Berlapang dadalah, tak perlu berdendam

Berlapang dadalah, tak perlu berdendam

HAIM HILMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA angin tiada rebut, tiba-tiba Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah, meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi penjelasan sama ada terdapat arahan dikeluarkan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti universiti, politeknik dan kolej komuniti melarang terlibat dengan sebarang program anjuran kerajaan negeri.

Menurutnya, baru-baru ini beliau telah menjemput sebuah IPTA untuk bersama dalam program berkaitan mahasiswa anak Kedah, namun difahamkan oleh insitusi tersebut bahawa mereka tidak dibenarkan oleh kementerian ataupun jabatan yang bertanggungjawab untuk melibatkan diri. Sekiranya ini benar, maka ia sesuatu begitu malang buat anak-anak muda yang harus dipersiapkan dan perbezaan politik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sepatutnya tidak menjadi halangan buat kita bekerjasama. Tapi jika ia tidak benar, maka harap KPT dapat keluarkan kenyataan mengenainya, itu kata-kata beliau.

Beliau juga dilapor menyatakan kekesalan kerana suatu yang merugikan apabila kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam agenda pembangunan sumber manusia, namun tidak mendapat sokongan sebaiknya daripada KPT. Selain itu, beliau juga dilapor menasihatkan KPT supaya melihat perkara itu secara lebih luas dan berlapang dada kerana mahu mengutamakan masa depan anak muda daripada perbezaan politik.

Dakwaan ini mengingatkan kita pada isu hampir serupa dibuat oleh Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim, kononnya ada larangan membabitkan beliau dalam sebarang program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan Azman berbohong kerana kementerian berkenaan tidak ada mengeluarkan apa-apa arahan. Azman kemudiannya berkata, beliau hanya mahu memancing menteri supaya mengeluarkan kenyataan dan umpan pancing ini dikatakan mengena.

Meletakkan umpan pancing sebegini adalah tidak beretika dan tidak selaras dengan kaedah hukum syarak berbunyi, bukti itu ke atas mereka yang mendakwa (mengeluarkan dakwaan dan tuduhan). Sekiranya seseorang mendakwa ada individu telah melakukan kejahatan ke atas diri beliau, maka hukum asalnya orang yang dituduh tadi terlepas daripada tuduhan tersebut sehinggalah orang yang menuduh itu mendatangkan bukti terhadap kesahihan dakwaan.

Dalam kes di Kedah, Haim Hilman tidak boleh berpegang kepada cakap dengar (hearsay) ‘beliau difahamkan oleh institusi ini’ kerana cakap dengar sebegini tidak ada wibawa dan jika dikemukakan di mahkamah pun tidak akan diterima sebagai bukti. Sebaliknya perlu diberi bukti sahih bahawa ada arahan begitu dikeluarkan oleh KPT kepada IPTA, barulah KPT boleh diminta memberi penjelasan kerana beban bukanlah kepada pihak dituduh tetapi kepada pihak menuduh.

Jika dilihat kepada pelbagai kenyataan dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sejak menjawat jawatan ini, beliau terbukti sangat terbuka.

TAKSUB

Sewaktu mengadakan lawatan kerja ke Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, 3 April lalu, beliau berkata, KPT tidak berminat untuk melakukan educational policing kerana matlamat kementerian itu adalah untuk membangunkan kesarjanaan universiti serta melahirkan graduan yang mempunyai kekuatan pemikiran dan tidak terlalu taksub kepada satu aliran pemikiran sahaja. Tegas beliau, jika ahli politik mahu masuk dan buat program di universiti pun boleh tetapi perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak universiti dan mematuhi garis panduan ditetapkan.

Dalam lawatan kerja ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 27 Julai lalu juga, Mohamed Khaled menyarankan kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dalam membina hubungan strategik dengan universiti tempatan bagi manfaat masyarakat kerana langkah ini akan membantu meningkatkan taraf pendidikan tinggi dan memperkasa komuniti setempat.

Dalam usaha mencapai tahap pendidikan tinggi lebih jauh, beliau juga menyatakan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri dan universiti adalah penting. Kerajaan negeri perlu memainkan peranan aktif dalam menyediakan sokongan dan peluang kepada universiti tempatan agar dapat memberikan impak lebih besar kepada masyarakat dan ekonomi setempat, termasuklah peningkatan taraf pendidikan, pembangunan komuniti keusahawanan dan penyelidikan yang lebih berfokus pada isu-isu tempatan.

Berdasarkan kepada semua kenyataan ini maka tidak munasabah untuk menuduh KPT mengeluarkan arahan kepada IPTA seperti universiti, politeknik dan kolej komuniti melarang terlibat dengan sebarang program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kedah.

Sewaktu Datuk Dr. Noraini Ahmad menjadi Menteri Pengajian Tinggi dahulu pun, KPT pernah menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Kedah dalam usaha memajukan negeri itu terutama di Kulim Hi-Tech Park dan projek Kedah Rubber City (KRC). Ini selaras dengan program dua tahun pembelajaran di universiti dan dua tahun latihan industri (2u2i) KPT yang ada dalam Pelan Induk Pendidikan Malaysia 2015-2025 untuk meningkatkan kebolehpasaran, persediaan dan kemahiran pelajar universiti memasuki alam pekerjaan.

Selaku bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman sepatutnya lebih berhati-hati dalam berkata. Tidak elok untuk imej beliau dan kerajaan negeri menasihatkan KPT supaya mengutamakan masa depan anak muda daripada perbezaan politik sebelum diberi sebarang bukti. Begitu juga dakwaan kononnya KPT tidak memberi sokongan kepada kerajaan negeri Kedah dalam agenda pembangunan sumber manusia yang perlu dibuktikan.

Beliaulah yang sepatutnya lebih perlu berlapang dada. Janganlah kerana masalah antara beliau dengan pasukan KPT terdahulu ekoran pemendekan tempoh perkhidmatannya sebagai Naib Canselor UUM menyebabkannya seperti menyimpan dendam dengan pasukan KPT sekarang. – UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pegawai Tadbir di Institut Kajian Strategik & Komuniti (IKSK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×