PENAMAAN calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai hari ini di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini membuka tirai kempen pilihan raya itu yang dijangka ‘hangat’ sehingga hari membuang undi, 7 Oktober ini.
Hari ini juga akan terjawab saingan pada PRK berkenaan akan membabitkan berapa penjuru.
Pada 20 September lalu, Barisan Nasional (BN) mengumumkan anak Felda Chemomoi di Pelangai di sini, Datuk Amizar Abu Adam, 50, sebagai calon mewakili parti tersebut.
Perikatan Nasional (PN) juga membuat pengumuman hari yang sama dengan menampilkan semula bekas guru yang juga calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Kasim Samat, 62, bagi merebut kerusi panas tersebut.
Pada 29 Ogos lalu, Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli menjadi individu pertama membeli borang di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang bagi menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas pada PRK DUN Pelangai.
Presiden PSAP itu mengakui mendapat maklum balas yang memberangsangkan tentang kerusi DUN Pelangai kerana beliau merupakan anak jati di situ.
Kerusi N36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Susulan itu, SPR menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober hari pengundian PRK DUN Pelangai membabitkan 16,456 pemilih berdaftar.
Johari yang kali pertama bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menang di Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Allahyarham menewaskan Kasim (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi.
PRK DUN Pelangai kali ini dijangka menyaksikan saingan sengit antara BN dan PN yang masing-masing turun dengan misi wajib menang.
Adakah Haslihelmy akan meneruskan hasratnya bertanding bebas? Sehingga semalam beliau difahamkan kekal dengan keputusannya sebagai calon bebas mesra PN. Segala-galanya bakal terjawab hari ini. – UTUSAN










