BENTONG: Semua agensi kerajaan termasuk asrama sekolah bakal menggunakan beras import sebagai langkah meningkatkan bekalan beras tempatan di pasaran.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hal ini kerana semua agensi kerajaan seperti hospital, kem tentera dan asrama sekolah masih menggunakan banyak beras tempatan sebagai bahan makanan ruji masing-masing.
Justeru, beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan, Isnin ini sebelum membuat ketetapan berhubung perkara tersebut.
“Bila agensi kerajaan mengambil beras import, maka beras kampit tempatan berharga RM26 akan berada di pasaran dengan lebih banyak.
“Itu tidak dapat pastikan berapa banyak pertambahan, tapi memang banyak sebab hospital, kem-kem tentera, pusat latihan polis, asrama sekolah banyak guna (beras tempatan),” katanya ketika ditemui selepas Program Sembang Santai Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai di Simpang Pelangai di sini semalam.
Terdahulu dalam program itu, Mohamad berkata, pihaknya mahu agensi kerajaan seperti hospital menggunakan beras import berbanding beras tempatan.
“Maka kerajaan beri subsidi atas pembelian oleh agensi kerajaan itu, maka puluhan ribu kampit (beras tempatan) akan berada di pasaran (lebih banyak) apabila agensi kerajaan ini menggunakan beras import,” katanya.
Sementara itu, Mohamad meminta orang awam tidak membuat serbuan terhadap pengilang ekoran dakwaan enggan menjual beras tempatan dengan harga ditetapkan kerajaan.
Katanya, semua pihak perlu menyerahkan tugas penguatkuasaan kepada pihak berkuasa dan mereka diminta dilaporkan jika mengesyaki berlaku perkara tersebut.
Pada masa sama, beliau berkata, kata putus India terhadap permintaan Malaysia agar negara itu terus mengeksport beras putih akan diputuskan pada minggu depan.
Katanya, pihak kementerian dengan kerajaan India bagi menyatakan hasrat memastikan negara itu terus mengeksport beras putih kepada Malaysia. – UTUSAN










