KETIBAAN delegasi #TagupiMembaca Siri Keempat disambut meriah oleh 139 murid yang berbaris panjang dari pintu gerbang sekolah alternatif Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) Kampung Tagupi Laut umpama orang kenamaan.
Tidak sampai 15 minit tiba di situ, nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku berkumandang penuh semangat oleh anak-anak Tagupi menyentuh hati saya.
Firasat awal saya, mungkin ini sahaja lagu-lagu wajib perlu diketahui murid yang hadir di sekolah alternatif itu. Namun, setelah menjadi fasilitator bagi sekolah rendah itu, baharu saya sedar mereka mengetahui hampir kesemua lagu patriotik negara.
Apabila diberikan tugasan, ada meminta lagu patriotik yang tiada dalam senarai kami. Disebabkan tiada jaringan internet, saya berlari ke pantai untuk mendapatkan akses bagi memuat naik lagu Saya Anak Malaysia semata-mata mahu memenuhi permintaan mereka.
Pada hari terakhir di sana, kami adakan pertandingan persembahan. Ada kumpulan mempersembahkan lakonan perjuangan kemerdekaan termasuk adegan silat menentang komunis dan British yang akhirnya membuahkan kemerdekaan.
Terdetik hati saya, jika suatu hari nanti tanah air ini diancam musuh, adakah anak-anak Tagupi mahir bersilat ini akan berjuang mempertahankan tanah air yang menafikan hak mereka?
Timbul tanda tanya, apakah anak-anak ini menyedari kemelut isu perundangan yang mengulit kehidupan mereka sebagai orang tanpa warganegara?
Di peringkat usia mana anak-anak ini selayaknya diajar tentang realiti yang membelenggu? Realitinya, mereka hadir di sekolah alternatif ini untuk menyiapkan diri sekiranya nanti dibenarkan menghadiri sekolah awam.
Realitinya, cita-cita anak-anak ini untuk menjadi doktor, polis, askar dan guru tidak akan tercapai sekiranya mereka tidak diberikan hak pendidikan.
Saya sempat memenuhi masa lapang berjalan di sekitar kampung, nampak jelas perbezaan kanak-kanak diberikan pendidikan asas di sekolah alternatif itu berbanding mereka yang langsung tidak bersekolah.
Ternyata pendidikan mampu mengubah cara pemikiran, akhlak dan budi pekerti sesebuah komuniti. Perasaan ingin belajar yang tinggi tanpa masa depan nyata adalah suatu sifat yang saya kagumi dengan murid-murid ini.
Betapa ironi dengan dunia moden yang mana universiti dan kolej terpaksa menganjurkan jerayawara bagi menarik minat generasi muda untuk melanjutkan pelajaran.
Saya percaya anak-anak kita harus diajar untuk bersyukur kerana ada dalam kalangan mereka yang mempunyai keinginan tinggi untuk belajar tetapi terhalang dek polisi negara.
NGO
Kehadiran saya untuk program ini juga memberi kesedaran bahawa perjuangan untuk membantu memberikan hak pendidikan kepada anak-anak tanpa warganegara yang digalas oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) bukanlah mudah.
Secara amnya, perit untuk mendapatkan dana atau sumbangan awam bagi kanak-kanak tanpa warganegara. Lebih-lebih lagi rata-rata rakyat di Semenanjung tidak arif tentang permasalahan kanak-kanak tanpa warganegara di timur Sabah.
Berkemungkinan rakyat yang kewarganegaraannya diperoleh secara naturalisasi tidak dapat menghayati isu hak ini kerana mereka dilahirkan dengan status warganegara dijamin.
Maka, mudah untuk menempelak ibu bapa kanak-kanak tanpa kewarganegaraan kerana gagal mendaftarkan kelahiran anak mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Malah, mudah untuk berprasangka yang anak-anak ini pendatang dari tanah seberang. Walhal, mereka ialah generasi ketiga dan keempat daripada keturunan telah lama menghuni perkampungan di perairan Sabah.
Di mana silapnya? Adakah ibu bapa serta datuk nenek yang perlu dipersalahkan kerana memilih untuk tinggal di kawasan yang hanya boleh diakses melalui bot dan sampan suatu ketika dahulu sehinggakan kewarganegaraan mereka tercicir daripada didaftarkan?
Adakah keputusan untuk menetap di kawasan pedalaman menyebabkan mereka dinafikan kewarganegaraan?
Sepetang bersama Puan Ibah, penduduk Kampung Tagupi Laut sambil menjamu donat dan air teh, saya dibawa mengimbau punca masalah.
Dia lebih bernasib baik kerana dibesarkan di Kota Kinabalu dan mempunyai akses mendaftar sebagai warganegara sebelum mengikut suaminya menetap di Kampung Tagupi Laut.
Katanya, zaman 1990-an dahulu, kampung berkenaan hanya dapat diakses melalui air kerana tiada jalan darat. Ketika itu susah untuk mendapat maklumat dan rata-rata penduduk tidak berkemampuan.
Sekarang apabila sudah ada kesedaran, proses pendaftaran pula sangat susah dan memerlukan belanja besar. Hakikatnya, masalah utama adalah sistem birokrasi dan kurangnya komitmen daripada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menyelesaikannya.
Sebagai contoh, salah seorang cikgu lelaki di Kampung Tagupi Laut berkahwin dengan isterinya yang tidak mempunyai apa-apa warganegara dan dikurniakan 11 anak telah memohon kewarganegaraan untuk isterinya bagi membolehkan kesemua anaknya diberikan kewarganegaraan.
Sudahlah perlu membayar denda beribu ringgit di mahkamah syariah kerana lewat mendaftar pernikahan untuk memenuhi syarat, terpaksa berulang alik pula dari Semporna ke Kota Kinabalu sebanyak enam kali dan akhirnya permohonan warganegara untuk anak-anaknya tidak dibenarkan.
Apakah setiap permohonan kewarganegaraan perlu dibuktikan dengan ujian asid deoksiribonukleik (DNA)? Sedangkan tiada garis panduan jelas daripada JPN berhubung permohonan kewarganegaraan.
Bagi ahli delegasi yang kali pertama menjejak kaki ke Kampung Tagupi Laut, pengalaman sepanjang program membuka mata saya tentang kehidupan sebenar komuniti yang tiada warganegara dan isu-isu berbangkit daripadanya.
Selagi anak-anak ini hidup dalam alam fantasi ‘merdeka olok-olok’ kita sebagai rakyat harus bertanggungjawab untuk memastikan kerajaan memberikan hak kewarganegaraan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN
PENULIS ialah peguam litigasi yang beramal di Kuala Lumpur dan aktivis #TagupiMembaca.











