KEPUTUSAN pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu yang kurang memuaskan buat UMNO mengakibatkan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dikecam bertalu-talu dari dalam dan luar parti.
Sehubungan itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam media sosial menyangkal pengkritik dari Barisan Nasional (BN) sendiri. Azalina berpendapat, perbuatan golongan yang mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan adalah tidak rasional. Beliau turut menegaskan, kekalahan dalam PRN seharusnya ditanggung bersama-sama oleh gagasan BN secara kolektif, bukannya menuduh UMNO semata-mata. Beliau juga mencadangkan UMNO bertanding menggunakan bendera parti sendiri pada masa depan.
Namun, hujahnya itu telah membangkitkan respons daripada MCA dan MIC. Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, topik sensitif seperti itu seharusnya dibawa ke meja rundingan untuk dibincang oleh pemimpin atasan BN terlebih dahulu. Naib Presiden MIC, T. Mohan pula menjelaskan, parti mereka sanggup menerima hakikat tersebut dengan hati terbuka. Namun, kesanggupan pemimpin atasan UMNO meneruskan perjuangan BN merupakan perkara yang lebih dititikberatkan oleh MIC.
Pemimpin UMNO yang dibekukan jawatan, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pula menyokong pandangan Azalina, yakni UMNO perlu memberanikan diri untuk mengembalikan identiti sendiri. Dengan menggunakan keris sebagai logo pilihan raya, UMNO dapat mempertunjukkan keazaman mereka dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu.
Pertimbangan agar UMNO menggunakan keris sebagai logo pilihan raya dilihat sebagai usaha untuk meluahkan rasa tidak puas hati kepada parti-parti bersekutu mereka.
Bagi saya, seiringan perubahan landskap politik, UMNO patut mempertimbangkan penggunaan keris sebagai logo pilihan raya atas sebab-sebab tertentu.
Pertama, jenama BN sudah tiada nilai pasaran. Melalui ujian dalam pilihan raya berpuluh-puluh tahun lamanya, khususnya pilihan raya Parlimen melibatkan penentuan kuasa pemerintahan negara, terbukti identiti dan nilai pasaran BN telah terkikis. BN semakin tidak menarik buat pengundi. Oleh itu, keris berkemungkinan dapat menyalurkan unsur baharu yang mampu membantu parti tersebut ke arah penjenamaan semula.
SEHATI SEJIWA
Kedua, kegagalan parti-parti bersekutu BN memberikan sokongan padu kepada UMNO. Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2008, UMNO, MCA dan MIC secara luaran kelihatan bekerjasama erat. Namun, hakikatnya parti-parti itu tidak sehati sejiwa. Ditambah tindakan MCA dan MIC memboikot PRN di enam negeri menunjukkan mereka kurang komited untuk mempertahankan gagasan itu dan tidak sanggup menghadapi cabaran bersama UMNO. Kalau begitu keadaannya, buat apa UMNO membantu MCA dan MIC atas nama BN?
Ketiga, pembentukan politik BN sudah tidak mampu menangani respons kehendak politik semasa. Perjuangan BN pada dasarnya mengutamakan kepentingan Melayu di samping setiap kaum juga berpeluang berkongsi kuasa politik. Untuk membolehkan BN beroperasi secara berkesan, bukan sahaja kerajaan memerlukan banyak sumber, parti-parti bersekutu juga perlu saling melengkapi dalam pengumpulan undi penyokong agar BN sentiasa menjadi pemenang utama baik di kawasan Melayu, bukan Melayu, campuran, mahupun Sabah dan Sarawak.
Pada PRU 1999, negara menghadapi gelombang suara rakyat buat kali pertama. Mulai 2008, pengundi Cina berubah haluan menyokong Pakatan Rakyat (PR)/Pakatan Harapan (PH) dalam PRU. Pengundi Melayu pula beransur-ansur mengundi Pas/(Perikatan Nasional (PN) sejak PRU 2018.
Ditambah pula pada 2021, warganegara berumur 18 tahun diumumkan sebagai pengundi secara automatik. Dengan itu, dalam tempoh masa tidak sampai 30 tahun, BN semakin kehilangan kuasa monopoli dalam politik. Pengundi tidak lagi menyokong konsep perkongsian kuasa politik dianjurkan BN semenjak kemerdekaan negara. Oleh itu, UMNO dan parti-parti bersekutu BN perlu berfikir secara mendalam sama ada BN perlu membentuk parti tunggal atau membubarkan gagasan BN dan masing-masing bergerak solo.
Keempat, UMNO semakin tertekan oleh sokongan undi Melayu. Seperti disebut di atas, BN berkongsi kuasa politik dengan berteraskan kekuatan UMNO (orang Melayu). Kesanggupan BN memperoleh undi Melayu yang banyak dalam pilihan raya merupakan kelebihan gagasan itu. Kini, bukan Melayu tidak lagi menyokong BN (ataupun hanya menyokong kerana BN merupakan anggota kerajaan perpaduan pimpinan PH).
Nisbah pengundi Melayu dan kawasan pengundi Melayu semakin bertambah setiap tahun. Oleh itu, pergantungan BN terhadap sokongan Melayu menjadi lagi kritikal. Dalam situasi sebegini, eloklah UMNO menanggalkan topeng kepelbagaian, mengembalikan identiti sendiri dan bertarung solo dengan mengibarkan keris (bendera UMNO). UMNO harus menumpukan sepenuh tenaga untuk menarik hati pengundi Melayu. Dengan itu, UMNO dapat menghadang persaingan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara langsung dalam isu perkauman dan keagamaan. Seterusnya UMNO akan betul-betul menjadi sebuah parti Melayu-Islam. Kuasa konservatif yang ditunjukkan oleh UMNO juga dapat mempelbagaikan pemerintahan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Konklusinya, selepas PRU15 dan PRN 2023, kegemilangan BN sudah menjadi babak sejarah. Kini, BN seolah-olah tinggal nyawa-nyawa ikan. UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sudah kehilangan semua pengaruh politik. Akan tetapi, sanggupkah UMNO, bahkan BN menggunakan khazanah politik yang diwarisi mereka untuk menjenamakan semula parti melalui pelaksanaan beberapa perubahan dan berhadapan pengundi dengan penampilan baharu?
Sama ada masuk bertanding menggunakan logo masing-masing atau bergabung menjadi sebuah parti tunggal berbilang kaum, ataupun terus membubarkan gagasan BN dan bergerak solo, mengubah keadaan sekarang yang lembab merupakan jalan penyelesaian yang patut dicuba oleh keempat-empat parti dalam BN. – UTUSAN
PENULIS ialah lulusan ijazah sarjana politik dari Universiti Soochow, Taiwan dan kini penganalisis politik tempatan.










