KUANTAN: Bagi memastikan kira-kira 1.1 juta murid prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 tidak ketinggalan kerana sesi persekolahan bersemuka hanya bermula hari ini, peranan aktif panitia mata pelajaran di sekolah sangat diperlukan.
Setiap panitia perlu aktif membincangkan tahap penguasaan murid dan status kemahiran mereka dalam sukatan pelajaran yang belum selesai diajar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, mereka juga harus membincangkan kemahiran yang perlu dikuasai untuk diajar tahun ini supaya berlaku kesinambungan kemahiran belajar murid-murid berkenaan.
“Dalam hal ini, panitia masing-masing boleh mencadangkan ‘silibus pendidikan minimum’ bagi Tahun 1/2020 dan Tahun 2/2021 supaya murid menguasai apa yang sepatut mereka perlu kuasai.
“Persediaan sebegini penting kerana dikhuatiri sekolah ditutup semula dan sukatan pelajaran terbantut,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas tentang silibus pendidikan minimum, Jasni berkata, ia adalah kaedah proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) dilakukan secara padat dan tersusun tanpa ada pengulangan.
“Saya bagi contoh kemahiran menambah. Guru-guru perlu fikir objektif sebenar kemahiran itu. Prosesnya perlu dilakukan terus tanpa pengulangan kerana objektifnya untuk memastikan murid menguasai kemahiran itu,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, pihaknya berharap Kementerian Pendidikan mengambil kira kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) sebelum ini yang mana ramai ibu bapa telah membuat pelaburan menyediakan peralatan untuk PdPR.
“Kementerian Pendidikan juga melabur menyediakan saluran televisyen pendidikan khas DidikTV Kementerian Pendidikan (DidikTV KPM), semua ini perlu diambil kira dari aplikasi dan kesinambungan penggunaannya supaya ia tidak terabai dan boleh menyebabkan kerugian bukan sahaja dalam kalangan ibu bapa malah di pihak kerajaan,” katanya.
Berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata, perkara itu telah dilalui sebelum ini dan bukan perkara baharu kepada guru, kakitangan sokongan termasuklah pengawal keselamatan sekolah.
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, lebih lima juta pelajar bakal memasuki semula sekolah secara berperingkat mulai hari ini selepas lebih sebulan pelaksanaan PdPR dimulakan pada 20 Januari lalu ekoran kes positif Covid-19 yang tinggi.
Kumpulan pertama melibatkan 1,107,095 orang kohort 2021 yang terdiri masing-masing 204,155 murid prasekolah Kementerian Pendidikan serta 454,827 murid Tahun 1 dan 448,113 murid Tahun 2.
Sementara itu, sejumlah 1,645,159 murid kohort 2021 bagi Tahun 3, 4, 5 dan 6 pula akan bermula 8 Mac ini dengan melibatkan keseluruhan 66,946 kelas.
“Seramai 2,036,179 pelajar sekolah menengah kohort 2021 pula ditetapkan bermula mula pada 4 April untuk empat negeri Kumpulan A dan 5 April untuk baki negeri-negeri lain Kumpulan B,” kata Radzi
Setakat 31 Januari lalu, data rasmi Kementerian Pendidikan menunjukkan kohort 2021 akan membabitkan keseluruhan 4,788,418 murid dengan 412,294 guru dan 10,223 buah sekolah.
Dalam pada itu, sesi persekolahan secara bersemuka di daerah Kuching, Samarahan, Julau, Meradong, Sibu, Kapit, Bintulu, Subis dan Miri di Sarawak yang sepatutnya bermula hari ini dilapor ditangguhkan selama dua minggu sehingga 14 Mac.
Difahamkan, keputusan itu dibuat atas nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) setelah berbincang dengan Kementerian Pendidikan berhubung perkembangan semasa pandemik Covid-19 di negeri berkenaan. – UTUSAN











