PETALING JAYA: Kedudukan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai Ahli Parlimen Muar menjadi persoalan ekoran keputusannya menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
Memorandum persefahaman (MoU) dimeterai gabungan parti kerajaan pada Disember 2022 menyebut, setiap parti dan pihak hendaklah mengundi untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan dan sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Kegagalan, keengganan atau kecuaian berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab ahli Parlimen secara individu kepada parti itu yang dianggap sebagai peletakan jawatan dan pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen dan kerusinya dikosongkan dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.
NOTIS
Parti ahli Parlimen tersebut hendaklah mengeluarkan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atas pengosongan tersebut menurut Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya kecil.
Muda adalah antara 14 parti yang menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menyaksikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood bagaimanapun berkata, kedudukan Syed Saddiq sebagai ahli Parlimen masih kekal kerana beliau hanya menarik sokongan kepada kerajaan, bukannya menyertai parti lain.
Katanya, kekosongan hanya berlaku sekiranya Syed Saddiq keluar Muda dan menyertai Perikatan Nasional (PN) atau sebarang parti lain.
Syed Saddiq menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan atas alasan kerajaan dilihat bertindak bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang sejak akhir-akhir ini.
Kata Nik Ahmad Kamal, tindakan Syed Saddiq itu hanya memberikan implikasi jika kerajaan mahu meminda Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan dua pertiga.
Sementara itu, Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd. Aziz mengambil pendirian sama apabila keluar daripada blok gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata, beliau berdiri teguh dengan keputusan parti.
“Saya percaya politik baharu menuntut setiap wakil untuk mengambil tanggungjawab terhadap rakyat,’’ katanya. – UTUSAN










