KERAJAAN mempunyai peranan besar dalam mentadbir negeri dan negara. Pembangkang mempunyai peranan penting untuk semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan.
Oleh itu, kerajaan perlu bertindak adil terhadap pembangkang seperti dalam soal keistimewaan dan peruntukan. Tindakan menyekat peruntukan kepada pembangkang adalah satu kezaliman.
Negeri dan negara yang tidak mempunyai pembangkang dibimbangi akan bertindak tanpa semak dan imbang, maka ini berbahaya kepada perancangan kerajaan seterusnya memudaratkan rakyat.
Pembangkang tidak seharusnya membangkang setiap usaha kerajaan. Tindakan sebegini adalah sikap politik yang tidak baik. Sebaliknya pembangkang perlu membangkang dalam beberapa perkara.
Ini dapat difahami dalam ucapan Abu Bakar al-Siddiq r.h. ketika memegang jawatan besar selepas kewafatan Nabi SAW, “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya saya telah dipilih ke atas kamu dan saya bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika saya berbuat baik maka bantulah saya. Jika saya melakukan kesalahan atau kesilapan maka perbetulkanlah saya.”
Antara perlu dibangkang ialah jika tindakan kerajaan jelas melanggar undang-undang. Ini kerana undang-undang mempunyai kedaulatan. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dalam negara.
Tindakan kerajaan melanggar undang-undang perlu ditegur dan dibangkang. Ini kerana kemungkinan tindakan sedemikian dibatalkan oleh mahkamah pada masa akan datang sedangkan kerajaan sudah membelanjakan duit yang banyak. Maka ini kerugian besar kepada negara dan rakyat.
Antara yang perlu dibangkang ialah jika tindakan kerajaan bertentangan dengan maslahat umum atau rakyat. Ini kerana setiap tindakan kerajaan hendaklah untuk maslahat dan kebaikan umum atau kebaikan rakyat.
Antara perkara yang perlu dibangkang ialah jika tindakan kerajaan bertentangan dengan jati diri negara. Contoh-contohnya, bertentangan dengan dasar kesopanan dan kesusilaan termaktub dalam Rukun Negara dan membenarkan gerakan homoseksual bergerak maju dalam negara. Maka tindakan kerajaan ini perlu dibangkang.
Antara perkara perlu dibangkang ialah jika tindakan kerajaan dilihat zalim kepada rakyat. Contohnya, pengambilan tanah tanpa pampasan sewajarnya atau perobohan rumah setinggan tanpa tawaran pilihan untuk berpindah ke kediaman lain.
Jika kerajaan melaksanakan polisi pemindahan penjawat awam secara mengejut tanpa perancangan teliti, balas dendam kerana tidak mengundi kerajaan dan sebagainya, maka tindakan ini perlu dibangkang.
Antara perkara perlu dibangkang ialah jika tindakan kerajaan bertentangan dengan agama Islam. Ini kerana Islam adalah agama Persekutuan sebagaimana Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Contohnya, jika kerajaan menggalakkan amalan-amalan perjudian, minum arak tanpa kawalan, menghalalkan pelacuran dan sebagainya.
Sebaliknya jika tindakan kerajaan untuk keperluan masyarakat bukan Muslim, maka ia perlu kepada teguran agar tindakan itu memenuhi keperluan golongan berkenaan tanpa menjejaskan Islam sebagai agama Persekutuan.
SOKONG KERAJAAN
Sebaliknya jika tindakan kerajaan adalah baik, maka pembangkang perlu menyokong dan menzahirkan sokongan. Contohnya, tindakan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi kepada pelajar Muslim.
Ini usaha yang baik dan tidak bertentangan dengan undang-undang. Matlamat program ini adalah bagi menghayati nilai-nilai mulia yang terkandung dalam riwayat hadis.
Maka usaha kerajaan ini perlu dizahirkan sokongan oleh pembangkang. Ini kerana usaha ke arah penghayatan nilai mulia dan akhlak mulia wajib disokong selaras prinsip kesopanan dan kesusilaan yang termaktub dalam Rukun Negara,
Tindakan kerajaan melaksanakan sistem cukai yang lebih baik perlu disokong. Sistem cukai yang adil kepada rakyat dan memberikan pendapatan kepada kerajaan untuk mentadbir negara dan negeri.
Tidak seharusnya pembangkang membangkang dengan menjanjikan segala yang percuma kepada rakyat. Ini kerana tindakan memberikan percuma secara berlebihan ini akan membahayakan negara dan merosakkan negara.
Contohnya, pendidikan percuma sepenuhnya, rawatan kesihatan percuma, rumah percuma dan sebagainya. Ini tidak memberi impak ekonomi yang baik.
Dalam membangkang tindakan kerajaan, ia hendaklah dilakukan dalam konsep nasihat. Ini kerana agama adalah nasihat. Antara nasihatnya ialah nasihat kepada para pemimpin.
Pembangkang perlu berani bercakap benar sesuai dengan sabda hadis: “Sebaik-baik jihad adalah kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.”
Bahasa yang digunakan adalah bahasa yang sopan dan tegas. Tidak seharusnya dinormalisasikan perkataan yang buruk dan keji. Contohnya perkataan-perkataan babi, bodoh, celaka dan sebagainya.
Bahasa jiwa bangsa. Bahasa yang buruk memberi gambaran bangsa yang buruk akhlak. Nas al-Quran menceritakan perintah Ilahi kepada Nabi Musa a.s. agar berkata dengan lembut kepada Firaun sedangkan Firaun adalah amat zalim.
Kezaliman Firaun tidak menjadi tiket untuk bercakap keji kepada Firaun. Ini kerana mudarat perkataan keji dan yang menimbulkan kebencian adalah dibimbangi besar.
Pembangkang juga perlu mewujudkan Kabinet bayangan peringkat negeri dan negara bagi membangkang dengan lebih berhikmah. Tindakan pembangkang yang membangkang dengan bijak akan memberi saham kepada kestabilan negara.
Ini menjadikan negara kita sebagai negara yang aman, harmoni dan sudah tentu menarik perhatian dunia untuk pelaburan, pelancongan dan sebagainya.
Negara dan rakyat negara ini perlu kepada kerajaan yang telus, berintegriti dan menjalankan amanah dengan sebaiknya. Kita memerlukan pembangkang yang bukan bertujuan menjatuhkan kerajaan sebelum masa pilihan raya umum (PRU) sebaliknya bekerjasama dengan kerajaan untuk kemaslahatan negara dan rakyat. – UTUSAN
DR. Mohammad Nidzam Abdul Kadir ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Kenegaraan & Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).











