Sediakan hospital pakar, IPT di Hulu Selangor - Utusan Malaysia

Sediakan hospital pakar, IPT di Hulu Selangor

N. SATHIA PRAKASH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DALAM pertandingan enam penjuru di Parlimen Hulu Selangor yang lebih luas sedikit dari Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-15, pemilik klinik Kumpulan SP Care, DR. N. SATHIA PRAKASH meraih undi kedua tertinggi (45,261) selepas calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Hasnizan Harun (46,823) yang menang dengan majoriti 1,562 undi.

Turut bertanding empat lagi pesaing termasuk Datuk T. Mohan dari MIC (BN) yang memperoleh 27,050 undi.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM, Penyelaras PH Parlimen itu yang tetap bersemangat membantu penduduk bercakap mengenai perlunya daerah di utara Lembah Klang itu dinaik taraf dari segi infrastruktur termasuk dibina hospital pakar sebagai sokongan kepada Hospital Kuala Kubu Bharu dan mewujudkan institusi pengajian tinggi (IPT) di situ.

KECEWA LIHAT GELAGAT AHLI PARLIMEN

Kekecohan yang berlaku di Parlimen ketika sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 baru-baru ini mencerminkan negara kita.

Apakah yang akan difikirkan oleh generasi muda dan mereka telah membuat jenaka mengenainya. Serius, saya rasa ada lagu rap sudah keluar tentang apa yang berlaku di Parlimen.

Jika keadaan ini berterusan, orang ramai tidak akan menghormati apa-apa, segala mengenai politik akan menjadi tidak bernilai.

Tidak siapa lagi yang mahu bercakap tentang politik. Mereka akan kata, (ahli politik) pergi ke neraka, lakukan apa sahaja yang anda mahu.

Ahli politik hanya berminat tentang diri mereka sendiri dan bukan isu-isu melibatkan orang ramai.

BINA HOSPITAL PAKAR, IPT

Di Parlimen wakil rakyat bercakap isu-isu lampau, ini memang mengarut sama sekali. Sepatutnya bercakap bagaimana kita boleh memperbaiki Malaysia.

Seperti yang pernah saya cakap, kalau kita boleh bincangkan macam mana nak sediakan kesihatan dan pendidikan percuma di negara ini serta kedua-dua isu ini dapat diselesaikan, negara kita akan makmur dan menjadi lagi bagus.

Sekarang saya sedang mencari cara macam mana dapat dibina hospital pakar di Hulu Selangor yang lebih luas dari Melaka. Tak silap saya 26 kilometer persegi lagi besar dari Melaka dengan 260,000 penduduk.

Untuk rawatan pakar kena pergi ke hospital di Slim River, Selayang dan Sungai Buloh. Bayangkan daerah ini terletak tak jauh dari Kuala Lumpur tetapi IPT tak ada dan pusat beli-belah pun tak ada.

Kita perlu perancangan untuk jangka masa panjang, kerana di sekitar Hulu Selangor adalah hab industri seperti di Proton City, Muallim. Tanah di Hulu Selangor sangat luas tetapi masih berstatus pertanian dan banyak milik orang. Kita perlu mengenal pasti tapak yang sesuai untuk dibina hospital pakar, IPT dan stadium.

Kalau Melaka ada enam ahli Parlimen, kita ada seorang ahli Parlimen sahaja. Jadi kena beri tumpuan memperjuangkan isu ini di Parlimen untuk mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Jangan hanya pergi ke situ untuk kutuk orang dan bergaduh sesama sendiri. Sepatutnya di Parlimen dicambahkan idea baik untuk membantu orang ramai seperti Menu Rahmah oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

PERLU TELUS BANTU KAUM INDIA

Harus mempunyai program yang betul untuk membantu masyarakat India. Sebab itu sekarang kita ada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) yang diuruskan oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra itu berkata, telah dibelanjakan kesemua dana RM100 juta sebagaimana diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2023. Bagus kalau sudah dihabiskan.

Tetapi, saya rasa apa yang penting sekarang untuk diterangkan kepada seluruh masyarakat India dan Malaysia, macam mana duit itu dibelanjakan.

Mana bukti, makna faktanya kerana matlamat kerajaan perpaduan yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mengenai ketelusan. Tengok sekarang ada dakwaan parti dan orang yang sama dapat, jadi bila bukti-bukti macam ini keluar, ia menjadi isu yang sangat tidak menyenangkan rakyat.

Saya berkongsi perkara ini kerana rakyat sudah mula suarakan, walaupun kami adalah daripada parti yang sama (PKR). Bagi saya sangat jelas prinsip adalah prinsip. Jadi ketelusan mesti ada. Jika cukup telus, masalah selesai.

ORANG Melayu harus memberi peluang kepada Anwar Ibrahim mentadbir negara sehingga cukup penggal sama seperti keyakinan ditunjukkan kaum India dan Cina.

BERI PELUANG ANWAR TADBIR NEGARA

Masa yang diberi untuk Anwar mentadbir negara sehingga kini adalah kira-kira sembilan bulan dan tentangan yang beliau terima sangat hebat. Tentangan daripada semua orang termasuk media massa.

Ini kerana beliau memberi kebebasan kepada media dan tak pernah sekat pun. Pasal itu negara kita berada di tangga ke-73 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF), berbanding tangga ke-133 tahun lepas.

Video TikTok hari-hari keluar ada yang pro dan ada yang menentang beliau. Saya rasa daripada 10 video TikTok, hanya empat yang menyokong beliau.

Jadi sekarang kalau kita tidak memberi beliau masa yang cukup untuk membangunkan negara, apa yang akan berlaku kepada Malaysia?

Bagi saya masyarakat sekarang kena sejukkan badan dahulu, sekurang-kurangnya lihat apa yang berlaku selama lima tahun.

Saya rasa titah baginda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sangat baik dan sangat jelas.

Biarlah Datuk Seri bekerja selama lima tahun ini dan kita lihat hasilnya, tetapi tiada siapa yang mematuhinya. Titah ini bukan untuk masyarakat sahaja, malah parti politik pun kena ikut.

Apabila Datuk Seri melakukan sesuatu untuk rakyat, mengapa kita (pembangkang) cuba menghentikannya. Malaysia bertambah baik sekarang dan sekarang pelabur semua masuk.

Dalam pada itu, dalam sejarah Malaysia tak ada 18 parti yang diuruskan oleh seorang Perdana Menteri tetapi berlaku pada zaman Anwar memerintah, itu sudah tunjukkan kekuatan beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×