Makan nasi sekali sehari jimat beras

Makan nasi sekali sehari jimat beras

Pengeluaran beras tempatan yang tidak mencukupi menyebabkan negara terpaksa mengimport beras dari negara lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Makan nasi sekali sehari manakala tengah hari pula hanya menjamah lempeng cecah sambal atau sardin.

Itu yang terpaksa diamalkan tujuh sekeluarga untuk mengurangkan penggunaan beras sebagai makanan ruji ekoran harga yang semakin meningkat.

Lazimnya, mereka makan nasi dua kali sehari yang memerlukan kira-kira satu kilogram beras atau secara purata kos antara RM96 hingga RM120 untuk membeli 30 kilogram beras sebulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang suri rumah, Hasnah Roslan, 35, berkata, walaupun beras tempatan seberat 10 kilogram (kg) dijual pada harga RM26, bekalannya agak sukar diperoleh ketika ini.

Katanya, stok yang dijual di pasar raya juga tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk di bandar ini kerana hanya mampu bertahan beberapa jam sebelum habis terjual.

“Bagi saya yang mempunyai lima anak dan semuanya masih bersekolah memerlukan kira-kira 1kg beras sehari atau 30kg sebulan.

“Sebagai langkah berjimat, mereka hanya dihidangkan makanan pengalas perut seperti lempeng selepas balik sekolah dan makan sekali sehari pada waktu malam selepas suami balik bekerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, tinjauan di enam premis di Taman Sri Lambak, dekat sini mendapati, tiada kampit beras dijual pada harga RM26 dan yang ada hanya beras berharga RM32 ke atas.

Seorang pemilik kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Anuar, 50, mengakui pembekal tidak menghantar bekalan beras tempatan kepada mereka menyebabkan terpaksa menerima bekalan beras import walaupun menyedari harganya agak mahal.

Dia mengakui tidak mengetahui ke mana ‘hilangnya’ beras tempatan kerana jika mengikut laporan daripada pihak kerajaan bahan keperluan asas itu mempunyai stok yang banyak, malah mencukupi sehingga tempoh lima bulan.

“Jika cukup mana berasnya dan kenapa hanya pasar raya tertentu sahaja yang mendapat bekalan dan keadaan ini adalah yang pertama berlaku sejak lebih 20 tahun saya berniaga di sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×