RMK12 jadi kad laporan Anwar

RMK12 jadi kad laporan Anwar

ANWAR Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM15 bilion menjadikan peruntukan keseluruhan RMK12 bernilai RM415 bilion. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA pembentangan laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menambah peruntukan sebanyak RM15 bilion, menjadikan peruntukan keseluruhan RMK12 bernilai RM415 bilion.

Kata Perdana Menteri, penambahan peruntukan itu akan disalurkan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki kualiti pentadbiran dan memperkenalkan mekanisme subsidi bersasar bagi menampung keperluan asas rakyat. Bahkan, kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun antara 2023 hingga 2025 untuk menjayakan RMK12.

Pembentangan itu merangkumi 12 penegasan yang menjadi inti pati kepada tiga tumpuan KSP RMK12, iaitu menuju ke arah negara berpendapatan tinggi; membangunkan masyarakat sejahtera dan memperkukuh kemampanan dan tata kelola.

Sesungguhnya RMK12 dibentang oleh Perdana Menteri kesemnbilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2021. Kini kerajaan perpaduan mengambil alih tampuk pemerintahan persekutuan, maka kerja-kerja pelaksanaan RMK12 disambung oleh Anwar.

Sepanjang 2021 hingga 2022, kerajaan membelanjakan 34 peratus daripada dana RM400 bilion yang diperuntukkan untuk pelaksanaan RMK12, iaitu RM64.3 bilion (2021) dan RM71.6 bilion (2022).

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk separuh tahun pertama 2023 berkembang sebanyak 4.2 peratus. Kadar produktiviti tenaga buruh juga mencatat 3.7 peratus bagi 2021 hingga 2022. Kadar pengangguran berkurangan menjadi 3.5 peratus bagi suku kedua 2023. Malah, kadar inflasi berjaya dikawal pada dua peratus bagi Julai 2023.

Indeks kesejahteraan rakyat Malaysia juga melonjak 1.3 peratus setahun. Pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat daripada RM7,901 (2019) kepada RM8,479 (2022).

Di samping itu, Malaysia juga memperoleh pendapatan per kapita yang lebih baik, iaitu RM52,968 (2022) berbanding dengan RM42,838 (2020).

Sesungguhnya, statistik di atas menunjukkan ekonomi Malaysia berada di kedudukan agak memuaskan walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran seperti kelembapan nilai pertukaran ringgit terhadap dolar Amerika Syarikat.

Mengikut laporan KSP RMK12, kebanyakan sasaran yang dirancang sudah tercapai. Sehingga kini, 175 sasaran ataupun 31 peratus telah pun siap dilaksanakan, 59 peratus yang lain pula menepati jadual pelaksanaan.

Anwar menambah, Kerajaan Persekutuan telah melancarkan 11 projek pembangunan infrastruktur pengangkutan dan logistik baharu di seluruh negara. Bak kata pepatah lama Cina, kalau hendak menjadi kaya, binalah jalan terdahulu. Jalinan dan kemudahan pengangkutan yang lengkap dan sempurna amat penting untuk pembangunan ekonomi secara berterusan.

Di samping itu, RM1.5 bilion diperuntukkan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan keluarga miskin tegar.

MUSUH POLITIK

Bagaimanapun perlu ditegaskan, keupayaan pelaksanaan merupakan cabaran paling utama bagi kerajaan untuk mencapai segala yang dilakar untuk RMK12. Koordinasi erat sesama jabatan-jabatan kerajaan amat mustahak. Mereka perlu bergandingan untuk memastikan setiap projek terlaksana mengikut bajet dan tempoh waktu ditetapkan.

Betapa baik sekali pun sesuatu perancangan pembangunan kerajaan, kalau ia tidak disokong dengan keupayaan pelaksanaan seiringan, maka ia akan menjadi usaha sia-sia sahaja. Malah, wang negara mungkin akan dibazirkan sebegitu sahaja tanpa membawa sebarang manfaat kepada rakyat dan negara.

Kerajaan perpaduan kini berhadapan dengan persaingan hebat daripada gagasan pembangkang. Kalau silap langkah, mereka akan dikecam berhabis-habisan oleh musuh politik. Oleh demikian, Anwar perlu memastikan Kabinet betul-betul bekerja keras untuk mencapai setiap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diturunkan kepada mereka. Kakitangan kerajaan pula perlu memberikan kerjasama yang teguh kepada kerajaan dalam melaksanakan semua projek RMK12.

Dari manakah kerajaan mendapatkan dana tambahan untuk menampung pembiayaan RMK12? Perkara inilah yang menjadi persoalan ramai.

Sehingga 2022, hutang negara telah mencecah RM1.2 trilion. Kerajaan tidak mempunyai ruang lagi untuk membuat pinjaman baharu kerana beban hutang sedia ada sudah terlampau berat, ditambah pula negara terpaksa menanggung beban membayar faedah tinggi.

Difahamkan, kerajaan akan cuba menyasarkan semula subsidi yang diberikan kepada rakyat ke atas bahan api, minyak masak, gula, tepung, bekalan elektrik dan sebagainya. Bantuan subsidi kerajaan hanya akan disasarkan terhadap golongan rakyat yang betul-betul memerlukan. Sejumlah besar dana yang dijimatkan daripada mekanisme subsidi bersasar boleh disalurkan untuk tujuan lain yang lebih mendesak.

Dalam pada itu, kerajaan akan memperluaskan asas cukai. Cukai baharu seperti Cukai Keuntungan Modal (CGT) sedang dirancang. Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan suatu ketika dahulu akan dipertimbangkan untuk diperkenalkan semula apabila keadaan ekonomi mengizinkan.

Ketirisan dana kerajaan dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan wajar dikawal dan dipantau sebaik mungkin agar setiap sen rakyat dibelanjakan pada tempat dan sasaran yang setimpal.
Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) berpendapat, melalui koordinasi pelbagai jabatan kerajaan yang berkesan, ditambah pula kerjasama dan sokongan padu dari sektor swasta, matlamat-matlamat RMK12 tentu dapat dicapai seperti dirancang.

ACCCIM turut mencadangkan kerajaan menubuhkan lebih banyak Unit Malaysia Mudah (#MyMudah) di seluruh negara untuk merangsangkan lebih banyak pelaburan langsung domestik (DDI).

Natijahnya, kerajaan perpaduan pimpinan Anwar perlu melakukan yang terbaik untuk mencapai kesemua matlamat RMK12. Kebolehan memperoleh hasil cemerlang bukan sahaja penting sebagai kad laporan prestasi bagi Perdana Menteri sendiri, bahkan ia juga sebagai saluran terbaik untuk Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) membuktikan kepada rakyat bahawa mereka lebih berkemampuan dan berkelayakan memerintah kerajaan berbanding Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN

PENULIS ialah lepasan program Sarjana Pengajian Media dari Jabatan Media & Komunikasi, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×