Cekal flow walau dalam ketidaktamadunan

Cekal flow walau dalam ketidaktamadunan

PUSAT Pembangunan Minda Insan (PPMI) yang serba kekurangan di Kampung Tagupi Laut menjadi tempat kanak-kanak tanpa kewarganegaraan mendapatkan pendidikan asas mereka. – IHSAN FIRDAUS JUSDEAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SALAH satu tanda ketamadunan manusia adalah keupayaan sesebuah masyarakat itu menyelesaikan masalah sosial yang timbul dalam kalangan mereka. Mustahil sesuatu masalah sosial selesai dengan sendirinya jika ia dibiarkan berlarutan oleh masyarakat. Dalam kita mengejar ketamadunan di tanah air, antara masalah dibiarkan berlanjutan tanpa penyelesaian tuntas adalah golongan rentan di Kampung Tagupi Laut, Lahad Datu, Sabah atau lebih tepat lagi dikenali sebagai orang tidak berwarganegara (OTB).

Bertahun sekolah alternatif, Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) di Kampung Tagupi Laut menjadi tempat kanak-kanak tanpa kewarganegaraan mendapatkan pendidikan asas mereka. Sekolah ini serba kekurangan dan diterajui oleh guru-guru dari komuniti yang kebanyakannya juga tidak berwarganegara.

Delegasi Tagupi Membaca saban tahun berulang ke sana. Namun, selama masa yang memakan tahun ini masih belum mengeluarkan mereka daripada kesukaran dihadapi secara sistemik. Mereka terus bergelut untuk mendapatkan kerakyatan walau tangan menjunjung Jalur Gemilang dan lidah setia melafazkan lagu Negaraku.

Memuatkan artikel berkaitan…

Aneh. Walau kerakyatan mereka dinafikan, ternyata semangat guru dan murid tidak pernah lekang sedikit pun. Kali ini kali ketiga saya menjejakkan kaki di Kampung Tagupi Laut dan menjadi saksi cekalnya guru-guru di sana mendidik anak bangsa. Murid-muridnya masih setia menadah ilmu dan kemahiran di bangunan usang yang kadangkala dikongsi dengan haiwan peliharaan mahupun liar di sekitar kampung.

Masih kekal di ingatan ketika nota diselak, pen dipegang erat dan roti krim lembut dihulurkan menjadi bekal sebaik sahaja sesi latihan guru dimulakan. Latihan guru kali ini tinggal 10 orang jumlah semuanya. Hati mana tidak sayu melihat lebih separuh jumlah guru tidak dapat menghadirkan diri pada kali ini. Pelbagai cabaran mereka perlu hadapi baik dari segi elaun rendah, logistik, sumber rujukan, dana dan banyak lagi keterbatasan yang tiada penghujungnya. Namun mereka masih setia dengan lembut sabarnya mengajar tulis, baca.

Terdetik di hati saya, apakah yang membuatkan mereka masih setia? Bukankah lebih mudah untuk berputus asa dan melakukan pekerjaan lain? Kelindan lori, nelayan, berniaga atau menjadi peladang sudah tentu menjanjikan hasil pendapatan lebih lumayan. Pun begitu, guru-guru ini memilih untuk kekal berada di sekolah yang sama.

SANG DURJANA
Teringat saya akan sebuah buku karangan Profesor Seligman dari Universiti Pennsylvania berjudul Flourish atau diterjemahkan sebagai kemekaran dalam hidup yang manusia ingin lakukan. Dalam buku itu, pembaca diperkenalkan dengan sebuah konsep flow.

Flow bermakna sesuatu perkara dilakukan tanpa kita sedar akan tempoh masa berlalu dan berasa sangat seronok melakukannya. Ia penting bagi kita kerana memberikan rasa puas dan khusyuk dalam pekerjaan yang dilakukan. Ramai dalam kalangan kita menginginkan sesuatu pekerjaan itu dapat dibuat dengan lancar tanpa banyak halangan dan rintangan. Masa yang berlalu seolah-olah tidak terasa. Kerja yang bertimbun mampu dilaksana walau susah sekalipun. Sedar-sedar ia telah selesai. Inilah flow dan ia ada di PPMI Kampung Tagupi Laut.

Anak-anak bermain tanpa kisah sebarang bahaya diculik sang durjana. Ibu-ibu menyediakan keperluan seharian tanpa disibukkan dengan hal alam maya. Si ayah pula senang dengan pekerjaannya mengajar anak-anak di sekolah PPMI walaupun kurang serba satu. Jelas mereka mempunyai flow dalam pekerjaan dilakukan, flow dalam membina hubungan dan juga flow dalam memberi kepada yang lain. Biarlah sedikit tetapi asalkan bahagia dan mencukupi. Mungkin terdapat sinar keberkatan dalam yang sedikit. Mereka tetap cekal cuba meraih bahagia dalam keterbatasan yang ada.

Lima tahun pengalaman bersama delegasi menjadi saksi bahawa komuniti di sini kental, cekal, tinggi daya tahan. Anak-anak di Kampung Tagupi Laut pula pintar, cergas dan berani. Rata-rata sifat mereka ramah, sopan, menjaga agama dan punya daya kebingkasan dalam mengharungi cabaran hidup. Sememangnya semangat cintakan tanah air terpampang dalam setiap jiwa yang berasal dari Kampung Tagupi Laut. Cikgu-cikgunya gigih, bersemangat dan kreatif menggunakan sumber sedia ada dalam melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sana.

Persoalannya, kenapa mereka masih dibiarkan dalam kepayahan sistemik ini? Mengapa kita sehingga saat ini masih membiarkan mereka? Adakah kerana nir (tanpa) sekeping kad berwarna biru menyebabkan kita membezakan antara ‘mereka’ dan ‘kita’? Atau kita menyangka mereka tidak punya apa-apa yang harus diketengahkan? Kalau jawapannya ‘ya’, amat malang sekali. Penduduk di sini punya banyak untuk ditawarkan kepada negara tercinta ini, malah mungkin lebih lagi daripada pemegang kad biru yang saban hari mencela tanah air sendiri.

Jika kita masih membiarkan masalah ini berlarutan, dikhuatiri saban hari kanak-kanak di Kampung Tagupi Laut akan hilang peluang untuk mendapatkan pendidikan dan hilanglah potensi diri. Pastinya mobiliti sosial tidak akan berlaku. Tanah berdaulat ini juga bakal kehilangan permata-permata bernilai yang sedia menabur jasa dan bakti jika diberikan peluang menjadi sebahagian daripada warganegara.

Jadilah kita antara orang yang mendahului dalam memberikan kebaikan berbanding mereka yang terakhir melaksana kewajipan. Janganlah kita menjadi seperti pepatah, gajah terdorong kerana gadingnya, harimau terlompat kerana belangnya, kerana akhirnya yang rugi hanyalah anak bangsa kita yang memerlukan bantuan dan sokongan yang mesti kita hulurkan.-UTUSAN

Dr. Ahmad Zulfadhli Khairuddin ialah Pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan juga aktivis #TagupiMembaca.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×