KUALA LUMPUR: Sejumlah £9.45 juta telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi AmIslamic milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh dua buah syarikat yang dikawal oleh sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Dua syarikat tersebut ialah Blackrock Commodities (Global) Ltd dan Vista Equity International Partners.
Menurut laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), Vista Equity dan Blackrock ialah ‘shell company’ (syarikat yang hanya wujud di atas kertas) dimiliki dan dikawal oleh Eric Tan Kim Loong yang merupakan sekutu Jho Low.
Terdahulu, penganalisa Bank Negara Malaysia (BNM), Adam Ariff Mohd. Roslan memberitahu, di antara 17 Oktober dan 17 Disember 2014, Vista Equity telah memindahkan £8.7 juta (RM45,825,918.13 – mengikut kadar tukaran wang asing ketika itu) ke dalam akaun AmPrivate Banking – 1MY milik Najib yang berakhir dengan nombor akaun berakhir 1880.
Pemindahan dana tersebut dilakukan dalam lima transaksi di antara 23 Oktober hingga 19 Disember 2014.
Sementara itu, Blackrock Commodities (Global) Limited telah memindahkan £750,000 bersamaan RM4,093,500 (mengikut kadar tukaran wang ketika itu) pada penghujung Jun 2014.
Sebelum wang-wang tersebut dikreditkan ke dalam akaun peribadi Najib yang berakhir 1880, akaun terbabit hanya mempunyai baki sebanyak RM100,000.
Jelas Adam Ariff, pindahan wang £750,000 dibuat pada hari sama Blackrock menerima wang AS$1.89 million daripada Affinity Equity.
“Berdasarkan penyata rekod bank Affinity Equity, pada 18 Jun 2014, syarikat terbabit membuat pindahan dalaman sebanyak AS$1.89 juta dan pada hari sama akaun Blackrock turut mencatatkan penerimaan jumlah yang sama.
“Pada hari sama Blackrock menerima AS$1.89 juta daripada Affinity Equity, Blackrock telah memindahkan £750,000 kepada akaun 211-202-201188-0 atas nama AMPRIVATE BANKING – 1MY DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN HJ ABD RAZAK’,”kata saksi pendakwaan ke-47 itu.
Adam Ariff berkata demikian ketika menjelaskan fasa keempat kemasukan wang RM2.28 bilion daripada 1MDB ke dalam akaun milik Najib.
Fasa keempat itu membabitkan Fasa Opsyen Pembelian Semula (Option Buyback) melibat dua transaksi iaitu pada 23 Jun 2014 yang mana sebanyak RM4,093,500 dimasukkan ke dalam akaun Najib dan transaksi berikutnya berlaku di antara 23 Oktober 2014 dan 19 Disember 2014 membabitkan wang sebanyak RM45,837,485.70 dimasukkan ke dalam akaun Najib.
Najib kini sedang dibicarakan atas empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 9 Oktober ini. – UTUSAN










