Cukuplah lima tahun kita bergelut dalam krisis politik

Cukuplah lima tahun kita bergelut dalam krisis politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini kita menyambut Hari Malaysia bagi memperingati pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak dengan tema Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan. Semoga tanah bertuah ini sentiasa dilimpahi kesejahteraan dan kemakmuran serta dilindungi Allah daripada segala malapetaka.

Saat ini dunia sedang berduka akibat kejadian bencana alam besar yang menimpa secara bertalu-talu. Di kawasan bencana, beribu-ribu mangsa terkorban dengan angka mangsa yang cedera dan masih hilang begitu tinggi. Bagi yang selamat, ramai tinggal sehelai sepinggang dan tidak kurang pula kini sebatang kara. Semoga musibah yang dilihat dapat mencetuskan rasa keinsafan di hati rakyat Malaysia. Hargailah nikmat kesejahteraan hidup yang sedang kita nikmati ini dengan penuh rasa kesyukuran.

Jumaat lepas, gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 menggegarkan Marrakesh, Maghribi dan mengakibatkan kerosakan amat teruk. Sekurang-kurangnya 2,800 mangsa terkorban sementara ramai lagi cedera dan masih hilang. Hujan lebat berpanjangan daripada Taufan Haikui yang membadai Taiwan, China dan Hong Kong menyebabkan banyak tanah runtuh, kerosakan harta benda dan infrastruktur serta mengorbankan nyawa. Pada Ahad, Ribut Mediterranean Daniel pula melanda Libya dan mengorbankan lebih 2,800 nyawa. Angka kecederaan adalah tinggi manakala ribuan lagi masih hilang.

Bayangkan kesengsaraan yang dialami mangsa dalam usaha meneruskan kehidupan dan membina hidup baharu dalam keadaan begitu mencabar. Mereka kehilangan segala-galanya.

Bersyukurlah tanah air kita tidak diduga malapetaka sedemikian rupa. Cukup-cukuplah kita mencari apa yang tidak kena bagi membangkitkan rasa tidak puas hati dalam khalayak.

Marahkan pijat kelambu dibakar, tidur terdedah. Marahkan tikus rengkiang dibakar.

Negara tidak akan dapat bangkit jika rakyatnya tidak bersatu. Apatah lagi bagi yang mempunyai rakyat berbilang kaum seperti negara kita. Maka perpaduan ialah elemen integral bagi kestabilan negara.

Kadangkala kita mencurahkan air tempayan tatkala mendengar guruh di langit, percayakan mimpi indah yang belum pasti sehingga sanggup membuang apa kita ada selama ini. Alangkah malangnya jika akibatnya kita yang rugi, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Hidup harus berpijak di bumi yang nyata.

Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram telah berlalu. Yang menang harus bekerja dan menunaikan janji, yang kalah harus bersikap matang dan menerima kekalahan dengan hati terbuka. Bukankah itu adat bertanding?

CANGGUNG

Sudah-sudahlah berpolitik dan tunaikan janji yang ditabur kepada pengundi di kawasan masing-masing. Hormatilah sistem demokrasi yang sepatutnya dijunjung tinggi oleh para pemimpin politik. Bukankah mereka mendapat kuasa daripada undi yang diberikan oleh rakyat?

Adat orang berpolitik mahukan kuasa pemerintahan. Akan tetapi hormatilah hak pengundi yang telah membuat pilihan. Bangsa Johor sangat taat dan kasihkan tuanku sultan. Di Johor, kita mengikut adat dan adab bangsa Johor. Yang berdarah Johor tentunya faham apa maksudnya ‘cara Johor.’ Bak kata sasterawan negara, Allahyarham Datuk Usman Awang, bangsa Johor menikam dengan pantun, menyanggah dalam senyum. Marahnya dalam tertawa, merendah bukan menyembah, meninggi bukan melonjak. Itulah budaya Johor yang tak lapuk di hujan, tak lekang di panas.

Politik tidak harus meme­cah-belahkan masyarakat. Pemimpin politik pula mestilah jujur, amanah, bermaruah serta berkebolehan untuk memimpin. Mujur kita mempunyai tuanku-tuanku sultan meleraikan kekusutan akibat pelbagai langkah politik yang canggung. Politik cetek amat berbahaya, menyokong sesuatu gerakan tanpa memahami sejarah dan evolusi gerakan tersebut adalah kurang matang. Anak muda harus bijak berfikir dan rajin mengkaji. Kita tidak mahu menjadi bangsa yang hidup semata-mata berpandukan media sosial sahaja.

Ketidakfahaman tentang prinsip-prinsip asas kenegaraan menyebabkan ramai rakyat terkeliru, lantas berasa tertipu, beremosi serta menyalahkan orang lain. Contohnya, setelah mendapat keputusan status quo bagi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini, pelbagai twit tak masuk akal terpapar di suapan saya, namun ramai percaya dan yakin akan apa yang tersebar. Ia lantas dikongsikan pula oleh mereka yang mengejar sukaan atau like dan suka menularkan berita sensasi. Maka jika tidak berhati-hati, kita akan hidup mengikut arus tanpa mampu berfikir dengan kritis.

Hari Malaysia harus disambut dengan semangat patriotik dan tekad untuk berbakti kepada negara bangsa. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Kita harus belajar daripada kesilapan lalu dan berusaha untuk menjadikan negara ini lebih sejahtera. Sudah lima tahun kita bergelut dalam krisis politik yang tiada hentinya. Siapa sanggup melabur di negara yang suasana politiknya tidak stabil? Akibatnya negara hilang daya saing di peringkat global dan jika berterusan, kita akan lebih jauh ketinggalan berbanding negara-negara jiran.

Baginda-baginda sultan berulang kali mengingatkan para pemimpin politik agar tidak menyentuh hal-hal yang memecah-belahkan rakyat. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam bertitah menyeru agar polis mengambil tindakan proaktif menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membangkitkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan kedudukan raja-raja Melayu. Baginda menyeru agar janganlah agama diperalatkan bagi meraih sokongan kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang-orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri.

Selamat menyambut Hari Malaysia, semoga kita kekal bersatu demi negara bangsa tercinta. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×