung termasuk pelancong asing.

“Bukit Bendera mempunyai tarikannya yang tersendiri seperti astaka yang dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan tempatan serta mempunyai taman ekopelancongan yang mengekalkan kehijauan alam sekitar iaitu The Habitat dan lain-lain tarikan,” katanya.

Selain itu, Hon Wai berkata, kerajaan Pulau Pinang akan sentiasa melaksanakan penambahbaikan antaranya Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang bernilai RM245 juta yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Projek kereta kabel ini akan memberi satu pengalaman baharu kepada pelancong Bukit Bendera setelah ia siap kelak,” katanya.

Dalam pada itu, pengendali Nature Walk@Bukit Bendera, KP Ong berkata, Bukit Bendera akan kekal sebagai daya tarikan pengunjung termasuk pelancong asing memandangkan kekayaan flora dan faunanya yang tidak ada di lokasi lain.

Ong yang berpengalaman sebagai nature guide sejak 2017 berkata, secara saintifiknya, Bukit Bendera penting sebagai tapak pelbagai spesies tumbuhan di Malaysia.

“Bukit Bendera merupakan hutan hujan tropika dan kawasan ini yang kaya dengan biodiversiti serta mempunyai sejumlah besar spesies yang jarang dijumpai dan terancam,” katanya.

Ong menjelaskan, beberapa spesies haiwan dapat ditemui di Bukit Bendera termasuk pada waktu malam antaranya musang, lemur terbang, musang terbang dan kelawar.

“Selain itu terdapat haiwan yang jarang ditemui seperti lotong kelabu, tupai gergasi hitam juga dapat dilihat di sekitar Bukit Bendera malah Bukit Bendera mempunyai lebih dari 100 spesies burung, 80 peratus daripadanya telah ditemui di Pulau Pinang telah direkodkan di sini,” katanya. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×