BENTONG: Barisan Nasional (BN) yang diwakili Datuk Amizar Abu Adam akan ditentang Perikatan Nasional (PN) menerusi calonnya, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini.
Pengumuman calon terbabit dibuat Pengurus Pilihan Raya Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail pukul 10.16 pagi di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini, semalam.
Kerusi itu kosong susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuh raya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
MENANG
Johari yang kali pertama bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menang dengan majoriti 4,048 undi.
Allahyarham menewaskan Kasim (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi.
Seramai 16,456 pengundi berdaftar layak mengundi dalam pilihan raya kali ini.
Sementara itu, Amizar yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Bentong berkata, amanah selaku calon akan disempurnakan sebaik mungkin.
Anak generasi kedua Felda Chemomoi yang berada dalam DUN Pelangai itu berkata, jika terpilih kelak, beliau mahu menyambung legasi Allahyarham Johari sebelum ini yang diterima dengan baik oleh penduduk di kawasan tersebut.
Kasim pula berkata, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadikan DUN Pelangai kerusi ke-18 dimenangi PN Pahang.
Beliau yakin gelombang hijau yang mencetuskan fenomena pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu akan sampai ke Pelangai.
“Insya-Allah saya akan memperjuangkan isu-isu pembangunan di Pelangai yang masih jauh ketinggalan,” katanya.
PROTES
Sementara itu, Haslihelmy yang juga Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) berkata, beliau bertanding sebagai calon Bebas sebagai protes terhadap calon dikemuka BN.
Beliau mendakwa pucuk pimpinan UMNO meletakkan calon kitar semula dan mudah ‘ditarik telinga’.
“Saya tidak akan bertanding sebagai calon Bebas jika BN meletakkan calon yang tepat. Saya sayangkan UMNO, saya sedih kerana pucuk pimpinan meletakkan calon salah. Saya anak tempatan di sini, saya yakin mampu menarik sokongan pengundi khususnya dalam kalangan anak muda,” katanya. – UTUSAN










