TIDAK banyak negara bersifat mono-etnik pada masa kini. Yang adapun, boleh dibilang dengan jari. Sesebuah negara itu dianggap sebagai mono-etnik apabila adanya satu etnik majoriti merangkumi 85 peratus daripada jumlah populasinya. Di Asia Tenggara, hanya ada tiga negara bersifat mono-etnik, iaitu Thailand, Vietnam dan Kemboja.
Di satu sisi lain, arus globalisasi yang semakin rancak membawa banyak perubahan terutama dalam sistem pengangkutan. Pergerakan manusia ke seluruh pelosok dunia begitu pantas dan mudah. Penghijrahan berlaku di mana-mana sahaja sehingga hampir semua negara sudah bersifat majmuk.
Bagi yang rencam dengan kehadiran pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya, sudah pastinya keluk kesurvivalan negara tersebut menjadi tanda tanya. Ada negara yang terus stabil dan kukuh dan berkembang maju. Ada pula negara hanyut dalam kemusnahan yang sukar untuk dipulihkan semula.
Sebagai anak jati Malaysia, kita seharusnya bersyukur. Walaupun kediversitian Malaysia terlalu tinggi, namun negara kita berjaya mengharungi segala cabaran dan dugaan sehingga kini.
Ketika gagasan Malaysia dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, banyak pihak memberikan persepsi negatif bahawa negara ini tidak mampu menghadapi kerencaman yang wujud dengan penyatuan wilayah-wilayah memiliki etnik, budaya dan cara hidup berbeza.
Bagi mereka yang berfikiran sempit ini, pembentukan Malaysia hanyalah satu gimik politik dan tidak akan kekal lama. Tetapi atas usaha berterusan daripada pemimpin kita, tidak kira Malaysia Barat ataupun Malaysia Timur, segala tanggapan negatif ini berjaya ditepis atas dasar kepentingan bersama. Jika tidak disebabkan jasa dan sumbangan negarawan terdahulu, pasti Malaysia yang kita sebut-sebut kini tidak akan kekal wujud selama 60 tahun.
Bagi sesebuah negara rencam seperti Malaysia, penentu muktamad terhadap kelangsungan dan kedaulatan negara adalah melalui penerapan semangat perpaduan. Tanpa adanya satu ikatan perpaduan yang kukuh, keutuhan dan kestabilan tidak akan kekal terjamin. Seperti peribahasa, telur di hujung tanduk, dalam sekelip mata sahaja suatu keadaan yang aman dan damai mungkin berubah.
Tidak perlu isu yang besar-besar untuk itu. Satu isu melibatkan perkauman sudah mencukupi untuk meranapkan perpaduan yang terbina selama ini. Sebagai contoh, insiden 13 Mei 1969 jelas menunjukkan betapa rapuhnya perpaduan dalam kalangan kita. Malah membawa musibah besar terhadap kestabilan negara dalam satu jangka masa. Pengalaman pahit ini mengajar kita bahawa hubungan antara kaum sangatlah penting dan perlu dijaga sebaik-baiknya. Dengan hakikat itulah, kerajaan sentiasa menjunjung semangat perpaduan dalam setiap dasar negara agar tidak berulang lagi peristiwa hitam sepertinya lagi.
Untuk menyemai nilai-nilai perpaduan, beberapa aspek perlu diberikan perhatian. Pertama, kita harus sedar negara ini didiami oleh masyarakat majmuk pelbagai versinya. Maka sudah pastinya segala tradisi dan budaya yang diamalkan adalah berbeza antara satu komuniti dengan komuniti lain. Perbezaan yang wujud inilah harus kita terima dan hormati. Mungkin ia berbeza dengan cara hidup kita, tetapi kita harus raikannya bersama selagi tidak bercanggah dengan kepercayaan masing-masing. Dengan ini, baharulah kita akan dapat memahami kaum-kaum lain dengan lebih baik di samping membentuk satu hubungan sihat.
Kedua, semangat perpaduan seharusnya diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Dengan hanya melaungkan perpaduan tanpa sebarang tindakan, maka tidak akan wujud perpaduan itu dalam konteks sebenar. Perpaduan itu hanya akan timbul apabila kita meraikan identiti masyarakat lain sebagai identiti bersama. Sebagai contoh, pemakaian pakaian tradisional kaum-kaum lain perlu digalakkan di peringkat sekolah mahupun institusi pendidikan tinggi. Ini akan membantu meningkatkan kefahaman terhadap satu-satu kaum itu.
Di samping itu, semangat perpaduan perlu disemarakkan dengan keterlibatan semua pihak. Kita tidak boleh bergantung terhadap usaha kerajaan sahaja ke arah itu. Tidak kira sesiapa pun, baik muda ataupun tua, perlu berfikiran luas dan pikul tanggungjawab untuk menyebarkan kefahaman dan penghayatan berkaitan semangat perpaduan.
Dalam pada itu, kita tidak boleh menafikan perpaduan ini adalah sesuatu yang kompleks. Boleh dikatakan seperti sebuah cermin, jika tidak dijaga rapi, cermin perpaduan ini boleh berkecai hanya dengan satu balingan batu kecil. Terlalu banyak hantaran atau ciapan di media sosial dibuat mengungkit-ungkitkan isu-isu perkauman yang sebenarnya tidak wujud.
Sebagai rakyat berhemah, perlu sedar bahawa kita diperalatkan oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan mereka semata-mata. Jangan kita terikut-ikut dengan propaganda mereka yang tidak membawa sebarang kebaikan kepada kita. Jadi, jangan kongsi apa jua informasi berbaur perkauman.
Pendek kata, marilah kita berpegang dengan amanat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, “Keutuhan perpaduan ini adalah juga kunci utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara serta benih dan sumber kekuatan bagi kita menghadapi apa jua cabaran semasa dan mendatang.” – UTUSAN
Dr. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.










